Aidil Zafuan Mahu AFC Nilai Mutu Pengadilan, Pasrah Jika Dijatuhkan Hukuman

Pemain pertahanan negara, Aidil Zafuan pasrah jika Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menjatuhkan hukuman terhadap beliau disebabkan insiden melibatkan pengadil ketika perlawanan kelayakkan Piala Asia menentang Hong Kong pada Selasa lalu.

Aidil dilayangkan kad merah selepas membantah keputusan pengadil dari Australia, Chris Beath yang menganugerahkan sepakan penalti kepada lawan di minit akhir perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Insiden yang berlaku ketika perlawanan memasuki masa tambahan tersebut, menyaksikan Aidil menolak pengadil, yang turut merupakan punca utama layangan kad merah tersebut.

Kredit: ESPN FC

Bagaimanapun, Aidil mahukan pertimbangan yang lebih adil dari AFC dan turut menuntut badan bola sepak Asia itu untuk menyemak mutu pendailan pengadil dari Australia tersebut.

Aidil berkata demikian seperti yang dilaporkan oleh melalui portal sukan, ESPN FC.

Sepakan penalti minit akhir yang diberikan kepada Hong Kong tersebut bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Malaysia, selepas sepakan lemah Allesandro Ferreira mudah dibaca oleh Hafizul Hakim.

Selain daripada Aidil Zafuan, Chris Beath turut melayangkan kad merah kepada Rizal Ghazali kerana memasuki kawasan perlawanan tanpa kebenaran pengadil selepas menerima rawatan di luar padang.

Nazrulhad Hashim / www.asiana.my

Aidil dipetik sebagai berkata:

“Biarlah AFC menentukan hukuman yang sewajarnya. Pemain-pemain telah beraksi sebaik mungkin, namun sebahagian daripada keputusan pengadil sukar kami terima terutama yang melibatkan layangan kad merah.”

“Saya tidak menolah pengadil. Saya hanya menolak tangannya dan pengadil tidak boleh menerima itu. Beliau melayangkan kad kuning kedua. Tetapi ia juga kesilapan dari saya.”

“Saya mungkin akan digantung satu perlawanan atau lebih bergantung kepada lapran dari pengadil.”

“Tetapi jika saya digantung perlawanan, saya merasakan ia tidak adil. AFC juga harus melihat rekod lampau pengadil. Pengadil ini pernah memberikan keputusan yang meragukan sebelum ini.”

“Jika seseorang pemain boleh digantung perlawanan, mengapa tidakan sedemikian tidak boleh dilakukan kepada pengadil?”

(Photo by Hagen Hopkins/Getty Images)

Chris Beath dan pegawai perlawanan yang lain terpaksa diiring oleh pegawai keselamatan menuju ke bilik persalinan selepas beberapa pemain dan pegawai cuba mendekati beliau untuk mendapatkan penjelasan.

Chris Beath juga merupakan pengadil yang sering dilanda kontroversi di A-League.

Pada 2015, Sydney FC memohon agar Beath ditukar daripada mengendalikan perlawanan membabitkan pasukan tersebut selepas beliau memberikan foul 29 kali terhadap pemain Sydney FC.

Pada tahun ini, Sydney FC mendakwa Beath memohon maaf kepada kelab berkenaan kerana menafikan satu sepakan penalti.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada turut mempertahankan tindakan beliau yang mahu berhadapan dengan Beath sejurus tamat perlawanan tersebut.

Photo By Nizam Rahman – www.asiana.my

“Ia kelihatan seperti tidak betul jika kita tidak memberi reaksi terhadap keputusan pengadil pada malam ini,” jelas pengendali dari Portugal tersebut.

Nelo Vingada turut mengakui Malaysia terlepas peluang terbaik untuk memperbaiki kedudukan di dalam kumpulan B, pusingan kelayakkan Piala Asia selepas keputusan seri pada Selasa lalu.

Mengulas kontroversi mutu kepengadilan dalam perlawanan tersebut, bekas pengadil terkemuka negara, Subkhid­din Mohd. Salleh mempertahankan keputusan pegawai perlawanan dari Australia itu.

“Secara teknikal, keputusan Beath adalah tepat dan berlandaskan undang-undang. Ini kerana apa yang dilakukan oleh pemain negara (dilihat) se­perti melanggar undang-undang asas bola sepak.

“Seperti insiden melibatkan Mohd. Rizal, dia sepatutnya masuk ke padang selepas mendapat kebenaran pengadil. Nasib baik juga dia menghalang bola ketika di luar kotak penalti memandangkan pengadil boleh menghadiahkan sepakan pe­nalti jika sentuhan tersebut berlaku di kawasan penalti.”

“Mengenai layangan kad merah Aidil, saya percaya pengadil membuat tindakan yang wajar meskipun dia boleh melayangkan kad merah secara terus berbanding layangan kad ku­ning kedua. Ini kerana sebarang bantahan yang mempunyai sentuhan ke atas pengadil adalah kesalahan yang tidak dibenarkan sama sekali,” katanya seperti yang dipetik daripada akhbar Kosmo.

Subkhiddin turut menasihatkan agar barisan pemain dan pegawai yang mewakili negara memahami undang-undang bola sepak dan berupaya mengawal emosi masing-masing ketika berada di atas padang.

Keputusan seri menentang Hong Kong pada Selasa lalu meletakkan Malaysia di tangga terbawah saingan Kumpulan B dengan hanya 1 mata.

Malaysia akan ke Pyongyang untuk bertemu Korea Utara pada 5 Oktober sebelum bertemu dengan Hong Kong 4 hari kemudian.

Perlawanan menentang Korea Utara itu sebelum ini telah ditangguhkan 2 kali pada 28 Mac dan juga 8 Jun yang lalu disebabkan ketegangan diplomatik yang melanda kedua-dua buah negara.

Sumber:

1. Nicolas Anil, ESPN FC (2017): Aidil Zafuan braced for AFC sanctions after pushing ref in Malaysia qualifier; http://www.espnfc.us/blog/football-asia/153/post/3197794/aidil-zafuan-braced-for-afc-sanctions-after-pushing-ref-in-malaysia-qualifier

2. Kosmo (2017): Tindakan pengadil adalah betul; http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0907&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram