“Ajax Amsterdam Dah Mengabaikan Prinsip Asas Bola Sepak” – Johan Cruyff

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Sebagai sebuah kelab bola sepak yang kaya dengan sejarah, Ajax mempunyai falsafah bola sepaknya tersendiri. Mereka mempunyai cara tersendiri untuk melatih pemain-pemain muda dan memaksimumkan potensi mereka.

Menurut Johan Cruyff, falsafah bola sepak ini berasal dari seorang jurulatih yang tidak dikenali, Jany van der Veen, sebelum ianya diadaptasi oleh Rinus Michels dan beliau sendiri.

“Beberapa tahun dahulu, Ajax mengambil keputusan untuk melaksanakan satu visi. Nama saya ada kaitan dengan visi tersebut. Tetapi secara realitinya, ia adalah inspirasi Jany van der Veen dan Rinus Michels.”

“Semasa saya masih bermain, Van der Veen bertanggungjawab menguruskan pembangunan akar umbi di Ajax. Beliau merupakan seorang jurulatih yang mampu melihat bola sepak dalam perspektif yang lebih mudah”.

“Michels kemudiannya mengadaptasi falsafah bola sepak Van der Veen mengikut acuannya tersendiri. Beliau mengajar saya – jika anda tiada kemampuan fizikal untuk merebut bola tinggi di udara, jangan cuba berebut bola di udara.”

“Begitu juga jika anda tidak laju. Jangan cuba mengejar bola dengan pemain yang lebih laju, Dalam erti kata yang lain, anda perlu bijak untuk bermain bola sepak.”

88427-800-517

Cruyff turut mengimbas kembali latihan-latihan yang beliau lalui sebagai pemain dan amalkan ketika mengurus Barcelona di bawah falsafah bola sepak totalvoetball yang dipopularkan oleh Rinus Michels kepada pemain Ajax Amsterdam pada era lewat 60-an dan 70-an.

“Ketika berlatih bersama Michels, kami bermain dalam perlawanan persahabatan pada setiap hari ketika musim panas, bukannya buat latihan. Ideanya adalah untuk menganalisis situasi perlawanan sebanyak mungkin dan pada masa yang sama, membina kecergasan dan kekuatan fizikal.”

“Daripada idea ringkas inilah Ajax mampu menghasilkan pemain yang bertaraf dunia.”

“Dan sebab itulah saya sentiasa berpegang kepada prinsip asas ini. Seperti Michels, saya berpendapat perlawanan persahabatan lebih berfaedah daripada sesi latihan.”

“Ketika saya mengurus Barcelona, saya menambah beberapa idea saya sendiri. Contohnya, saya pernah menyuruh Andoni Zubizaretta bermain sebagai pemain sayap kiri untuk memperbaiki kualiti bola sepaknya.”

424_Adoni_Zubizarreta-Optimized.v1400872175

Cruyff kemudiannya mengkritik Ajax Amsterdam kerana mengabaikan prinsip-prinsip asas yang sudah menjadi amalan kelab sejak turun-temurun. Jika ada seorang individu yang layak mengkritik Ajax Amsterdam, ia adalah Cruyff sendiri. Menurut Cruyff:

“Prinsip asas ini telah diabaikan oleh Ajax. Untuk memperjelaskan keadaan, saya bukanlah mahu kritik Frank de Boer (ketua jurulatih Ajax ketika ini). Beliau terperangkap dalam situasi yang beliau sendiri tak dapat ubah.”

“Inilah sebabnya saya memohon kepada ahli lembaga pengarah kelab untuk membawa Tscheu La Ling (bekas rakan sepasukan Cruyff di Ajax pada awal 80-an) untuk melihat kembali apa sebenarnya yang berlaku di kelab. Beliau akan membuat satu laporan beserta dengan rekomendasinya nanti.

Bagi Cruyff, prinsip asas kejurulatihan bola sepak bukan sahaja telah diabaikan di Ajax, malah di mana-mana kelab Eropah.

“Cuba lihat kelab Belanda di Eropah. Jelas sekali, banyak pemain tidak mahu menghantar bola kepada pemain yang bergerak ke hadapan. Walaupun itu asas taktik posisi.”

Roda-JC-vs-Ajax-Amsterdam-Betting-odds

“Pemain yang bergerak ke hadapan ini dipanggil ‘orang ketiga’ dalam prinsip kejurulatihan Michels. Pergerakan dia akan mempengaruhi perlawanan. Anda perlu menghantar bola beberapa meter di hadapannya, bukan tepat ke kakinya.”

“Malangnya ketika ini, pergerakan ini jarang berlaku kerana pemain sekarang suka menjauhi rakan sepasukan sendiri (suka bermain hantaran panjang). Sepatutnya mereka mendekati sesama sendiri (untuk bermain hantaran pendek).

“Dahulu inilah kualiti bola sepak Belanda. Sekarang ia adalah masalah bola sepak Belanda.”

Baca juga: 2 GOL DARI TIKI-TAKA DALAM SATU PERLAWANAN & PASUKAN INI BUKAN BARCELONA