Aidil Sharin: ‘No Such Thing’ Hanya Satu Arahan Taktikal Sahaja

Aidil Sharin Kedah 2020 Kelayakan ACL

Percayalah, sekiranya tiada slot automatik untuk ke peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), sudah pasti langsung tiada wakil ASEAN untuk kejohanan tertinggi di Asia tersebut.

Kali terakhir kelab dari ASEAN berjaya melakukannya adalah pada tahun 2013 apabila Buriram United menewaskan Brisbane Roar melalui sepakan penalti selepas terikat tanpa jaringan dalam masa sebenar.

Selama tujuh tahun selepas itu, ternyata ia bukan satu tugas yang mudah buat wakil ASEAN untuk menang dalam aksi play-off menentang wakil-wakil dari negara Jepun ataupun Korea Selatan.

Dalam media sosial, sejurus kekalahan 1-4 Kedah ke atas FC Seoul, segelintir penyokong dilihat mula mempersoalkan pelbagai perkara seperti pilihan pemain, formasi taktikal dan sebagainya.

Mungkin ada dikalangan mereka sudah menanamkan keyakinan Kedah akan mudah layak ke peringkat kumpulan. Sedangkan juara enam kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pun tidak pernah berjaya.

Penentuan penalti yang cukup mendebarkan ketika JDT menentang Muangthong United pada tahun 2016. (Gambar: JST)

Daripada tahun 2015 hingga 2018, JDT tersekat dalam pusingan kelayakan dan play-off, sama ada tewas kepada wakil ASEAN iaitu Thailand ataupun Jepun. Hanya sekali JDT berjaya mara sejauh pusingan play-off iaitu pada edisi 2017, di peringkat Kedah bermain menentang FC Seoul tempohari.

Ketika Kedah menang besar 5-1 ke atas wakil Hong Kong, Tai Po FC dalam pusingan kedua kelayakan sebelum ini, tiada suara-suara sumbang daripada ‘pakar taktikal’. Kini, bagai cendawan selepas hujan.

“Mengarut. Mereka yang katakan itu [taktikal long ball], not football people. Anda boleh bertanya kepada semua pemain saya, pernah atau tidak, saya mengarahkan mereka untuk bermain long ball? Tidak pernah,” jawab Aidil Sharin mengenai andaian sesetengah pihak yang beliau menggemari taktikal long ball.

“Pada saya, saya suka taktikal yang pelbagai, ada short pass dan ada direct pass. Bergantung kepada pasukan lawan yang saya akan jumpa,” tambah pengendali berusia 42 tahun itu lagi serta menegaskan bola sepak adalah kombinasi pelbagai cara permainan dan tidak hanya menggunakan satu taktikal.

“Cuba tengok semula gol Kedah ketika bertemu Tai Po FC, adakah semuanya hasil daripada long ball?” soal Aidil Sharin semula sambil mengakui susah untuk selalu memuaskan hati semua pihak.

Menurutnya, bola sepak ASEAN dan negara seperti Jepun serta Korea Selatan masih banyak berbeza. Ia bukan satu tugas mudah untuk mereka ditambah pula dengan kehilangan seorang pemain pertahanan.

“Ya, masih banyak perbezaannya. Dari segi organisasi permainan, mentaliti pemain, keadaan padang bola sepak dan juga profesionalisme. Kita hilang pemain di posisi yang amat penting.

“Saya yakin perlawanan akan menjadi lain [jika tiada kad merah dan penalti], kerana sebelum penalti itu, kita mampu bertahan. Dan kita juga ada tiga peluang dari Kipre [Tchetche] dan [Kpah] Sherman.

“Memang sasaran kita first half jangan bolos. Second half, kita akan main attacking. Itu perancangan saya,” jelasnya sambil mengakui skuadnya masih kekurangan dari segi pressing, passing dan defending.

“Tetapi, mereka semua sudah berikan 100 peratus dan mencuba dengan baik,” tambahnya lagi.

Helang Merah akan memberi semula perhatian mereka untuk aksi Piala Sumbangsih dan juga perlawanan pertama Liga Super bertemu juara Liga Super 2019, JDT pada 28 Februari depan.

Kredit Foto: Kedah FA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram