Albert Braut Tjåland Jelmaan Erling Haaland Impi Sertai Liverpool

Perkaitan Albert Braut Tjåland yang bersepupu dengan penyerang muda sensasi Borussia Dortmund, Erling Braut Haaland sememangnya sudah diketahui ramai.

Ketajaman Tjåland di hadapan gawang juga sering menjadi bualan dan dikatakan memiliki kemampuan mirip saudaranya yang lebih tua itu. Bukan sahaja kemampuan. Albert Braut Tjåland juga dilihat memiliki gaya dan susuk badan yang mirip Erling Braut Haaland.

Tjåland ikut jejak langkah Haaland

Seperti Haaland, Tjåland juga seperti mengikut jejak langkah sepupunya itu apabila menjaringkan gol melalui penampilan kompetitif pertamanya bersama Molde FK di pertandingan Piala Norway menentang Spjelkavik IL.

Penyerang berusia 17 tahun itu sebelum ini mendapat perhatian dan disamakan dengan Haaland selepas menjaringkan 40 gol dari 31 perlawanan untuk skuad remaja Bryne FK sebelum dipinang Molde – kelab sama di mana Haaland mengembangkan bakat profesionalnya.

Musim lalu pemain berketinggkian 6 kaki 1 inci ini menyumbat 64 gol dari 37 penampilan untuk skuad remaja Molde – cukup untuk beliau melayakkan diri berada di dalam skuad utama Molde pada musim akan datang.

Pada perlawanan yang berlangsung pada Ahad lalu, Tjåland diberikan minit perlawanan oleh pengurus pasukan, Erling Moe menentang skuad divisyen keempat Norway, Spjekkavik di pertandingan Piala Norway.

Molde dengan mudah menewaskan lawan mereka itu dengan jaringan 4-1 hasil jaringan  Magnus Grødem, David Fofana, Ola Brynhildsen dan Albert Braut Tjåland.

Aksi Tjåland menarik perhatian kerana pada usianya itu, telah berjaya menghasilkan permainan meyakinkan, sebelum menyudahkan peluang satu-lawan-satu selepas memanfaatkan kecuaian benteng pertahanan lawan.

Adakah gol kompetitif tersebut akan menjadi jaringan pertama yang akan diikuti oleh banyak lagi gol selepas ini seperti yang pernah dipamerkan oleh Haaland? Kemungkinan itu sentiasa ada.

Persamaan dengan Haaland

Erling Haaland sendiri turut menghasilkan gol yang serupa dalam situasi satu-lawan-satu untuk Molde melalui penampilan pertamanya di Piala Norway dalam kemenangan 3-2 ke atas Volda TI pada 2017.

Dua bulan kemudian, Haaland menjaringkan gol pertamanya di saingan liga. Walaupun hanya menghasilkan empat gol dari 20 penampilan untuk Molde pada musim pertamanya sebagai pemain profesional, prestasi Haaland sudah cukup meyakinkan RB Salzburg menyambar bakat muda itu pada musim berikutnya.

Seperti madah Inggeris katakan, the rest is history. Kita semua tahu bagaimana perjalanan Haaland dari Salburg di Austria sehingga disambar Borussia Dortmund selepas itu, dan pada hari ini Haaland dianggap sebagai antara penyerang muda paling bernilai di dunia.

Tjåland minta pendapat Haaland

Sebagai sepupu kepada Haaland, sudah tentu Tjåland pernah bercakap dan meminta pendapat daripada Haaland mengenai bola sepak dan karier.

“Saya memilih Molde kerana di sini mereka memiliki pusat latihan yang lengkap,” ujar pemain muda itu dalam satu temuramah bersama media Norway, VG.

“Mereka menerima saya dengan baik sekali, sangat berminat dan mempunyai pelan yang baik untuk saya.

“Saya tidak sabar untuk melalui karier bersama Molde. Ia kelab yang sesuai untuk terus berkembang. Saya bercakap dengan beliau [Haaland]. Beliau meyakinkan saya ini tempat yang sesuai untuk terus memajukan diri, tetapi keputusan itu dilakukan saya sendiri.”

Tjåland peminat Liverpool

Seperti sepupunya itu, Tjåland juga memiliki impian beliau tersendiri. Dalam satu sesi soal jawab di laman Instagram Rising Ballers pada awal tahun ini, pemain muda itu menetapkan sasaran untuk beraksi bersama kelab yang beliau anggap sebagai yang terbaik di dunia.

“Sudah tentu saya mahu beraksi bersama kelab terbaik di dunia. Kelab kegemaran saya adalah Liverpool, maka… [faham-fahamlah].”

Kami pasti ini bukan kali terakhir kita akan mendengar nama Albert Braut Tjåland. Siapa tahu satu hari nanti beliau akan menjadi salah seorang pemain bintang di Premier League, bersama tidak lain dan tidak bukan, kelab terhebat dunia, LIVERPOOL.

 

Sumber: SB

 

Baca artikel menarik lain mengenai bola sepak antarabangsa:

Merungkai Krisis Di Barcelona, Messi Perlu Tunggu Sehingga Januari Untuk Beraksi?

Senarai Pemain Chelsea Yang Membelot Ke Arsenal, Tetapi Ramai Gagal Beri Impak

Mengapa Penyokong PSG Benci Pogba?

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN