Amri Yahyah Tinggalkan Selangor, Pemain Terbaik Gergasi Merah Selepas Mokhtar Dahari

Selangor FA mengucapkah terima kasih dan selamat tinggal kepada legenda hidup kelab mereka iaitu, Amri Yahyah.

Spekulasi masa depan Amri akhirnya terjawab apabila FAS mengeluarkan kenyataan rasmi tentang pemergian pemain tersebut.

FAS dalam kenyataan mereka berkata”

“Terima kasih Amri Yahyah!

Benar kata pepatah, kita hanya mampu merancang namun Allah yang menentukan. Sesungguhnya Dia lebih mengetahui apa yang terbaik bagi hamba-hambaNya.

Setelah hampir 16 tahun berbakti untuk pasukan Selangor, ketua pasukan dan juga living legend skuad Red Giants, Amri Yahyah dan pasukan memilih untuk tidak lagi bersama untuk musim hadapan.”

Foto: FA Selangor

Amri disifatkan FA Selangor sebagai pemain terbaik yang pernah mewakili mereka selepas era Mokhtar Dahari.

“Selepas pemergian allahyarham Mokhtar Dahari, tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa Amri adalah pemain terbaik yang pernah menyarung jersi Selangor.

Jasa yang ditaburkan oleh pemain yang berumur 38 tahun ini untuk pasukan Selangor terlalu banyak untuk diceritakan.”

Berikut adalah perjalanan karier Amri Yahyah:

“Lahir pada tanggal 21 Januari 1981, anak jati Tanjung Karang ini merupakan penjaring gol terbanyak untuk pasukan Red Giants dengan lebih 100 gol.

Segalanya bermula pada 20 tahun yang lalu, apabila Amri menyertai skuad Piala Milo Selangor selepas berjaya melepasi sesi pemilihan di Kelana Jaya.

Setahun kemudian, Amri berjaya menjuarai Piala Milo setelah membantu pasukan Selangor menewaskan Johor 2-1 di Stadium Larkin.

Disebabkan aksi cemerlangannya bersama skuad bawah umur, beliau telah dipanggil oleh Abdul Rahman Ibrahim yang merupakan ketua jurulatih skuad senior Selangor pada tahun 2001.

Pada tahun itulah Amri membuat debut beliau untuk skuad senior dan menjaringkan gol pertamanya untuk skuad Gergasi Merah sewaktu bertemu Johor FA dalam saingan Piala FA yang berkesudahan 1-1.

Amri sekali lagi membuktikan beliau merupakan pemain muda yang berpotensi tinggi pada ketika itu apabila beliau menjadi wira skuad Red Giants menjaringkan gol terakhir Selangor sewaktu menentang pasukan Perlis FA.

Untuk rekod, jaringan itu berjaya membawa Selangor ke peringkat suku akhir Piala FA selepas menewaskan Perlis FA melalui agregat 4-3.

Bukan sekadar mendapat perhatian jurulatih pasukan negeri sahaja, beliau juga dipanggil menganggotai skuad Sukan SEA 2001 namun terpaksa melupakannya selepas dibelenggu kecederaan.

Ternyata tahun 2002 merupakan tahun yang paling diingati oleh Amri dan penyokong Selangor selepas beliau menjaringkan gol emas untuk menewaskan Sabah FA 1-0 dan merangkul Piala Malaysia.

Sudah pasti itu merupakan jaringan yang paling ikonik bagi beliau dan akan terpahat di dalam memori kesemua penyokong pasukan Red Giants.

Namun kegembiraan itu tidak kekal lama apabila Amri terlibat dengan kemalangan yang menyaksikan beliau terpaksa berehat panjang sekaligus terlepas untuk beraksi bersama skuad kebangsaan bagi kejohanan Piala Tiger.

Pada tahun 2005, Amri sekali lagi mempamerkan magis beliau selepas menjaringkan gol penyamaan menentang Terengganu yang menyaksikan Selangor layak ke final Piala Malaysia dan memenanginya.

Lebih manis, tahun itu juga menyaksikan beliau membantu pasukan Selangor untuk meraih treble selepas meraih kejuaraan Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia.

Pada tahun 2008, Amri mencuba sesuatu yang baharu apabila beliau bermain di bahagian pertahanan kanan dalam majoriti perlawanan dan membantu Selangor ke perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

Dilantik sebagai ketua pasukan pada musim 2009 merupakan satu penghormatan kepada beliau kerana sifat kempimpinannya yang semula jadi.

Untuk musim pertamanya sebagai kepten skuad Merah Kuning, Selangor berjaya menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Piala FA dan Liga Super.

Beliau sekali lagi membantu Selangor untuk mengekalkan kejuaraan Piala Sultan Haji Ahmad Shah dan Liga Super untuk musim 2010.

Tiga tahun selepas itu, Amri menyerahkan lilitan kapten kepada rakan sepasukan beliau iaitu Asraruddin Putra Omar.

Pada tahun yang sama, peminat menyaksikan beliau menjaringkan gol terakhir untuk Selangor ketika menentang pasukan Johor sebelum meninggalkan skuad Merah Kuning dan berhijrah ke pasukan tersebut selama tiga musim.

Bagaikan sirih pulang ke gagang, Amri kembali menyarung jersi Merah Kuning pada pertengahan musim 2017 selepas berkelana seketika bersama pasukan Melaka United.

Bagi musim 2018, Amri sekali lagi membantu Selangor layak ke final Piala FA namun tewas kepada skuad Pahang yang pada ketika itu rata-rata dibarisi oleh pemain bintang.

Amri turut menjadi contoh tauldan untuk pemain-pemain muda Selangor dan sentiasa memberikan tunjuk ajar agar mereka menjadi pemain yang lebih baik.

Bagi musim terakhir beliau di Stadium Shah Alam, beliau sentiasa memberikan persembahan yang terbaik setiap kali diberikan peluang beraksi.”

Akhir sekali Selangor FA memberikan penghargaan tak terhingga kepada jasa dan bakti Amri Yahyah.

“Terlalu banyak jasa dan bakti yang telah beliau taburkan untuk pasukan Selangor dan akan sentiasa terpahat di dalam ingatan penyokong Red Giants. Selangor mendoakan agar Amri sentiasa menempa kejayaan di masa akan datang.

Wahai Amri Yahyah, anda adalah legenda dan sentiasa terpahat dalam ingatan kami.

Terima kasih kerana pernah menjadi sebahagian dari sejarah pasukan Red Giants.

Terima kasih, Wak Am!”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN