Analisis: 11 Pemain Pilihan & Sistem Man Utd Jika Conte Ganti Solskjaer

Conte bakal ganti Solksjaer? Nasib dan masa depan Ole Gunnar Solskjaer terus menjadi pertanyaan sejak kekalahan 5-0 Manchester United kepada Liverpool pada hujung minggu lalu.

Khabar angin kini bertiup kencang dengan pelbagai laporan dari media di UK mengatakan pengendali dari Norway itu akan dipecat.

Antara calon pengganti yang hangat diperkatakan ialah bekas jurulatih Inter Milan dan Chelsea, Antonio Conte. Beberapa laporan lain turut melaporkan Conte secara terbuka telah menyatakan minat dan persetujuan beliau melatih Manchester United sekiranya dipilih.

Sekiranya peralihan tersebut benar-benar berlaku dalam masa terdekat, apakah perubahan yang bakal berlaku kepada kesebelasan utama, formasi dan taktikal Manchester United?

Sistem 3-5-2 Antonio Conte

Man United di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer sering dikritik kerana tiadanya identiti taktikal di dalam permainan yang diterapkannya.

Sering bergantung harap kepada formasi 4-2-3-1 atau 4-3-3, Man United di bawah kendalian Solksjaer didakwa sering bergantung harap kepada kebolehan individu pemain untuk meraih kemenangan.

Conte pula adalah seorang jurulatih yang mempunyai falsafah permainan tertentu/trademark di dalam taktikal yang dipraktikkan.

Jurulatih dari Itali ini begitu sinonim dengan sistem 3-5-2/3-5-1-1 yang menekankan kekuatan pasukan kepada dua bek sayap yang aktif. Sistem 3-5-2 ini akan menjadi 5-3-2 ataupun 5-4-1 pada fasa bertahan, atau berkembang menjadi 3-2-5 pada fasa serangan.

Bentuk pasukan seperti yang dinyatakan di atas adalah asas kepada sistem 3-5-2 yang digemari Conte. Tidak terikat kepada sistem 3-5-2 semata-mata, Conte juga adakalanya akan menggunakan sistem 3-4-3.

Bagaimana taktikal permainan bakal diterapkan pula akan ditentukan oleh lawan yang akan dihadapi, atau kemampuan teknikal pemain Man United itu sendiri.

Seperti semua sedia maklum, Man United dikatakan bermasalah di posisi defensive midfielder. Sistem ini sedikit sebanyak akan memberi lebih banyak keseimbangan kepada pasukan di fasa bertahan, tetapi menuntut disiplin permainan tinggi sebagai sebuah unit daripada pemain-pemain yang diturunkan.

Tetapi ini tidak bermakna Man United tidak perlu lagi berbelanja untuk mendapatkan pemain yang sesuai di posisi itu – melainkan Conte berkebolehan mengubah pemain seperti Donny van de Beek atau Scott McTominay menjadi pemain yang dominan di posisi tersebut.

Kesebelasan utama Man United

Lalu bagaimanakah penampilan Man United sekiranya Antoni Conte dilantik sebagai pengurus dan jurulatih baharu di Old Trafford? Kami kongsikan sedikit gambaran.

Sebenrnya Man United masih memiliki skuad yang agak besar berbanding pasukan-pasukan lain di Premier League.

Berdasarkan daftar pemain yang ada, Conte boleh membina lebih dari dua pasukan. Man United misalnya mempunyai ramai pemain tengah dan serangan yang berkebolehan – dan merupakan pemain antarabangsa.

Berdasarkan faktor tersebut, sistem 3-5-2/3-5-1-1 mungkin lebih sesuai berbanding 3-4-3 untuk digunakan. Berikut adalah gambaran kesebelasan utama Man United pilihan kami di bawah kendalian Antonio Conte:

XI Man United Antonio Conte, sistem 3-5-2.

Antara perkara yang anda perlu tahu ialah sistem 3-5-2 Conte mementingkan penggunaan 3 pemain bek tengah. Ini tidak akan menjadi masalah buat Man United kerana mereka memiliki tiga bek tengah yang dianggap selesa dengan bola di kaki (ball-playing centre back).

Harry Maguire misalnya adalah antara pemain dengan jumlah hantaran tertinggi pada musim lalu walaupun beliau adalah seorang pemain pertahanan tengah.

Begitu juga dengan Rapahel Varane yang dikenali sebagai antara pemain pertahanan terbaik di La Liga sebelum ini. Bukan sahaja kerana kualiti beliau ketika bertahan, Varane turut mempunyai keupayaan melakukan hantaran jauh berkesan untuk membantu serangan.

Lindelof melengkapkan senarai bek bertiga, dan pada prestasi terbaiknya pemain ini juga mampu menghasilkan permainan yang setaraf dengan mana-mana bek tengah terbaik dunia yang lain.

Turut menarik perhatian di dalam sistem baharu Conte bersama Man United ini ialah gandingan Paul Pogba dan Bruno Fernandes sebagai pemain tengah – atau dual No.10 (double tens).

Kita semua tahu kemampuan dua pemain ini dalam menghasilkan kreativiti pasukan. Bahagian serangan pula diketuai tidak lain dan tidak bukan oleh Cristiano Ronaldo, sambil dibantu oleh Marcus Rashford sebagai penyerang kedua.

Di atas ini pula adalah kesebelasn utama pilihan kedua yang boleh dilakukan oleh Conte. Jesse Lingard dan Jadon Sancho boleh digunakan untuk mengambil alih peranan Pogba dan Fernandes.

Di dalam sistem ini, Conte juga mungkin tertarik untuk menjadikan Sancho sebagai bek sayap kanan, sekaligus mengoptimumkan keupayaan pemain itu di bahagian sisi serangan.

Manakala Edinson Cavani sebagai penyerang utama dan digandingkan bersama Mason Greenwood sebagai penyerang kedua.

Dua rajah di atas cukup untuk menjelaskan squad depth dimilik Man United. Jangan lupa mereka juga masih mempunyai Anthony Martial sebagai penyerang, atau pemain seperti Fred dan Scott McTominay di bahagian tengah.

Agak aneh selama ini Solskjaer tidak mengoptimumkan penggunaan pemain yang beliau miliki.

Isu di dalam sistem 3-5-2 Conte bersama Man United

Antara isu yang bakal dihadapi Conte ialah kemampuan pemain di bek sayap. Di Man United, Luke Shaw atau Alex Telles dijangka akan mengisi posisi di sebelah kiri, manakala Diogo Dalot dan Aaron Wan-Bissaka akan beraksi di sebelah kanan.

Di dalam sistem ini, bek sayap memainkan peranan penting sebagai supplier utama bola dari bahagian sisi (width). Masalahnya selama ini pemain-pemain Man United tidak mempunyai rekod yang baik dalam penghasilan assist dari kedua-dua posisi.

Luke Shaw perlu mengembalikan kemampuan sepertimana ketika beliau bersama pasukan kebangsaan England untuk menjadi ancaman dominan dari sebelah kiri.

Wan-Bissaka pula sememangnya pemain yang memiliki kualiti ketika bertahan namun perlu memperbaiki kemampuan melakukan hantaran akhir untuk menjadi pilihan utama Conte di posisi sebelah kanan.

Ia tidak mengejutkan sekiranya Conte akan menggunakan pemain seperti Dalot lebih kerap selepas ini selepas pemain itu cemerlang beraksi sebagai bek sayap ketika tempoh pinjaman bersama AC Milan pada musim lalu.

Satu lagi kelemahan yang perlu diperbaiki oleh Conte ialah kelemahan Man United di posisi defensive midfielder.

Bukan sahaja untuk tujuan membantu bahagian pertahanan, di dalam bola sepak moden, posisi tersebut dilihat sebagai playmaker baharu dalam menggerakkan bahagian tengah untuk melancarkan serangan, selain menjadi nukleus untuk menstabilkan pasukan.

Setakat ini, pilihan yang ada ialah untuk menggunakan Nemanja Matic. Ketibaan Conte juga mungkin bermakna nafas baharu untuk Van de Beek yang turut memiliki kualiti beraksi di posisi tersebut.

Penutup

Sehingga artikel ini ditulis, belum lagi ada sebarang pengesahan mengenai pemecatan Solskjaer dan perlantikan Conte sebagai pengurus baharu Man United. Ia mungkin akan berlaku, dan juga mungkin tidak.

Artikel ini hanya memberikan gambaran secara ringkas apa akan berlaku kepada kesebelasan utama Man United dan sistem yang bakal digunakan sekiranya Conte mengambil alih jawatan panas itu di Old Trafford?

Sejauh mana penyokong-penyokong Man United teruja dengan Conte sebagai pengurus baharu berdasarkan apa yang baca di atas?

Kongsikan dengan kami melalui ruangan dan platform yang kami sediakan. Kami juga mahu mendengarnya daripada anda.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply