Aidil Sharin Kata Skuad Kedah ‘Tak Cukup Besar’, Puas Hati Tamatkan Musim Di Belakang JDT

Kedah Melaka United 2021 skuad tak cukup besar Aidil Sharin

Dalam mengungkap rasa syukur atas kemenangan yang diraih malam tadi, salah satu komen pengendali Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak amat menarik perhatian iaitu, skuad Kedah ‘tak cukup besar’.

Kedah melalui satu musim yang mencabar sepanjang saingan Liga Super 2021. Mereka kehilangan beberapa pemain akibat kecederaan panjang dan terlibat dengan tugasan antarabangsa, dua pemain yang dijangkiti COVID-19, pembatalan kejohanan Piala AFC 2021 serta jadual yang padat menuju penghujung liga.

Menurut Aidil Sharin, beliau hanya ada sekitar 21 pemain termasuk penjaga gol untuk digunakan sepanjang musim ini. Namun begitu, Kedah berjaya mengatasi rintangan seterusnya meraih tangga kedua liga.

Kedah turut mengesahkan tiket ke Piala AFC 2022 selepas meraih kemenangan 4-1 ke atas Melaka United.

Liga Super: Kedah Tempah ‘Tiket’ Ke Asia, Menang Besar Ke Atas Melaka United

Kata Aidil Sharin di sidang media, “Sudah tentu saya terpaksa membuat beberapa perubahan kecil kerana kita tidak memiliki skuad yang besar. Kita tiada pasukan ‘kedua’ seperti Terengganu, Selangor dan JDT.”

“Kita ada beberapa kecederaan sepanjang musim ini, Rozaimi [Abdul Rahman] pula meninggalkan pasukan saat akhir, pemain-pemain yang terlibat dengan tugas antarabangsa, Syazwan Tajuddin tersisih sepanjang musim. Jadi secara keseluruhannya, saya hanya ada 21 pemain termasuk tiga penjaga gol,” tegasnya.

“Adakalanya saya terpaksa membuat penggiliran pemain kerana kita bermain selang tiga hari. Tentunya saya tidak boleh menekan pemain untuk bermain setiap perlawanan,” jelas Aidil Sharin lanjut tentangnya.

Tambahnya lagi, “Tentunya saya berpuas hati [berada di kedudukan kedua], dengan skuad yang kecil dan tiada bajet yang besar. Kredit ini harus diberikan kepada semua yang berada dalam pasukan Kedah.”

“Harapnya, Kedah akan bertambah baik lagi pada musim hadapan,” ujarnya yang jelas gembira dengan prestasi yang dipamerkan para pemainnya terutamanya di benteng yang hanya melepaskan satu gol.

“Malam ini saya dapat tidur dengan tenang melihat prestasi dua bek tengah saya,” ungkapnya ringkas.

Kedah menamatkan rentetan tiga perlawanan keciciran mata dengan kemenangan besar selepas terikat 2-2 menentang Sri Pahang, diikuti tewas 1-2 kepada KL City FC dan terikat 3-3 menentang UiTM FC.

Perlawanan yang jelas dikuasai oleh tuan rumah menerusi permainan yang lebih bertenaga. Kipre Tchetche yang menjadi penyerang utama pada malam ini dilihat beberapa kali tampil mengasak pasukan pelawat.

Akhirnya, selepas beberapa percubaan, pada minit ke-24, Kipre Tchetche berjaya menembusi gawang yang dikawal Norazlan Razali apabila menerima hantaran lambung Fadzrul Danel dan melepaskan rembatan deras.

Tidak lama selepas itu, Kipre Tchetche sekali lagi muncul sebagai penjaring buat tuan rumah di minit ke-30.

Berpunca daripada sepakan penalti selepas kapten, Baddrol Bakhtiar dijatuhkan oleh Faris Shah Rosli di dalam kotak penalti. Kipre Tchetche telah berjaya menyempurnakannya untuk gol kedua Kedah.

Hujan rahmat turun di Stadium Darul Aman untuk membantu Kedah meledak dua gol ketika itu menerusi Baddrol Bakhtiar dan kemudian pemain gantian, Fayadh Zulkifli, kedua-duanya assist oleh Kipre Tchetche.

Adakah skuad Kedah ‘tak cukup besar’ seperti kata Aidil Sharin? Itupun. mereka menamatkan musim di tangga kedua liga! Satu pencapaian yang pastinya mengangumkan buat skuad Hijau Kuning musim ini.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply