Analisis: Di Mana Silapnya England Dalam Aksi Final Euro 2020?

England Euro 2020

Artikel ini pasti tidak dikarang sekiranya England menjulang trofi Euro 2020 pada awal pagi tadi di Wembley. Tetapi apabila tewas, maka timbul 1001 sebab untuk mencari di mana silapnya skuad kendalian Gareth Southgate selepas mereka dikecewakan oleh Itali dalam penentuan sepakan penalti.

Antara inti kejayaan England mara sehingga perlawanan akhir adalah keberanian Southgate untuk membentuk sistem atau taktikal pasukan yang fleksibel dalam setiap perlawanan.

Ia boleh dilihat dengan jelas menerusi pertukaran atau penggiliran pemain dalam setiap perlawanan yang menemukan lawan yang berbeza kekuatan serta kelemahannya.

Sekalipun dilihat agak bergelut di peringkat kumpulan, England mengejutkan semua pihak dengan kejayaan menyingkirkan pasukan pilihan Jerman di pusingan 16.

Konsistensi yang runtuh

Dalam aksi final pada awal pagi tadi, pengendali England itu berjaya memanipulasi keutuhan benteng Itali menggunakan formasi 5-2-3 dengan sistem pertahanan tengah bertiga dan meletakkan dua pemain pertahanan sayap yang pantas.

Gandingan dua pemain pertahanan sayap itu Luke Shaw dan Kieran Trippier telah menghasilkan gol kurang dua minit selepas perlawanan dimulakan dengan meruntuhkan tembok Itali yang dikawal oleh dua pemain veteren Giorgio Chiellini dan Leonardo Bonucci.

Tetapi dengan meletakkan tiga pertahanan di hadapan gawang mereka itu akhirnya mendedahkan England kepada risiko yang tidak dijangka. Selepas satu jam perlawanan, mungkin terlalu dengan pendahuluan satu gol menyebabkan Itali berupaya memberi tekanan.

Bahagian tengah skuad Azzurri jelas beraksi lebih baik dalam perlawanan ini dengan trio Jorginho, Marco Verratti dan Nicolo Barella dilihat beroperasi dengan begitu selesa dalam mencorakkan serangan pasukan.

Kepantasan dan ketangkasan pemain sayap Itali iaitu Fecerico Chiesa dan Lorenzo Insigne juga membuatkan Shaw dan Trippier lebih banyak menumpukan perhatian di kawasan sendiri berbanding membantu bahagian serangan.

Akhirnya England dibolosi oleh jaringan Leonardo Bonucci dalam keadaan kelam kabut di hadapan gol yang menjadi kunci kepada kebangkitan Itali dalam perlawanan tersebut. Mereka terlalu perlahan untuk mengendurkan tekanan yang dicipta pihak lawan.

Respon daripada gol itu, Southgate bertindak memasukkan Bukayo Saka dan bertukar kepada formasi 4-3-3. England mungkin beraksi sedikit lebih baik hasil perubahan taktikal itu, namun pemain seperti Saka jelas sukar untuk melepasi pemain berpengalaman seperti Chiellini.

Kane kapten yang gagal?

Berdasarkan statistik peribadi pemain, kapten pasukan Harry Kane merupakan salah seorang pemain yang gagal untuk memainkan peranan yang sepatutnya sebagai tonggak utama serangan. Beliau gagal menghasilkan sebarang percubaan mahupun mencipta peluang gol.

Ia merupakan kali kedua beliau mencatat rekod buruk itu dalam 61 penampilannya untuk England. Tetapi bolehkah beban kekalahan diletakkan sepenuhnya di atas bahu Kane?

Dalam sebuah pasukan, mana-mana penyerang sekalipun, mereka memerlukan sokongan yang baik dari rakan sepasukan. Malangnya sepanjang perlawanan, Kane hampir tidak mendapat sokongan yang sepatutnya.

Beliau sering dilihat berada di garisan lebih rendah, bertindak seperti seorang pemain tengah. Ia jelas menunjukkan beliau amat bergelut untuk berhubung dengan rakan sepasukan lain, apatah lagi mahu mendapatkan jaringan penting untuk pasukannya.

Maka boleh dikatakan daripada 120 minit perlawanan, hanya dua minit sahaja England hanya berjaya memanfaatkan kelemahan Itali, selebihnya mereka gagal bermain dengan aksi yang dirancang.

Raheem Sterling dan Mason Mount yang menjadi pemain penting dalam sistem Southgate juga kelihatan lesu dan tidak mempunyai ketajaman permainan seperti kebiasaan. Ia jelas bukan malam yang baik buat Mount sehinggalah beliau dikeluarkan oleh Southgate pada masa tambahan.

Masih ada sinar

Bagaimanapun, ada beberapa perkara yang positif buat England dalam kempen Euro 2020. Ia adalah perkembangan dan kemajuan pasukan tersebut. Southgate telah membentuk barisan pertahanan yang cukup kuat dan kukuh dengan mereka hanya bolos dua gol sehaja sepanjang kejohanan ini.

Pemain-pemain muda yang mempunyai kreativiti serta corak permainan yang menarik jelas menggembirakan penyokong England yang melihat masa depan yang cerah buat negara itu pada masa akan datang.

Dalam kempen Piala Dunia tiga tahun lalu di Rusia, pasukan yang dibarisi majoriti pemain-pemain muda itu telah membuat kejutan mara sehingga ke separuh akhir sebelum dikecewakan oleh Croatia.

Tidak seperti beberapa dekad yang lalu, England bukan lagi sebuah pasukan yang meletakkan kebergantungan terhadap pemain ternama atau bintang tertentu, teapi mereka telah berubah kepada sebuah pasukan yang fleksibel dengan semua pemain yang dipanggil mempunyai peranan dan kepentingan dalam taktikal pasukan.

Ini memberikan harapan yang cukup besar untuk melihat mereka menamatkan kemarau kejuaraan antarabangsa yang kali terakhir dimenangi adalah pada tahun 1966.

Penutup

Mereka mempunyai tempoh setahun lagi untuk membuat persiapan bagi menghadapi Piala Dunia 2022 di Qatar yang akan bermula pada bulan November.

Saka, Foden, Mount, Jude Bellingham, Dominic Calvert-Lewin, Marcus Rashford, Jadon Sancho, Declan Rice, Reece James, Ben Chilwell, Ben White, Jack Grealish, Kalvin Phillips semuanya berusia 25 tahun dan ke bawah.

Mereka juga ada beberapa pemain muda lain yang menunggu untuk disenaraikan seperti Trent Alexander-Arnold, Mason Greenwood, Emile Smith Rowe, Ben Godfrey, Ollie Watkins, Brandon Williams, Harvey Barnes dan ramai lagi.

Kita pastinya mahu melihat kelibat pemain-pemain muda ini membuktikan mereka pemain yang jauh lebih baik di kejohanan bola paling berprestij di dunia itu.

Kempen bersejarah England dalam kejohanan Euro 2020 ini pastinya akan dikenang sebagai salah satu kemajuan yang menjanjikan kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak Eropah:

Kisah Giorgio Chiellini Bermandi Darah Demi Pertahan Maruah Itali Di Wembley

Analisis & “Insight” Taktikal Final Euro 2020 – “Football’s Going To Rome”

Ini Pesanan Ratu Elizabeth Kepada Gareth Southgate Menjelang Final Euro 2020

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply