Aidil Zafuan: Belum Ada Penyerang Memiliki Kualiti Seperti Khalid Jamlus

Pertahanan berpengalaman, Mohd Aidil Zafuan mengakui masih belum menjumpai mana-mana penyerang setakat ini mempunyai ketenangan dalam melakukan sentuhan penyudah seperti mana bekas penyerang kebangsaan di awal era tahun 2000, Khalid Jamlus.

Walaupun dia hanya sempat beraksi menentang Khalid ketika pemain itu bersama Kelantan dan dia bersama Negeri Sembilan pada musim 2009 serta 2010, Aidil masih mengagumi kualiti dimiliki bekas penyerang Perak dan Selangor berkenaan.

Justeru, pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu memilih Khalid sebagai pemain dalam barisan XI terbaiknya untuk digandingkan dengan bekas penyerang import Kedah, Marlon Alex James.

“Saya pernah ada pengalaman dengan Khalid walaupun ketika itu dia di hujung karier, tetapi sehingga kini saya fikirkan belum jumpa ada mana-mana penyerang sepertinya.

“Paling buat saya kagum, ketenangannya semasa mendapat bola dan dia seorang bijak serta sentiasa berfikir dalam mencari ruang bagi menjaringkan gol.

“Dia bukan jenis seorang yang suka berlari merata-rata dan tidak gopoh dalam membuat keputusan,” katanya.

KOBE, JAPAN – FEBRUARY 12: Douglas of Vissel Kobe compete for the ball under pressure of Aidil Zafuan of Johor Darul Ta’zim during the AFC Champions League Group G match between Vissel Kobe and Johor Darul Ta’zim at Noevir Stadium Kobe on February 12, 2020 in Kobe, Hyogo, Japan. (Photo by Buddhika Weerasinghe/Getty Images)

Dalam senarai pilihan XI Aidil, dia memilih formasi 4-4-2 dengan menyenaraikan Mohd Yazid Yassin sebagai penjaga gol.

Di barisan pertahanan, Aidil meletakkan Ching Hong Aik di bahagian kiri sementara dua bekas bintang Negeri Sembilan, Khairul Anuar Baharom dan Norhafiz Zamani Misbah selaku pertahanan tengah manakala posisi kanan menjadi milik S Kunanlan.

Bekas pemain antarabangsa Argentina yang pernah beraksi dengan Johor Darul Ta’zim(JDT) pada 2013 dan 2014, Pablo Aimar dan Idris Karim mengisi bahagian tengah manakala Liew Kit Kong selaku pemain sayap kiri diikuti Hardi Jaafar di sayap kanan.

“Pengalaman bermain dengan Aimar juga antara pengalaman terindah buat saya kerana kita tahu dia antara pemain berkelas dunia.

“Manakala Hardi dan Idris Karim antara pemain senior yang banyak memberi tunjuk ajar serta membimbing saya ketika di awal penglibatan dalam bola sepak.

“Mereka berdua mempunyai personaliti yang tidak serius di luar padang serta disukai ramai pemain muda tetapi bila hari perlawanan, mereka cukup serius.

“Khairul Anuar Baharom pula merupakan idola saya sebelum masuk skuad senior Negeri Sembilan serta ada daya kepimpinan dan ketegasan di atas padang,” katanya.

Best XI Pilihan Aidil Zafuan Abd. Radzak


Penjaga gol: Yazid Yassin

Pertahanan: Ching Hong Aik, Zamani Misbah, Khairul Anuar Baharom, S.Kunanlan

Tengah: Liew Kit Kong, Idris Karim, Pablo Aimar, Hardi Jaafar

Penyerang: Marlon Alex James, Khalid Jamlus

Kredit foto: Seladang.net

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram