Analisis: PSG Terlalu Banyak Kesilapan Individu, Man. United Kemas Memanfaatkan Peluang

Manchester United melakukan kebangkitan luar biasa di Paris. Ini berdasarkan skuad yang serba pincang dimiliki oleh Man. United. PSG turut hilang beberapa tonggak mereka kerana isu kecederaan namun tidaklah seteruk Man. United.

PSG tewas 1-3 di Paris sekaligus tersingkir dengan peraturan gol tempat lawan daripada keputusan 3-3.

Permulaan

Tuchel menggunakan formasi 3-4-3 untuk membolehkan Bernat dan Alves menjadi bek sayap. Sementara Solskjaer tampil dengan formasi 4-4-2.

PSG dominan tetapi tidak tajam

PSG adalah pasukan yang sangat dominan. Pada satu ketika mereka menguasai perlawanan lebih daripada 80%.

Namun masalah utama PSG adalah tidak cukup tajam di hadapan gol. Mereka banyak membazirkan peluang di kawasan serangan.

Pada separuh masa pertama, Man. United menggunakan sistem defensif dengan 9-10 pemain di belakang bola. Namun Man. United tetap memberikan banyak ruang kepada PSG untuk menerima bola di dalam kotak penalti.

Cuma PSG, tidak dapat memanfaatkan kesempatan yang ada kerana tidak klinikal. Lihat di sini, perbezaan jumlah sentuhan dalam kotak penalti PSG (oren) dan Man. United (biru); salah satu sentuhan oleh United adalah daripada penalti.

Seterusnya, pemain seperti Draxler gagal untuk bermain baik. PSG terlalu bergantung kepada Di Maria dan Mbappe. 2 pemain ini gagal membentuk lebih permainan kombinasi dengan pemain lain.

PSG bermain baik dari segi penguasaan perlawanan. Namun untuk perkara yang lebih spesifik, unit serangan mereka tidak cukup dinamik untuk bergerak dalam unit.

Dani Alves antara pemain yang membuatkan Tuchel dilema. Beliau pemain yang sentiasa berada di ruang yang betul, tetapi tidak ada kreativiti apabila di zon serangan.

Pelan permainan Solskjaer

Walaupun apa keadan dalam padang sekalipun, fokus Man. United adalah kestabilan di pertahanan dan cuba melakukan serangan balas. Mereka cuba menggunakan kepantasan Rashford untuk menjadi pembawa (ball carrier) utama mereka.

Walaupun pada satu ketika mereka kembali di belakang secara agregat, Man. United tidak terlalu emosi untuk menyerang dengan menukar pelan taktikal secara drastik.

Solskjaer jelas mahu menutup ruang lebih rapat selepas terlalu terdedah pada perlawanan pertama. Mereka cuba mengeluarkan bola secepat mungkin.

United boleh dikatakan bertuah kerana PSG memberikan mereka 3 peluang gol. Dan dalam bola sepak, apabila anda mendapat peluang yang terhad, anda perlu manfaatkannya. Itu yang dilakukan oleh Man. United.

Mereka lebih kemas dan ‘menghargai’ setiap peluang yang ada. Gol pertama adalah tekanan daripada Lukaku yang mencetuskan kemungkinan. Beliau menerima bola daripada pihak lawan dan dengan tenang menyudahkannya.

Gol kedua adalah kerana sikap Lukaku yang sentiasa bergerak dan antisipasi yang baik, menerima bola muntah di hadapan gol.

Gol ketiga dicetuskan kerana sikap Dalot yang mahu melakukan sesuatu dalam masa yang ada. Rembatan dari jauh beliau yang membuatkan bola itu terkena tangan lawan.

Namun seperti yang saya jelaskan di atas, Man. United bertahan secara zonal dengan 4-5-1 atapun 5-4-1 tetapi mereka bergelut dengan isu ‘space marking’.  Cuma PSG pula berterusan memberikan United talian hayat, dengan beberapa siri pembaziran peluang serta kesilapan defensif/individu.

PSG sedikit ‘shut down’ separuh masa kedua

Selepas beberapa kali gagal untuk lebih tajam di dalam zon serangan, PSG kelihatan sedikit menurunkan intensiti dan tempo permainan mereka. Apa yang jelas mereka seakan-akan yakin perlawanan ini sudah dalam tangan mereka dengan kedudukan 1-2.

Sikap PSG ini telah membuatkan Man. United mara lebih tinggi ke zon mereka dan Solskjaer menambah unit pemain yang ofensif di dalam padang.

Tuchel jelas sekali tidak memiliki pelan taktikal lebih selamat dalam usaha ‘menutup bisnes’ dengan kekalahan 1-2.

Rumusan

Perlawanan ini dimenangi oleh pasukan yang lebih bertanggungjawab dan komited untuk mendapatkan sesuatu di atas padang. Berbanding dengan PSG yang tidak kemas ketika berada di zon serangan. Mereka membazirkan penguasaan bola serta beberapa situasi penting.

Jadi, tiada terlalu banyak masalah dengan isu taktikal, tetapi masalah utama PSG adalah lebih kerana isu teknikal; pemain gagal melaksanakan tugas dengan lebih baik secara individu.

Drama VAR turut memainkan peranan dalam perlawanan kali ini. Pastinya ia malam yang untuk dilupakan oleh peminat PSG.

PSG sepatutnya menyalahkan diri sendiri kerana melakukan terlalu banyak kesilapan defensif dan juga gagal untuk mendapatkan gol pertama lebih awal daripada Man. United untuk memberikan tekanan kepada Red Devils.

Pemain terbaik pilihan SemuanyaBOLA
Romelu Lukaku (Manchester United)

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN