Analisis: Pencapaian 5 Pengurus Yang Dipecat Sebelum Separuh Musim EPL 2017-18

Sehingga artikel ini ditulis, hampir semua kelab bola sepak di Liga Perdana Inggeris (EPL) telah melalui 18 perlawanan. Everton akan menunggu Swansea City dalam perlawanan yang akan dilangsungkan pada awal pagi nanti, untuk melengkapkan separuh musim perjalanan kempen EPL.

Dalam tempoh tersebut, 5 pengurus kelab EPL telah dipecat. Ikuti analisis pencapaian setiap daripada pengurus tersebut, dan apa yang boleh kita pelajari daripada pemecatan mereka.

1. Frank De Boer (Crystal Palace)

Frank De Boer tiba di Selhurst Park untuk menggantikan Sam Allardyce yang melepaskan jawatan atas alasan ingin meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga pada penghujung musim lalu.

Perlawanan pertama kendalian De Boer, menyaksikan Palace tewas 3-0 kepada pendatang baharu EPL, Huddersfield. Rentetan penderitaan De Boer dan Palace berterusan selepas itu apabila turut tewas kepada Liverpool, Swansea dan juga Burnley.

Selepas 4 perlawanan awal, Palace gagal mengutip sebarang mata, dan tampil tanpa sebarang jaringan. Akhirnya De Boer dipecat daripada jawatannya selepas hanya 10 minggu bergelar pengurus Crystal Palace.

Ini menjadikan Frank De Boer sebagai pengurus pertama dipecat pada musim ini, juga pengurus yang paling singkat mengendalikan pasukan di dalam sejarah EPL. Secara keseluruhan, De Boer hanya mengendalikan 450 minit perlawanan EPL bersama Palace.

(Photo by Power Sport Images/Getty Images)

Pemecatan De Boer turut mengundang kritikan ramai pemerhati bola sepak Inggeris. Kebanyakan mereka mendakwa De Boer tidak diberikan masa yang sewajarnya untuk membentuk pasukan yang dikehendaki oleh beliau.

Ketika tiba di Selhurst Park, De Boer diamanahkan untuk menghasilkan sebuah pasukan berteraskan pemain muda dengan corak permainan menarik berpaksikan hantaran pendek.

Ia bukannya perkara mudah, mengambil kira Palace lebih cenderung beraksi dengan corak hantaran jauh di era Allardyce. Perubahan yang cuba dibawa oleh De Boer turut sukar diterima oleh pemain senior, sehingga nama-nama seperti Joel Ward dan Martin Kelly sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama De Boer.

Perkara menjadi sukar buat De Boer apabila pemilik kelab mulai mempersoalkan taktikal dan latihan yang diterapkan oleh pengurus dari Belanda itu. Keadaan semakin parah apabila pilihan pemain turut dipersoalkan.

Agak menghairankan bagaimana Crystal Palace mahukan khidmat Frank De Boer sebelum sepak mula musim ini, namun akhirnya tidak bersetuju dengan falsafah bola sepak yang ingin diterapkan oleh De Boer di Selhurst Park.

2. Craig Shakespeare (Leicester City)

Craig Shakespeare dilantik sebagai pengurus Leicester City sebagai pengganti kepada Claudio Ranieri. Sebelum itu, Ranieri telah berjaya mengejutkan ramai apabila membimbing The Fox muncul juara EPL musim 2015-16.

Musim lalu, prestasi Leicester City tidak menggambarkan langsung karakter sebagai juara bertahan, menyebabkan pengendali dari Itali tersebut dipecat daripada jawatannya.

Shakespeare tiba untuk kembali menstabilkan skuad The Fox, mengemudi Leicester City untuk menduduki tangga ke-13 liga sebelum ditawarkan kontrak baharu selama 3 musim.

Namun Leicester City turut bermula dengan perlahan pada awal musim ini. Pada satu masa, Leicester gagal untuk mencatatkan sebarang kemenangan dalam 6 perlawanan berturut-turut, dan menduduki zon penyingkiran.

Satu-satunya kemenangan yang direkodkan dalam tempoh tersebut ialah kemenangan ke atas Brighton and Hove Albion. Namund demikian, antara 4 kekalahan yang direkodkan ketika Leicester dikendalikan oleh Shakespeare ialah ketika berhadapan dengan Arsenal, Chelsea, Manchester United, dan juga Liverpool.

Pemecatan Shakespeare agak mengejutkan ramai pihak, termasuk di kalangan pemain. Ini adalah kerana Shakespeare adalah watak yang dihormati di dalam bilik persalinan The Fox.

Namun demikian, hierarki Leicester City terpaksa mengambil tindakan tersebut selepas meneliti prestasi semasa Leicester City pada masa itu.

3. Tony Pulis (West Bromwich Albion)

Jika keputusan dan kedudukan West Brom di dalam liga pada musim lalu diambil kira, maka kita boleh simpulkan Tony Pulis telah melakukan pekerjaan yang baik bersama The Baggies.

Namun jika statistik perlawanan tersebut diperhalusi dan dikaji, anda akan menemui kepincangan terutama dengan jumlah jaringan gol yang dihasilkan oleh West Brom di halaman sendiri.

Jika anda mempunyai purata kurang daripada satu jaringan dalam perlawanan di gelanggang sendiri, anda pasti akan mengecewakan penyokong anda sendiri. Apatah lagi tampuk pengurusan yang sentiasa memantau prestasi anda secara lebih dekat.

(Photo by Catherine Ivill/Getty Images)

Statistik jaringan yang rendah turut dikaitkan dengan corak permainan menyerang yang dianggap tidak efektif, sekaligus menyebabkan penyokong mulai bersuara untuk pemecatan Pulis.

Perkara ini tidak dibantu dengan prestasi semasa West Brom di era Pulis apabila hanya mencatatkan 2 kemenangan daripada 21 perlawanan sejak pertengahan November tahun lalu.

Walaupun dengan corak permainan bertahan yang diamalkan Pulis, West Brom gagal memperolehi keputusan yang diinginkan.

Untuk itu, pengurusan West Brom tidak punyai banyak pilihan selain daripada mengikuti tuntutan penyokong; juga disebabkan oleh prestasi West Brom yang gagal memperolehi keputusan perlawanan yang sepatutnya, walaupun mempunyai skuad yang dibayar dengan gaji yang agak mahal.

4. Slaven Bilic (West Ham)

Pada awal musim ini, kisahnya yang menyelubungi West Ham hampir sama seperti musim sebelum ini. West Ham memulakan kempen dengan prestasi tidak menentu, dan perkhabaran Slaven Bilic akan dipecat mulai dibicarakan penyokong mereka.

Namun demikian, kebangkitan luar biasa West Ham pada musim lalu sehingga berjaya mengakhiri saingan EPL di tangga ke-10, menyelamatkan Slaven Bilic daripada dipecat.

Bezanya pada musim ini, pengendali dari Croatia ini benar-benar ditunjukkan pintu keluar oleh West Ham. Selepas apa yang dilalui oleh West Ham pada musim lalu, pengurusan dan penyokong mengharapkan Bilic tidak mengulangi prestasi yang sama pada musim lalu.

(Photo by Catherine Ivill – AMA/Getty Images)

Musim lalu mereka gagal melayakkan diri ke pertandingan eropah- antara objektif yang ditetapkan oleh pengurusan West Ham kepada Bilic dan skuad kendaliannya.

Prestasi tidak menentu pada awal musim, langsung tidak membantu. Malah ia hanya akan membantutkan sekali lagi cita-cita West Ham. Ini memaksa pemilik West Ham, David Sullivan dan Gold terpaksa mengambil keputusan untuk melepaskan Bilic.

Selain daripada keputusan perlawanan yang tidak diingini, beberapa isu lain turut mendorong kepada pemecatan Bilic.

Antaranya ialah pemain yang tidak menonjolkan prestasi, pembelian pemain yang gagal menonjol, gagal mengawal kuasa pemain, dan juga corak permainan yang disifatkan tidak mempunyai gaya dan membosankan.

Ketika Bilic dipecat, West Ham mempunyai rekod pertahanan yang paling teruk dalam EPL pada musim ini.

5. Ronald Koeman (Everton)

Perbelanjaan Everton pada jendela perpindahan musim panas yang lalu mencecah sehingga £150 juta dan merupakan yang ke-7 tertinggi di kalangan kelab bola sepak di Eropah.

Bukan sahaja mereka membawa masuk ramai pemain baharu, Everton turut mengekalkan hampir keseluruhan skuad pada musim sebelumnya, dengan hanya Romelu Lukaku satu-satunya pemain yang meninggalkan Goodison Park untuk ke Old Trafford dengan nilai perpindahan £75 juta.

Sebelum ini Ronald Koeman dipercayai adalah individu yang tepat untuk melonjakkan Everton ke peringkat seterusnya- sekurangnya-kurangnya tampil sebagai pesaing untuk merebut slot ke eropah. Sebaliknya yang berlaku selepas itu.

(Photo credit should read OLI SCARFF/AFP/Getty Images)

Prestasi Everton bermula dengan teruk sehingga terjerumus ke zon penyingkiran, yang akhirnya menyebabkan Ronald Koeman dipecat daripada jawatan pengurus kelab Merseyside itu.

Walaupun dengan kehadiran pemain seperti Jordan Pickford, Michael Keane, Gylfi Sigurðsson , Wayne Rooney, Davy Klaassen dan ramai lagi, ia jelas tidak mampu membantu Koeman menggantikan Lukaku yang merupakan sandaran menjaringkan gol sebelum ini.

Antara perkara yang digariskan sebagai kesilapan Koeman di Everton ialah pembelian pemain yang gagal menonjolkan prestasi yang dikehendaki. Kaedah Koeman mengendalikan kes Ross Barkley dan Oumar Niasse turut tidak disenangi oleh pemilik kelab.

Koeman juga dilaporkan tidak mempunyai hubungan yang baik dengan penyokong. Berdasarkan pelaburan yang dilakukan Everton, dan pencapaian keseluruhan pada musim ini, Koeman jelas tidak mempunyai sebab untuk dikekalkan sebagai pengendali.

Satu-satunya kejayaan yang diingati oleh ramai pengikut bola sepak Inggeris ialah apabila Koeman berjaya menafikan Pep Guardiola rekod 100% kemenangan dalam 18 perlawanan saingan di EPL. Itu pun jika anda mahu mengklasifikasikan ia sebagai kejayaan.

Rumusan

Apa yang boleh kita pelajari daripada pemecatan 5 pengurus kelab EPL di atas? Rumusannya mudah. Dalam bola sepak moden, kemampuan kewangan semata-mata tidak akan mampu menjamin kejayaan sekelip mata sepertimana di Everton.

Anda mungkin mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk mewujudkan sistem bola sepak yang dikehendaki. Tetapi tidak seperti pemecatan Frank De Boer di Crystal Palace, anda memerlukan ruang dan masa untuk melakukan itu.

Sebagai pengendali, anda juga harus mempunyai perwatakan yang dihormati, mampu untuk mengendalikan sekumpulan pemain dengan perwatakan yang berbeza. Itu adalah perkara yang gagal ditampilkan oleh Slaven Bilic di West Ham.

Lain halnya dengan Craig Shakespeare dan Tony Pulis. Bola sepak adalah industri beteraskan keputusan. Ia sama ada anda menghasilkan keputusan yang diingini atau anda akan pergi kerana dipecat.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram