Analisis: Kesebelasan Utama Dan Sistem Terbaik Antara 5 Perkara Perlu Diperbaiki Selangor

Selangor dicanang sebagai pencabar kejuaraan Liga Super 2019. Malangnya selepas 3 perlawanan pasukan Gergasi Merah masih belum menunjukkan kualiti sebenar mereka. Berikut adalah 5 perkara yang kami rasa perlu diperbaiki pasukan Selangor.

1. Membentuk kesebelasan dan sistem permainan terbaik

Buat masa ini, harus diakui Selangor sarat dengan pemain yang berbakat. Namun mereka masih belum membentuk kesebelasan terbaik di dalam pasukan.

11 pemain terbaik tidak menjamin anda membentuk 1 pasukan yang baik. Namun 1 pasukan yang baik akan menjadikan 11 pemain itu berada dalam prestasi yang baik.

Gambar: FA Selangor

Selepas 3 perlawanan, Selangor masih tercari-cari corak permainan terbaik untuk mereka berdasarkan pasukan yang ada. Oleh itu, mereka perlu menyelesaikan perkara ini secepat mungkin.

Pasukan yang baik perlu ada recognized 11 dan recognized style of play.

Selangor menandatangani terlalu banyak pemain musim ini. Sudah pasti cabaran mereka adalah untuk ‘gel’-kan para pemain sebagai sebuah pasukan. Ianya bukan tugas mudah apabila anda seperti memulakan projek baru secara total.

Dan mereka juga mengesahkan kemasukan beberapa bintang lagi dalam pasukan Selangor termasuk Sandro Da Silva dan juga Khyril Muhymeen.

2. Sistem target man perlukan servis

Selangor bermain dengan sistem target man berbadan besar (big center forward) dalam 3 perlawanan awal ini. Mereka jelas tidak memiliki servis sebaik mungkin kepada 2 penyerang kembar.

Jika Antonio German bergelut dengan catatan gol, mungkin kita masih ada alasan untuk tidak menyalahkan sistem. Namun penyerang 30 gol mereka musim lalu Rufino Segovia juga turut bergelut untuk mendapatkan gol. Ini bermaksud ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem permainan anda.

Dalam perlawanan menentang PKNS FC, mereka meletakkan 2 pemain sayap yang merupakan bukan penghantar bola lintang yang aktif. Syazwan Zainon dan Faiz Nasir, tipikal pemain sayap yang gemar terlibat dalam kotak penalti.

Namun, jika Sathianathan berkeras mahukan 2 pemain ini bermain dalam sistem 4-4-2 klasik beliau, Selangor perlu menyiapkan pemain-pemain ini dengan aspek distribusi yang lebih baik. Ianya memerlukan latihan individu dan berpasukan.

3. Melepaskan bek sisi

Ini mungkin penyelesaian yang bagus untuk Selangor. Mereka boleh mencari satu sistem untuk melepaskan bek sisi mereka supaya menjadi penghantar bola yang utama.

Lihat di Chelsea dan Man. United apabila pemain sayap mereka tidak ada kemampuan ataupun lebih kecenderungan untuk melakukan hantaran lintang kepada ‘target man’, mereka membentuk sistem yang menyokong pemain bek sisi menjadi penghantar bola lintang kepada penyerang.

Selangor ada pemain seperti Syahmi Safari yang merupakan antara penghantar bola silang yang boleh diharapkan dan berkualiti.

Gambar: FA Selangor
4. Perbaiki aspek pertahanan

Selangor sudah melepaskan 6 bolos daripada 3 perlawanan. Purata 2 bolos setiap perlawanan. Ianya sangat teruk ditambah dengan kehambaran di hadapan gol.

Angka bolos 6 daripada 3 perlawanan membuatkan mereka berkongsi tempat kedua terburuk (bersama dengan Terenngganu, Felda United, PKNP FC) dari aspek pertahanan. Hanya Kuala Lumpur lebih teruk dengan 7 bolos.

Kita semua tahu dalam bola sepak, menyerang dengan tajam membantu anda memenangi perlawanan, bertahan dengan baik akan membantu anda memenangi kejuaraan.

Keadaan padang ganggu rentak pemain Selangor dan PJ City. (Foto: asiana.my/FA Selangor)

Aspek bertahan ini bukan sahaja berkaitan dengan bek berempat, ianya melibatkan satu unit pasukan. Selangor juga bergelut dengan kecergasan Taylor Regan.

5. Cara berhadapan tekanan

Cabaran untuk pemain dan jurulatih Selangor pada ketika ini adalah untuk berhadapan dengan tekanan – selepas gagal mencatatkan keputusan positif seperti yang diharapkan.

Tekanan itu memang akan ada dalam bola sepak, mereka semua profesional dan mereka tahu dan arif akan perkara itu. Namun bagaimana cara mereka mengendalikan tekanan yang melanda itu sangat penting.

Sathia Rufino
Penyerang Selangor, Rufino Segovia ketika menentang PJ City. (Foto: asiana.my/FA Selangor)

Buat masa ini, beberapa keputusan yang kurang positif dilihat akan mampu merobek keyakinan pemain. Hal ini perlu digariskan secara terperinci dalam kem latihan Selangor ketika ini.

Rumusan

Selepas ini Selangor akan berhadapan dengan 2 perlawanan berstatus perlawanan besar dalam kalendar bola sepak Malaysia – menengtang Pahang dan kemudiannya JDT. Keputusan positif daripada perlawanan seperti ini pastinya boleh membantu untuk menaikkan moral dan juga ‘mood’ di bilik persalinan serta stadium.

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply