Analisis Rusia 2018: Sistem ‘Ultra Defensive’ 4-2-3-1 Hector Cúper Berpaksikan Mo Salah

Mesir telah melayakkan diri ke Piala Dunia sebanyak tiga kali dalam sejarah bola sepak negara berkenaan.

Pertama kali Mesir beraksi di pentas tertinggi bola sepak dunia itu ialah pada 1934, juga merupakan edisi kedua kejohanan yang diadakan di Itali.

Selepas itu Mesir mengulangi sejarah ke Piala Dunia pada 1990, juga di Itali, dan sekali lagi layak ke pusingan akhir Piala Dunia pada tahun ini di Rusia.

Skuad Mesir ke Rusia

Daripada 29 senarai asal pemain yang dipanggil, semalam Mesir mengumumkan senarai akhir 23 pemain untuk menghadapi Piala Dunia di Rusia.

Beberapa kejutan turut berlaku dalam senarai akhir jurulatih Hector Cuper. Antaranya ialah pengguguran penyerang SC Braga,  Ahmed Hassan Kouka; pemain pertahanan Orlando City, Amro Talek; dan bek kiri RC Lens, Karim Hafez.

Turut berada di dalam senarai ialah penjaga gol veteran, Essam El-Hadary; dan juga penyerang sayap Liverpool yang sedang mengejar masa untuk cergas sepenuhnya, Mohamed Salah.

Cabaran Mesir

Berada di dalam Kumpulan A, Mesir diundi bersama tuan rumah Rusia. Turut berada di dalam kumpulan yang sama ialah wakil Asia, Arab Saudi dan juga juara dunia sebanyak dua kali iaitu Uruguay.

Mesir akan berhadapan dengan tugas berat apabila memulakan cabaran Piala Dunia berhadapan Uruguay.

Ia diikuti dengan tuan rumah, Rusia sebelum mengakhiri saingan peringkat kumpulan menentang Arab Saudi.

Taktikal Héctor Raúl Cúper

Mesir mungkin memiliki antara pemain penyerang terbaik dunia iaitu Mohamed Salah. Tetapi jika anda berpendapat bahawa Mesir adalah sebuah pasukan menyerang dengan corak permainan bola sepak menarik, anda mungkin silap.

(Photo credit should read JUSTIN TALLIS/AFP/Getty Images)

Di bawah kendalian Héctor Cúper, Mesir dibina untuk melakukan corak permainan bertahan. Atau dengan kata lain, ultra-defensive.

Ini dibuktikan melalui 32 perlawanan pertama yang dikendalikan oleh pengurus dari Argentina itu; menyaksikan Mesir hanya melepaskan 18 gol sepangjang tempoh tersebut.

Sehingga enam pemain Mesir, membentuk ‘chain of six’ di zon pertahanan di garis rendah.

Berpaksikan sistem 4-2-3-1, sistem bola sepak Mesir oleh Cúper bersandarkan kekuatan kepada dua pemain pertahanan tengah, yang biasa diisi oleh pemain tengah Arsenal, Mohamed Elneny dan juga Tarek Hamed.

Di fasa pertahanan, kedua-dua pemain sentiasa berada di garisan akhir dan rendah pertahanan (sit deep), sekaligus membentuk rangkaian enam pertahanan di bahagian belakang.

Kedua-dua pemain tengah ini juga berperanan membentuk zon pertahanan yang direka khas untuk menghadkan gerakan lawan, menjadikan mereka selesa membenarkan lawan menguasai bola tanpa memberi ruang kepada lawan melakukan penetrative pass ke zon bahaya.

Mesir tidak banyak beri ruang kepada lawan.

Corak permainan sebegini memerlukan disiplin pertahanan yang jitu, dan objektif utama ialah untuk mempertahankan tight area (zon 14) daripada ancaman awal lawan.

Di bahagian pertahanan, Cúper cenderung menyandarkan Mohamed Abdel-Shafy di bek kiri bersama dua bek tengah West Bromwich Albion, Ali Gabr dan Ahmed Hegazi.

Manakala pemain serba boleh, Ahmed Fathi melengkapkan barisan empat pertahanan di belakang sebagai bek kanan.

Di dalam sistem pertahanan sebegini, Cúper turut menerapkan sistem serangan balas pantas di dalam pasukan kendaliannya.

Mengetuai serangan adalah rangkaian tiga pemain serangan yang mempunyai kepantasan terdiri daripada Mahmoud Hassan “Trezeguet”, Abdallah El Said dan juga Mohamed Salah.

Di dalam perlawanan-perlawanan lalu, Salah akan bermula sebagai pemain sayap kanan, dan beroperasi dari wide area.

Namun kebebasan diberikan kepada pemain ini untuk beroperasi di belakang penyerang tunggal pasukan, sebagai salah seorang penyudah utama pasukan.

Banyak yang boleh diperkatakan mengenai Salah. Misalnya, kebijaksanaan di dalam off the ball movement pemain ini ke bahagian half space seperti di dalam lakaran di bawah, turut memberi ruang kepada bek kanan mengeksploitasi ruang di sayap kanan.

Inilah salah satu sebab Salah adalah nadi penting kepada serangan pasukan seperti Mesir.

Ketiadaan Ahmed Hassan “Koka” membuka ruang untuk Mahmoud Karaba dan juga Marwan Mohsen sebagai penyerang tunggal pasukan.

(Photo by Erwin Spek/Soccrates/Getty Images)

Mesir di bawah kendalian Cúper tidak akan menjaringkan banyak gol. Namun berdasarkan dua perlawanan persahabatan menentang Portugal dan Greece sebelum ini, cukup membuktikan Mesir adalah sebuah pasukan yang sukar ditembusi sebagai satu unit.

Dalam dua perlawanan persahabatan tersebut, Mesir tewas 2-1 dan juga 1-0.

Pemain tumpuan

Bola sepak adalah sukan berpasukan. Ianya tidak masuk akal untuk menyandarkan harapan seluruh Mesir hanya kepada Mohamed Salah.

Seorang lagi pemain yang wajar diberi tumpuan ialah pemain penyerang sayap kiri, Mahmoud Hassan “Trezeguet”.

(Photo credit should read GABRIEL BOUYS/AFP/Getty Images)

Pemain yang mempunyai nama timangan yang diambil dari bekas bintang Perancis, David Trezeguet ini menunjukkan prestasi yang mengkagumkan di Turki bersama Kasimpasa S.K, menjaringkan 13 gol dan menghasilkan 6 bantuan gol pada musim lalu.

Ini bermakna, Mesir mempunyai dua pemain sayap yang mampu menjaringkan gol.

Sasaran realistik

Arab Saudi dilihat sebagai pasukan di mana Mesir berkemampuan mencuri tiga mata penuh.

Tetapi sebelum itu, anak buah Héctor Cúper harus mengekang Uruguay yang dibarisi penyerang Barcelona, Luis Suarez dan Edinson Cavani yang beraksi bersama Paris Saint-Germain.

Rusia sebagai tuan rumah juga bukan lawan yang mudah. Namun jika Mesir mampu mencuri sesuatu dari kedua-dua pasukan, tidak mustahil pasukan ini mampu melangkah ke pusingan 16 pasukan terakhir yang dianggap wajar.

(Photo by Erwin Spek/Soccrates/Getty Images)

Penutup

Pasukan yang dibina berasaskan pertahanan yang jitu, namun mempunyai aset serangan antara paling efektif di dunia.

Mungkin itulah bayangan yang boleh kita berikan kepada cabaran Mesir di Rusia.

Mampukah Mesir melangkah lebih jauh di dalam edisi Piala Dunia kali ini?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram