‘Anak Antoo’ Tak Perlu Risau Status Endrick Dos Santos Di Penang FC

endrick dos santos penang fc 1

Selepas saingan Liga Super 2021 menutup tirainya minggu lalu, penyokong Penang FC dilihat mula resah mengenai status kapten, Endrick dos Santos dan bek kanan, Quentin Cheng bagi saingan musim depan.

Kedua-dua pemain tersebut telah tampil cemerlang dalam membantu skuad Harimau Kumbang musim ini.

Penang FC mengejutkan banyak pihak apabila berjaya menamatkan musim pertama mereka kembali ke Liga Super di kedudukan ketiga, di belakang juara liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC.

Walaupun sedang diulit kegembiraan prestasi luar biasa pasukan mereka musim ini, masih ada resah di sudut hari mereka. Adakah Quentin Cheng dan Endrick tidak akan bersama pasukan lagi musim hadapan?

Jika dilihat semula, Quentin Cheng merupakan pemain kacukan Malaysia-Australia yang dipinjamkan oleh Selangor FC selepas pemain itu sendiri yang meminta untuk keluar memburu minit permainan di Liga Super apabila tidak dinaikkan pangkat dari Selangor 2 ke skuad utama Selangor bagi saingan musim 2021.

Dan Penang FC merupakan pilihannya sendiri disebabkan ‘pinangan’ pasukan tersebut datang kepadanya. Misinya sebaik tiba di Pulau Mutiara adalah meraih seberapa banyak minit permainan di Liga Super.

Hasilnya, beliau diturunkan dalam semua 22 perlawanan liga dengan merekod 1959 minit permainan – hanya kurang 21 minit untuk minit permainan sepatutnya. Berusia 21 tahun, ia pencapaian yang menakjubkan.

Untuk kembali ke Selangor semula, Quentin Cheng mungkin perlu membuat pertimbangan, adakah beliau akan diberikan peluang sebegini oleh mereka? Di Selangor, beliau perlu bersaing dengan dua pemain.

Gergasi Merah ketika ini memiliki kapten, Syahmi Safari di posisi tersebut disamping A. Namathevan yang merupakan pemain ‘backup’. Jika dilihat, pengendali Selangor menggunakan kedua-duanya musim ini.

Begitupun, Karsten Neitzel cukup ‘berhati-hati’ mengendalikan kedua-dua pemain ini dengan Syahmi Safari tidak akan bermain sepenuh masa, sementara Namathevan pula, jika dimasukkan menandakan perubahan akan berlaku di posisi tersebut. Namathevan yang dimasukkan lewat akan membantu membuat assist.

Menurut penganalisis bebas, Zuraimi Zukri, Namathevan melakar tiga assist, sementara Syahmi Safari tiada!

Kecenderungan Karsten Neitzel untuk tidak menggunakan bek sayap memperlihatkan Syahmi Safari tidak melonjak namanya seperti selalu kerana kekuatan bek kanan berpengalaman itu adalah sebagai bek sayap.

Menurut MerahKuning247, kecenderungan pengendali asal Jerman itu adalah menggunakan fullback dan bukan wingback, yang juga merupakan kekuatan utama Quentin Cheng – dengan lima assist musim ini.

Jadi, jika beliau masih sayangkan minit permainan yang ‘melimpah’, amat wajar beliau kekal di Penang FC, sama ada meminta Selangor untuk melepaskannya atau Penang FC yang melamarnya secara tetap.

Morales, Endrick, Careca Calon Pemain Naturalisasi

Sementara untuk status Endrick pula, rasanya penyokong Penang FC tidak perlu terlalu gundah gulana. Jika beliau dinaturalisasi sekalipun, ianya bakal bermula selewat-lewatnya pada penghujung musim depan.

Jika dibandingkan kes Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula, kedua-duanya melengkapkan tempoh lima tahun di Malaysia sebelum dinaturalisasi dan Endrick hanya akan melengkapkannya pada Januari 2023.

Beliau tiba di Liga Malaysia menyertai Felcra United pada Januari 2018 dan pada permulaan liga musim depan, beliau baru melengkapkan tempoh empat tahun di Malaysia. Jadi, apa yang terlalu mereka risaukan?

Ia bermula dengan kenyataan DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengenai dua pemain naturalisasi yang bakal menyertai mereka pada saingan musim 2022 menerusi video ini.

Begitupun, pendedahan tersebut dibuat tanpa menyebut nama pemain terlibat. Jika diamati, dua pemain tersebut telah pun tiba ke Iskandar Puteri selepas pengumuman tersebut iaitu Mohamadou Sumareh dan Guilherme de Paula. Sumareh tiba pada Februari 2021 dan Guilherme de Paula pula pada Mei 2021.

Dan jika benar sekalipun jodoh Endrick adalah JDT, ia hanya akan berlaku pada Januari 2023 apabila playmaker itu melengkapkan tempoh lima tahun di Malaysia dan selesai proses untuk dinaturalisasikan.

Oleh yang demikian, tidak perlulah terlalu resah memikirkan status kedua-dua pemain ini terutamanya Endrick. Untuk Quentin Cheng, pengurusan Penang FC tentunya ada perancangan untuk mendapatkannya.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply