Aidil Sharin Mahu Bawa Kedah Ke Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2021

Aidil Sharin

Pengendali Kedah Darul Aman (KDA), Aidil Sharin mensasarkan untuk membawa pasukannya kembali ke saingan akhir Piala Malaysia 2021.

Sebelum ini, beliau telah berjaya untuk membawanya pada 2019 dan sasaran peribadinya adalah untuk mengulangi pencapaian tersebut.

“Semestinya saya ingin kekalkan apa yang telah diraih bersama pasukan termasuklah apabila saya kali pertama berjaya merasai pentas akhir pada 2019.”

“Pada tahun ini, kita juga ingin mengulangi kembali pencapaian itu tetapi kita tetap kena ingat bahawa pasukan-pasukan lain mempunyai misi yang sama,” kata Aidil menerusi MFL.

Aidil juga turut mengingatkan yang pasukan-pasukan lain pastinya akan memberikan saingan sengit jadi ianya pasti sukar untuk KDA untuk menjadi dua pasukan terakhir merebut kejuaraan.

Pada 2019, Aidil memimpin KDA ke perlawanan akhir Piala Malaysia namun mereka tewas ditangan Johor Darul Ta’zim.

Lupakan dan jalan terus!

Melihat kepada kekalahan kepada Melaka United tempoh hari, Aidil menyifatkan adalah sesuatu yang tidak berguna untuk pasukannya terus mengenang detik pahit itu.

Sebaliknya, beliau mahu pasukannya melupakan kekalahan itu dan fokus untuk menumbangkan Negeri Sembilan pula.

Aidil turut mendedahkan yang KDA mungkin akan turun ke Kuala Lumpur untuk mengadakan aksi persabahatan sebelum Piala Malaysia kembali bersambung.

“Kita akan bersedia dengan rapi untuk menentang Negeri Sembilan pada 29 Oktober ini, tiada guna untuk kita ingat balik kekalahan kepada Melaka tempoh hari.”

“Sebab itu, kita kena bersedia dengan perancangan lebih baik, dan mungkin kita akan ke Kuala Lumpur untuk bersedia dengan beberapa perlawanan persahabatan.”

Aidil juga mengharapkan kuartet KDA yang mewakili skuad kebangsaan iaitu Baddrol Bakhthiar, Ariff Farhan Mat Isa, Fayadh Zulkifli dan Rizal Ghazali akan kembali cergas selepas bertugas untuk negara.

KDA kini mengutip tiga mata daripada dua perlawanan dan menduduki tangga kedua kumpulan C di belakang Melaka.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply