Aksi Selangor Menentang JDT Paling Mencuri Tumpuan, Catat 1.7 Juta Tontonan

Selangor JDT

Data tontonan aksi Liga Super 2021 yang dikeluarkan oleh pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menunjukkan bahawa pertembungan di antara pasukan juara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Selangor menjadi tumpuan utama dengan mencatatkan 1,710,079 tontonan.

Rekod tersebut membuktikan bahawa dua pasukan ini ternyata mempunyai kelas tersendiri sehingga perlawanan melibatkan mereka mendapat perhatian dari seluruh peminat bola sepak di seluruh negara.

JDT terus unggul dengan rekod kejuaraan kelapan berturut-turut, sementara Selangor pula merupakan sebuah pasukan yang kaya dengan sejarah kegemilangan dan kekal menjadi pasukan paling berjaya dalam sejarah bola sepak tempatan.

Liga Super 2021 yang membabitkan 132 perlawanan telah berjaya mencatatkan 77,965,339 jumlah tontonan melalui platform YouTube rasmi unifi menerusi data yang dikumpul sehingga 20 September 2021.

Angka peratus bagi musim 2021 tersebut tenyata jauh lebih baik dibandingkan 16,223,282 jumlah tontonan Liga Super 2020 walaupun ia hanya melibatkan 66 perlawanan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan dalam tempoh pandemik COVID-19 pada tahun lalu.

Bagi tontonan secara siaran langsung untuk 132 perlawanan Liga Super 2021 yang disiarkan menerusi tiga platform iaitu Sports Channel di unifi TV & unifi PlayTV, unifi YouTube dan saluran TV1 RTM (menerusi set top box unifi), mencatatkan rekod 35,891,793.

Siaran langsung Liga Super 2020 di platform YouTube unifi bermula perlawanan minggu kelima sehingga minggu ke-11 sebagaimana penaja utama Liga Malaysia, Telekom Malaysia (TM) mengumumkan siaran langsung Liga Malaysia secara percuma pada perlawanan kelima.

Ini kerana kali terakhir penonton dibenarkan turun ke stadium pada perlawanan Liga Super ketiga bagi tahun 2020 (11 Mac 2021) dan perlawanan ke-13 (9 Mei 2021) bagi tahun 2021 susulan pelaksanaan PKP di seluruh negara.

Bagi Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, data terbaharu jumlah tontonan perlawanan Liga Super di YouTube unifi pada musim 2021 membuktikan bahawa Liga Malaysia masih dekat di hati peminat bola sepak tanah air serta mempunyai aura tersendiri.

“Sudah pasti ini satu angka yang cukup positif di mana perkembangan Liga Malaysia khususnya Liga Super 2021 terus diikuti peminat bola sepak di negara ini. Di sebalik pandemik COVID-19 yang melanda, saingan Liga Super terus rancak dan mendapat perhatian semua.

“Terima kasih kepada semua pasukan yang menunjukkan komitmen yang tinggi dalam meneruskan saingan dan tidak lupa kepada pihak unifi yang mengambil inisiatif menyiarkan siaran langsung Liga Super 2021 secara percuma menerusi platform unifi dan juga RTM bagi memastikan semua penyokong dapat menonton perlawanan ketika kerajaan menetapkan larangan kemasukan penyokong sebelum ini.

“Saya percaya dengan inisiatif unifi dan RTM ini dapat menyemarakkan bukan saja Liga Malaysia malah menitipkan semangat buat industri bola sepak tanah air yang terkena tempias akibat pandemik COVID-19.

“Tidak lupa juga kepada semua penyokong yang terus memberikan sokongan kepada pasukan-pasukan dalam aksi Liga Super dan diharap sokongan ini berterusan bagi saingan TM Piala Malaysia yang kini menyambut ulang tahun ke-100,” katanya.

Aksi JDT bertemu Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 April 2021 pula menjadi perlawanan kedua paling banyak tontonan dengan mencatatkan 1,684,922.

Diikuti aksi ketiga tertinggi jumlah tontonan iaitu Penang FC menentang JDT di Stadium Bandaraya pada 8 Mei 2021 dengan rekod 1,630,076.

Berdasarkan data sehingga 20 September 2021, secara keseluruhan JDT menjadi pasukan paling banyak jumlah tontonan di platform YouTube unifi sebanyak 22,600,959 diikuti Kedah Darul Aman FC iaitu 15,901,863 dan Penang FC mencatatkan jumlah tontonan sebanyak 13,211,869.

Manakala rekod tontonan siaran langsung menerusi tiga platform iaitu Sports Channel di unifi TV & unifi PlayTV, unifi YouTube dan saluran TV1 RTM (menerusi set top box unifi) pula menyaksikan tiga perlawanan melibatkan JDT mencatat jumlah tertinggi iaitu aksi menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei 2021 sebanyak 698,341 dan melawan Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman pada 4 Mei 2021 berjumlah 670,706.

Rekod tontonan siaran langsung ketiga tertinggi adalah aksi JDT menentang Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 17 Mac 2021 iaitu 651,295.

Perlawanan yang merekodkan gol terbanyak dalam satu perlawanan dalam kempen Liga Super 2021 melibatkan pertemuan Perak FC dan Penang FC dengan mencatatkan keputusan 3-5 sementara penyerang Selangor, Ifedayo Omosuyi muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Super 2021.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply