Akhbar Singapura Ini Sahkan Anumanthan Mohan Sarung Jersi Kedah

Anumanthan Mohan kedah paper singapura

Teka-teki pengganti Shakir Hamzah untuk kouta ASEAN seakan-akan sudah terjawab apabila rakan senegaranya, Anumanthan Mohan dikhabarkan bakal ke Kedah.

Pemain tengah skuad kebangsaan Singapura itu dikatakan sudah mendapat pelepasan untuk terbang ke Malaysia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga pihak Imigresen seterusnya akan menjalani tempoh kuarantin wajib selama 10 hari sebelum bertolak ke Kedah selewat-lewatnya pertengahan Januari depan.

Beliau adalah Pemain Muda Terbaik S.League 2016 dan boleh beraksi di empat posisi iaitu posisi pertahanan (posisi nombor 4 dan 5) dan juga tengah (posisi nombor 6 dan 8). Ini juga menepati ‘selera’ pengendali, Aidil Sharin Sahak iaitu pemain yang mampu beraksi di beberapa posisi untuk digunakannya merubah taktikal pasukan.

Berdasarkan kenyataan Aidil Sharin kepada akhbar The New Paper, Anumanthan Mohan menepati ciri-ciri pemain yang diburunya untuk satu posisi bersama Kedah. Jika diamati, Kedah tampak bermasalah di jentera tengah, iaitu pemain yang mampu mengatur asakan ke jentera depan selain kembali bertahan jika diperlukan.

Pemain yang dibawa pada musim lalu, Amin Nazari gagal memenuhi impian dan hasrat besar Aidil Sharin dan juga penyokong Kedah. Beliau hanya tampil lebih kerap pada penghujung musim, namun tetap dilihat gagal memberikan impak.

Kini, semua mata akan tertumpu kepada pemain yang mesra dipanggil Anu ini. Menurut Aidil Sharin ketika menjawab kepada sebuah rancangan di SingapuraThe Final Whistle, Anumanthan adalah pemain yang bekerja keras untuk pasukan.

Ini merupakan kali pertama Anumanthan beraksi di luar Singapura selepas melalui lapan tahun kariernya dan beliau berterima kasih kepada rakan senegaranya, Zulfahmi Arifin atas nasihat untuk menerima tawaran Kedah. Katanya, “Saya ada merujuk kepada rakan saya, Zulfahmi dan dia menyuruh saya mengambil peluang ini.”

“Kedah adalah pasukan gergasi dan bersejarah yang sentiasa bersaing untuk trofi serta kejuaraan. Saya mahu membantu mereka meraih lebih kejayaan,” jelasnya.

Tambahnya yang pernah bekerja di bawah Aidil Sharin, “Mereka juga memiliki jurulatih yang bagus iaitu Aidil [Sharin]. Ke mana sahaja Aidil pergi, kejayaan akan mengikutinya. Dia juga jurulatih yang adil. Saya tahu tidak mudah buat saya di Kedah kerana Aidil sangat mengharapkan sesuatu yang lebih daripada para pemainnya.”

InstaStory Anumanthan Kedah
FOTO: Instagram Anumanthan

Gandingan mereka yang pertama telah menyaksikan Home United (kini Lion City Sailors) layak dua kali berturut-turut ke pentas akhir Piala AFC Zon ASEAN 2017 dan 2018, seterusnya menjulang kejuaraan tersebut pada 2018, selain menamatkan musim di kedudukan kedua Singapore Premier League (SPL) pada musim 2018.

Hasil semakan di laman Instagramnya menyaksikan ‘hint’ yang mengesahkan beliau bakal ke Kedah di InstaStory selain profilnya telah diikuti oleh pemain-pemain Kedah antaranya penyerang, Kpah Sherman, Shahril Sa’ari dan Ifwat Akmal.

Kedah yang kini dikenali sebagai Kedah Darul Aman (KDA) FC belum membuat pengumuman rasmi dan ia dijangkakan akan diumumkan apabila beliau tiba.

KREDIT FEATURED IMAGE: THE NEW PAPER SINGAPORE

Baca lagi artikel lain mengenai Anumanthan Mohan dan Kedah:

Aidil Sharin Akui Jika Diberikan Peluang, Beliau Mahukan Anumanthan Mohan

Berbaki 2 Pemain Belum Diumum, Kedah Mungkin Senarai Lebih 25 Pemain

Diluar Jangkaan, Renan Alves Juga Akan Tinggalkan Kedah?

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply