Allegri Dedah Rahsia Juventus Neutralkan Chelsea

Juventus berjaya menundukkan Chelsea di pertandingan UEFA Champions League pada awal pagi tadi dengan kemenangan tipis 1-0.

Keputusan perlawanan yang berlangsung di Stadium Allianz dalam saingan Kumpulan H itu dianggap sebagai perkara mengejutkan – mengambil kira prestasi semasa dan status Chelsea selaku juara bertahan.

Satu-satunya jaringan yang terhasil dalam perlawanan tersebut dijaringkan oleh Federico Chiesa pada minit ke-46 perlawanan.

Statistik tidak memihak Juventus

Berdasarkan statistik perlawanan yang diperolehi dari WhoScored, Juventus ternyata melalui perlawanan yang sukar berhadapan Chelsea.

Sepanjang perlawanan, skuad kendalian Massimiliano Allegri hanya mampu menghasilkan enam percubaan ke arah gawang Chelsea.

Hanya satu daripada percubaan tersebut menepati sasaran, iaitu percubaan Chiesa yang menjadi gol kemenangan Juventus.

Sumber: WhoScored

Chelsea pula memiliki statistik sebaliknya, dengan lebih banyak percubaan dilakukan ke arah gawang Juventus.

16 percubaan dihasilkan anak buah Thomas Tuchel, namun hanya tiga daripadanya yang menepati sasaran.

Selain perbezaan dari segi jumlah percubaan, Chelsea juga jelas lebih dominan di dalam perlawanan ini apabila mengasai 73% penguasaan bola.

Walaupun hanya menguasai 27% penguasaan, Juventus tetap berjaya merangkul tiga mata penting dari perlawanan ini.

Allegri dedah rahsia jinakkan The Blues

Ditanya wartawan selepas perlawanan mengenai hasil perlawanan tersebut, Allegri mendedahkan rahsia kemenangan Juventus dengan penuh bermadah.

“Kebiasaannya, apabila pelayar berada di lautan yang sedang dilanda ribut, mereka akan tahu bagaimana untuk mencari jalan keluar. Itulahyang kami lakukan pada hari ini, bermain dengan baik menentang juara eropah,” jawab Allegri.

“Kami boleh bermain lebih baik dari ini dari segi teknikal, tetapi hakikatnya kami berjaya menghalang lawan ruang untuk mendapat banyak peluang besar. Pada masa yang sama kami sendiri terlepas beberapa peluang dari serangan balas yang dihasilkan.

“Selepas melalui dua perlawanan, enam mata dan tidak dibolosi, ia adalah langkah baik untuk kami mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.”

Apa yang dimaksudkan oleh Allegri ialah fokus utama permainan Juventus pada malam tadi ialah untuk menghalang jentera serangan Chelsea dari menghadirkan sebarang ancaman – dan itulah yang berjaya mereka lalukan sepanjang perlawanan mengekang ancaman daripada Romelu Lukaku, Hakim Ziyech dan Kai Havertz.

Berdasarkan perlawanan-perlawanan yang dilalui Juventus dalam saingan Serie A sebelum ini, terdapat penambahbaikan ditampilkan di bahagian tengah, di mana Manuel Locatello dan Rodrigo Bentancur digandingkan.

Ini kerana kedua-duanya kini tampak lebih memahami permainan antara satu sama lain untuk menemui keserasian yang diperlukan.

“Bentancur sedikit bergelut, tetapi Locatelli beraksi dengan lebih baik menghalang Lukaku. Adrien Rabiot tidak bermula dengan baik, tetapi beliau beraksi lebih baik tatkala perlawanan semakin rancak.

“Juventus perlu belajar untuk memenangi perlawanan seperti ini. Apabila anda ditekan, anda harus melawan untuk mendapat keputusan positif. Itulah pemain-pemain lakukan dalam perlawanan ini.

“Saya menghormati [Chelsea] juara eropah, tetapi jujurnya Wojciech Szczesny tidak perlu melakukan aksi menyelamat yang sukar dalam perlawanan ini.”

Mungkin itulah yang Allegri mahukan. Biarkan sahaja Chelsea mendominasi perlawanan tetapi menyukarkan mereka mencari ruang untuk menjaringkan gol. Dan akhirnya satu gol memadai untuk meraih tiga mata.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply