Al-Ikhsan Sports, Melaka United Jalin Kerjasama Selama Dua Musim

Al-Ikhsan Sports

Al-Ikhsan Sports hari ini menandatangani perjanjian penajaan bersama Melaka United Soccer Association (MUSA) untuk musim 2020 dan 2021 menerusi jenama AL Sports.

Majlis yang diadakan di cawangan Al-Ikhsan Sports di Mahkota Parade, Melaka tersebut telah dirasmikan oleh YB Damian Yeo Shen Li, yang merupakan Presiden Melaka United Soccer Association.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Al-Ikhsan Sports, jenama terkenal tanah air itu mengucapkan terima kasih kepada pihak MUSA di atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada Al-Ikhsan Sdn Bhd dalam misi mengejar kecemerlangan bola sepak di negeri Melaka.

Penajaan ini juga membuktikan sokongan berterusan dan komitmen Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd untuk memberikan perkhidmatan dan produk bola sepak terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia.

Melaka FA yang ditubuhkan pada tahun 1924 telah banyak melahirkan pemain-pemain lagenda negara, seperti Datuk Soh Chin Aun, Ramli Junit, Rahim Abdullah, Datuk Ong Kim Swee, dan ramai lagi.


Tahun 1983 merupakan tahun keemasan buat pasukan Melaka apabila berjaya muncul juara Liga Malaysia pada tahun tersebut.

Pada tahun 2014, nama pasukan Melaka FA diubah kepada Melaka United Soccer Association (MUSA) yang ketika itu diterajui oleh Presiden, Datuk Seri Utama Ir Idris Haron dan disokong oleh Naib Presiden, Datuk Wira Yusoff Mahadi.

Skuad Hang Tuah sekali lagi mencipta kejayaan pada tahun 2015 apabila berjaya mendominasi Liga Perdana Malaysia dan dinobatkan sebagai juara Liga Perdana 2016.

Menurut Vach Pillutla, Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, “AL Sports yang merupakan jenama di bawah naungan Al-Ikhsan Sports kini semakin aktif dalam menonjolkan jenama kami di mata negara.

”Kami yakin, dengan kualiti terbaik, pasti AL Sports akan dapat menyediakan kelengkapan bola sepak berkualiti tinggi untuk pasukan Melaka United.”

Vach Pillutla

”Kami juga yakin Melaka United merupakan sebuah pasukan yang mempunyai penyokong setia yang ramai sekaligus mampu untuk membawa jenama AL Sports untuk lebih terkenal di pasaran Malaysia”.

“Peluang untuk menaja Persatuan Bola Sepak Melaka United akan digunakan sebaiknya untuk memperluaskan pasaran jenama AL Sports di kalangan peminat bola sepak Malaysia. Kualiti produk AL Sports akan dapat dilihat sendiri oleh pengguna dengan lebih dekat nanti.”

”Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd akan terus mencari peluang untuk memperbanyakkan lagi kerjasama untuk tujuan penajaan mahupun usahasama dengan mana-mana persatuan sukan di peringkat kebangsaan untuk terus menyokong pembangunan sukan di Malaysia.”

Bagi menghadapi musim 2020, Melaka United telah merekrut tiga pemain import baharu iaitu Romel Morales, Deshorn Brown dan Uche Agba di samping membawa masuk pemain tempatan seperti Norazlan Razali, Ahmad Syamim Yahya, Curran Ferns, Nurridzuan Abu Hassan, Feris Danial Mat Nasir serta Khairul Anwar Shahrudin.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram