Analisis & “Insight” Taktikal Final Euro 2020 – “Football’s Going To Rome”

Euro 2020 akhirnya noktahnya selepas lebih sebulan berlangsung apabila dua pasukan mengesahkan tempat ke perlawanan akhir yang menemukan England dan juga Itali. England mempunyai kelebihan kerana bermain di tempat sendiri dan sepanjang kejohanan ini hanya sekali saja England bermain di tempat lain ketika menentang Ukraine di suku akhir.

Itali turun dengan rekod yang sangat mengagumkan apabila tidak tewas dalam 33 perlawanan di bawah Roberto Mancini dan memecahkan rekod 31 perlawanan tanpa kalah Itali sebelum ini. Itali mahukan kejuaraan Euro buat kali kedua dan England yang pertama kali ke final pasti mahukan kejuaraan sulung dalam saingan Euro.

Perlawanan bagaimanapun terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat selepas masa tambahan. Berikut adalah analisis ringkas dari sudut taktikal apa yang berlaku sepanjang perlawanan.

1. Sistem bek bertiga Southgate

Ia memerlukan sesuatu yang berani dan keyakinan diri yang tinggi untuk seseorang pengurus melakukan perubahan besar dari segi taktikal dalam perlawanan besar dan penting. Jika taktikal yang menjadi perkiraan, Gareth Southgate boleh dianggap sebagai jurulatih yang bijak dalam memilih taktikal berdasarkan lawan. Ia juga membuktikan tahap fleksible Southgate dalam menentukan cara England bermain. Itulah perbezaannya apabila seseorang jurulatih mempunyai barisan pemain yang berkemampuan melakukan apa sahaja.

Untuk 45 minit pertama pilihan Southgate untuk menggunakan sistem bek bertiga nyata membuahkan hasil. Cara yang sama England membunuh permainan Jerman di pusingan 16 pasukan terbaik, Southgate menggunakan sistem bek bertiga dengan Luke Shaw dan Kieran Trippier sebagai bek sayap yang mendatangkan ancaman kepada Itali dari bahagian sisi. Ia adalah taktik serampang dua mata.

Bukan sahaja untuk melakukan ancaman, larian Shaw dan Tripper turut memaksa pemain sayap Itali – Lorenzi Insigne dan Federico Chiesa melakukan track back. Dan ketiga dua bintang paling menyerlah buat Itali ini cuba mencari ruang untuk menyerang, mereka mendapati diri perlu berhadapan dengan tiga pemain pertahanan England. Sepanjang 45 minit pertama, gandingan kedua-duanya hanya mampu menghasilkan tiga percubaan (semuanya dari jarak 30 meter atau lebih). England meneutralkan serangan Itali dengan baik. Sistem yang sama juga digunakan untuk menghukum Itali.

2. Pengaruh Kane dan ketiadaan Spinazzola

Harry Kane merekodkan 24 sentuhan pada babak pertama perlawanan menjadikan beliau pemain England keempat memiliki bola sepanjang tempoh itu. Babak kedua Kane hanya memiliki 12 sentuhan apabila Itali mulai menguasai perlawanan. Waktu tambahan jumlah tersebut terus berkurang kepada lapan kali. Angka-angka sentuhan bola oleh Kane pada setiap babak perlawanan cukup untuk mengisahkan perlawanan ini untuk England.

England beraksi dengan baik pada babak pertama, dan semakin kendur pada separuh masa kedua. Percubaan tepat pertama Kane adalah dari sepakan penalti apabila beliau menyempurnakan sepakan pertama penentuan sepakan penalti England.

Roberto Mancini dan Itali pula amat terasa ketiadaan Leonardo Spinazzola yang merencatkan serangan Itali sepanjang 45 minit pertama permainan. Ketiadaan Spinazzola yang sentiasa menjadi duri dalam daging buat pasukan lawan sepanjang Euro 2020 ini membuatkan kerja pemain-pemain England di bahagian pertahanan menjadi mudah. Sedar akan kepincangan tersebut, Roberto Mancini sedar sesuatu perlu dilakukan.

3. Berardi ubah arus perlawanan

Ciro Immobile hanya memiliki satu sentuhan dalam jarak 30 meter dari gol England sebelum dikeluarkan oleh Mancini pada minit ke-55 perlawanan. Tiada gerakan bahaya dari beliau sehingga membuatkan barisan pertahanan England menjadi santai. Mancini kemudiannya memasukkan Domenico Berardi untuk pemain penyerang itu. Ini bermakna Itali beraksi tanpa pemain penyerang sejati dengan Insigne mengambil peranan sebagai False 9.

Langkah ini berjaya menyukarkan England. Ia membenarkan Insigne, Chiesa dan Berrardi kebebasan untuk melakukan larian, dan saling bertukar posisi berdasarkan ruang yang dimiliki. Akhirnya pemain pertahanan England harus mengendurkan kecenderungan untuk naik ke atas, khususnya Shaw dan Trippier yang cemerlang pada 45 minit pertama perlawanan. Bahagian pertahanan England juga seperti terkejut dan bergelut dengan perubahan yang dilakukan Itali. Majoriti permainan pada babak kedua berlaku di kawasan England, dan akhirnya ia membuahkan gol penyamaan untuk Itali.

Penutup

Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bukayo Saka mengecewakan jutaan penyokong England di seluruh dunia apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti masing-masing. England gagal memenangi kejuaraan utama antarabangsa untuk 55 tahun dan buat masa ini tempoh itu akan berlanjutan.

Itali pula meneruskan kerja cemerlang mereka di bawah kendalian Roberto Mancini. Sejak gagal layak ke Piala Dunia 2018, Itali kembali bangkit menjadi sebuah pasukan baru di bawah Roberto Mancini yang menambah sengat Itali.

 

Baca artikel menarik lain mengenai Euro 2020:

Ini Pesanan Ratu Elizabeth Kepada Gareth Southgate Menjelang Final Euro 2020

7 Calon Untuk Anugerah Pemain Terbaik Euro 2020

5 Pemain Yang Akan Bersaing Rapat Untuk Ballon d’or 2021

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply