EKSKLUSIF: Akram Mahinan Tidak Pernah Menyesal Memilih Ke JDT

akram

Pemain tengah Kedah, Akram Mahinan menyatakan kepada Semuanya BOLA bagaimana kariernya banyak dipengaruhi oleh bintang-bintang yang beraksi di JDT sebelum ini.

Semuanya BOLA telah berpeluang untuk berinteraksi dengan Akram menjelang pertembungan Helang Merah dan Melaka dalam saingan unifi Liga Super 2018 pada malam ini.

Antara pemain-pemain yang menjadi rujukan dan juga sumber menimba ilmu adalah penyerang ikonik negara, Safee Sali, Safiq Rahim, Pablo Aimar dan juga Dani Guiza.

“Safee Sali banyak beri kata-kata semangat dan keyakinan kepada saya. Dari segi gaya permainan, saya mencontohi Safiq Rahim,” ujar pemain kebangsaan berusia 25 tahun itu.

AKRAM, SAFEE
FOTO: Hafiz Hassan

“Saya juga pada waktu itu dapat lihat dan berlatih bersama-sama Pablo Aimar dan Guiza,” tambahnya lagi yang baharu sahaja mendapat kaps ke-8 bersama skuad kebangsaan.

JDT sebagai tapak permulaan

Kariernya di JDT ada turun dan naiknya. Di awal penyertaannya ke JDT pasca meninggalkan Harimau Muda B pada 2013, dia kerap kali diberikan peluang beraksi dalam skuad utama.

Namun, dia diturunkan pangkat ke JDT II yang beraksi di Liga Premier pada musim berikutnya dan terperuk di sana untuk dua musim iaitu sehingga musim 2015.

Dia kembali ke skuad utama JDT yang bersaing di Liga Super pada musim berikutnya, dan rupa-rupanya itu adalah penamat kepada karier empat tahunnya di Harimau Selatan.

Bercakap kepada FourFourTwo pada tahun lalu, dia menyatakan dia meninggalkan JDT dengan tekad mahu buktikan dia boleh beraksi di saingan liga utama negara.

“Saya perlu buktikan yang saya mampu beraksi baik di Liga Super. Semua pemain di JDT sebegitu, saya juga tiada bezanya. Kami mahu bermain,” ujarnya lagi kepada FourFourTwo.

Semuanya BOLA tanpa berselindung juga telah bertanyakan kepadanya, adakah dia pernah merasa menyesal menyertai JDT selepas meninggalkan skuad Harimau Muda.

“Ianya baik sebagai permulaan karier saya. Dengan usia ketika itu (20 tahun), saya dapat bermain bersama bintang-bintang bola sepak negara seperti Safee Sali dan Aidil Zafuan.

“Ketika itu pasukan di bawah kendalian Fandi Ahmad. Dia banyak bantu dan beri peluang kepada saya,” jelasnya lagi yang kini telah berkahwin dan memiliki seorang cahaya mata.

Kini watak penting Kedah dan Harimau Malaya

Awal kehadirannya ke skuad Hijau Kuning, dia terpaksa bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama dengan seorang lagi bintang muda sensasi, Amirul Hisyam Awang Kechik.

Pada ketika itu, Amirul Hisyam telah membentuk persefahaman jitu bersama maestro mereka, Liridon Krasniqi dan telah meraih kejuaraan Piala Malaysia 2016 bersama.

AKRAM
FOTO: Facebook KFA

Begitupun, Akram yang dilahirkan di Kulim menyatakan yang dia merasa bahagia dan juga menikmati segalanya ketika beraksi bersama negeri kelahirannya itu semula.

Musim 2017, Amirul bergelut dengan masalah kecergasan dan ketua jurulatih ketika itu, Tan Cheng Hoe telah memberikan peluang buat Akram untuk turun beraksi.

Sejak dari itu, dia tidak menoleh lagi kebelakang. Kini, dia adalah gandingan utama yang beraksi bersama Liridon, sementara Amirul Hisyam pula menjadi pemain sokongan.

Dia juga kini telah menjadi tonggak utama kepada skuad kebangsaan bersama ketua jurulatih baharu, Cheng Hoe, iaitu bekas ketua jurulatihnya di Kedah sebelum ini.

Bersama Nazmi Faiz Mansor, Akram adalah antara lima pemain yang telah mendapat lebih 200 minit permainan dalam 4 perlawanan kendalian Cheng Hoe.

“Saya gemar bergandingan dengan Nazmi Faiz dan Irfan Fazail,” ujarnya mengenai gandingan kegemarannya ketika tugasan bersama skuad kebangsaan.

Penutup

Penulis pernah menemuramahnya ketika dia beraksi bersama Harimau Muda B dan merupakan kapten skuad tersebut. Impiannya ketika itu adalah untuk beraksi di luar negara.

Meminati Arsenal dan pemain, Alex Song, Akram memasang impian beraksi di The Emirates di masa depan, namun dengan usianya kini, ianya mungkin semakin samar.

Walaubagaimanapun, dia kini tetap boleh berbangga dengan apa yang dimilikinya. Pada usia 25 tahun, dia adalah tonggak utama untuk skuad Kedah dan juga kebangsaan.

Ruang yang ditinggalkan oleh Safiq Rahim dan rakan-rakan di tengah kini telah diisi olehnya dan pemain-pemain baharu yang telah dibawa dan dicuba oleh Cheng Hoe.

Kejohanan Piala AFF 2018 nanti, berkemungkinan besar kita akan dapat melihat gandingan-gandingan baharu skuad kebangsaan dan pastinya skuad yang lebih muda dan segar.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN