Alistair Edwards: Peluang Berguru Bersama Van Gaal, Kini Mulai Beri Impak Buat JDT

Nama Alistair Edwards mempunyai nilai tersendiri dalam lipatan sejarah bola sepak negeri Johor. Sejak Liga Semi Pro diperkenalkan pada 1989, Johor FA muncul pasukan pertama yang berjaya meraih gelaran berganda Liga Divisyen 1 dan juara Piala Malaysia pada musim yang sama iaitu pada 1991.

Johor FA adalah pasukan Malaysia pertama yang disertai Alistiar – setelah menyerlah bersama Singapura di saingan Liga Semi Pro pada musim sebelumnya. Pada ketika itu, Johor FA yang berada di bawah kendalian Michael Urukolo, turut memiliki tenaga import seperti Ervin Boban dan juga Abbas Saad.

Skaud Johor FA 1991. Kredit: Pemilik gambar.

Itu serba sedikit permulaan pembabitan Alistair Edwards di bola sepak negeri Johor – selain turut pernah mencipta nama bersama Singapura, Selangor dan juga Sarawak di kancah saingan Liga Malaysia selepas itu.

Karier awal sebagai pemain

Dilahirkan pada 21 Jun 1968, Alistair Martin Edwards dilahirkan di Whyalla di selatan Australia. Kedua-dua ibu bapa kepada Alistair sebenarnya berasal dari Scotland.

Keluarga beliau berhijrah ke Kwinana ketika Alistair masih kanak-kanak, sebelum beliau menyertai skuad remaja tempatan yang mewakili Australia Barat yang menjuarai kejuaraan kebangsaan peringkat umur Bawah-18 tahun.

Australian youth Soccer team portraits. David Shute, Alistair Edwards, Derek Caisley. August 07, 1986. (Photo by Peter John Moxham/Fairfax Media via Getty Images).

Pada usia 17 tahun, Alistair kemudiannya menyertai Institut Sukan Australia di Canberra di bawah program elit kelolaan Pusat Kecemerlangan Persatuan Bola Sepak Australia (FFA) sebelum menyertai Rangers di Scotland pada 1988. Namun demikian karier bola sepak beliau yang sebenar bermula bersama Sydney Olympic Football Club setahun selepas itu, sebelum dipinjamkan bersama kelab Inggeris, Brighton & Hove Albion.

Alistair Edwards at 22 has just been selected for the Australian soccer side he also plays for Sydney Olympics. January 11, 1991. (Photo by Dean Sewell/Fairfax Media via Getty Images).

Di peringkat antarabangsa, Alistair pernah beraksi untuk skuad B-20 Australia di Piala Dunia B-20 pada 1987 yang diadakan di Chile – dan menjaringkan satu gol ketika membantu negaranya mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Togo di saingan peringkat kumpulan.

Alistair turut menyarung jersi skuad senior Socceroos sebanyak 19 kali dan menjaringkan tiga gol diantara 1991 sehingga 1997.

Karier di Malaysia

Dua musim bersama Johor, Alistair kemudiannya kembali ke seberang tambak untuk menyertai Singapura – sebelum disambar oleh Selangor untuk bergandingan dengan Azman Adnan, dan Anuar Abu Bakar pada 1994.

Cita-cita beraksi di Eropah tidak pernah padam di dalam diri Alistair. Pengalaman bersama Rangers dan Brighton tidak pernah membuatkan beliau serik. Setelah semusim bersama Selangor, Alistair sekali lagi mencuba nasib di England, kali ini bersama Milwall. Sekali lagi ia bukan perjalanan yang diharapkan, dan sekali lagi Alistair kembali ke Australia.

Jodoh beliau di dalam bola sepak seperti sudah tertulis ialah di Malaysia. Musim 1997, beliau menyertai Sarawak dan berjaya membantu pasukan dari Borneo itu bergelar juara Liga Perdana Malaysia pada musim pertama, dan juara Piala Sumbangsih pada 1998. Kejuaraan liga pada 1997 itu kekal sebagai kejuaraan utama yang pernah dimenangi Sarawak sehingga kini.

Beliau kemudiannya kembali ke Australia dengan menyertai Perth Glory sehingga 2004 sebelum bersara sebagai seorang pemain.

Anak buah Louis van Gaal

Lebih 10 tahun sebelum menyertai JDT sebagai Pengarah Sukan/ Teknikal, Alistair kemudiannya mengasah pengetahuan beliau di dalam bidang kejurulatihan dan pembangunan bakat muda.

Sepanjang tempoh itu beliau pernah mengendalikan pasukan peringkat umur lelaki dan wanita Australia, membawa pasukan bimbingan beliau tampil di pelbagai kejohanan anjuran FIFA, AFF dan AFC.

Malah pada satu ketika beliau pernah berguru selama sebulan di Belanda bersama AZ Alkmaar, semata-mata untuk berguru terus dengan pengurus terkenal, Louis Van Gaal.

PERTH, AUSTRALIA – NOVEMBER 11: Perth Glory CEO Jason Brewer, new recruit William Gallas and head coach Alistair Edwards talk to the media at a press conference at Cape Lamberts Gold offices on November 11, 2013 in Perth, Australia. (Photo by Paul Kane/Getty Images)

Sebagai bekas pemain Perth Glory, Alistair turut pernah membimbing skuad utama Perth Glory. Musim pertama bersama kelab Australia itu, Alistair menyelamatkan kedudukan mereka yang berada di dasar liga – sehingga berjaya ke perlawanan play-off ketika musim tersebut berbaki tujuh perlawanan.

Namun beliau meninggalkan kelab tersebut pada penghujung 2013, selepas dilaporkan tidak mempunyai persefahaman dengan pemain senior pasukan, disebabkan polisi Alistair yang mengutamakan bakat muda kelab.

Kembali ke Malaysia

Malaysia sentiasa menjadi rumah kedua buat Alistair. Jawatan pertama beliau sebagai bekas pemain di negara ini ialah sebagai Pengarah Teknikal Real Mulia pada 2015 – yang pada ketika itu beraksi di Liga FAM. Namun kelab bola sepak tersebut mengalami masalah kewangan sehingga terpaksa menarik diri dari saingan Liga Malaysia

Dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki, gergasi bola sepak tanah air, JDT pantas menyambar Alistair dan melantik beliau sebagai Pengarah Sukan. Ini menjadikan JDT sebagai kelab dan persatuan pertama yang mengikut acuan eropah dalam perlantikan seorang Pengarah Sukan.

“Saya rasa seperti pulang semula ke rumah kerana saya sudah menghabiskan masa selama dua tahun yang indah di sini. Ramai anak Johor masih mengingati kenangan lama,” katanya yang dipetik dalam laman sosial rasmi JDT.

“Bagi saya ia benar-benar seperti mimpi dapat mencapai ke peringkat ini di dalam kerjaya saya. Dengan pengalaman penuh saya menyusun atur semula bola sepak Australia, kini saya kembali untuk membantu melaksanakan projek yang sama untuk JDT.

(Photo by Paul Kane/Getty Images)

“Kembali ke Johor umpama satu impian bagi saya dan ia adalah satu penghormatan besar apabila TMJ meminta saya membantu beliau dalam projek besar ini,” ujar Alistair ketika baru memegang jawatan tersebut satu ketika dahulu.

Selain itu, Alistair turut memuji tindakan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mewujudkan jawatan Pengarah Sukan yang disifatkan satu lagi peringkat profesionalisme yang mahu diserapkan ke pasukan itu,

“Bagi saya, ia satu lagi platform bagi saya untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran saya dengan pasukan yang hebat ini.

“Apa yang TMJ buat sekarang sudah menjadikan JDT sebuah kelab yang paling profesional dan kita sedang menumpukan lebih ke dalam bidang perniagaan, tambahan lagi saya mempunyai Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan (MBA).

“Sebelum ini saya pernah bekerja dengan pasukan kebangsaan Australia. Dengan pengalaman yang saya ada, saya berperanan untuk berkongsi dan melakukannya bersama-sama.

“Saya akan terbabit dalam pemindahan urusan, rundingan dan segala-galanya tetapi pada masa ini kita (JDT) mempunyai ketua jurulatih untuk pasukan, dan itu adalah pasukannya, Jadi peranan saya adalah untuk membantunya hanya dalam pengurusan.”

Pengarah Teknikal

Pada 2017, JDT mengumumkan peranan Alistair sebagai Pengarah Sukan diambil alih oleh Luciano Figuroa (kini pengurus JDT). Manakala Alistiar dilantik pula sebagai Pengarah Teknikal untuk JDT.

Jika bola sepak eropah yang dijadikan perbandingan, jawatan Pengarah Teknikal dan Pengarah Sukan tidak mempunyai perbezaan. Namun keperincian yang dituntut oleh TMJ untuk membentuk JDT melangkaui apa yang boleh dicapai pada hari ini dipercayai sebagai sebab utama penstrukturan sebegini dilakukan.

Bola sepak Malaysia dan Asia memang banyak perbezaannya dengan bola sepak Eropah. Bagaimana kita mahu menafikan bola sepak kita sudah jauh ketinggalan dengan apa yang telah dicapai di eropah.

Untuk itu, Alistair Edwards telah diberikan peranan yang lebih spesifik sebagai Pengarah Teknikal JDT. Jika sebelum ini, beliau lebih banyak terlibat dengan perkembangan skuad utama JDT, kali ini beliau diberikan peranan untuk memastikan aspek pembangunan kelab turut tidak terabai.

Tugasan tersebut termasuklah membantu JDT mencari pemain muda berkualiti dari seluruh negara untuk menjadi pemain utama skuad Harimau Selatan pada masa hadapan.

Rumusan

Jika di eropah, jawatan Pengarah Sukan/Teknikal bukanlah satu perkara yang asing. Contohnya seperti Leonardo di Paris Saint-Germain, Matthias Sammer di Bayern Munich, Txiki Begiristain di Barcelona dan Manchester City (era Pep Guardiola) dan Michael Zorc di Dortmund. Walaupun jawatan mereka sama, keluasan skop tugas mereka berbeza anatara satu sama lain.

Jika orang yang betul berada di jawatan yg betul, isu birokrasi dapat dikurangkan dan sumbangan setiap orang dapat memberikan kesan yang sangat efektif.

Mungkinkah sudah sampai masanya persatuan-persatuan dan kelab bola sepak Liga Malaysia yang lain mulai serius mempertimbangkan khidmat seorang pengarah teknikal seperti Alistair Edwards?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram