Aidil Sharin: Jaga-Jaga Dengan Dua Pemain Tai Po FC

Aidil Sharin Kedah 2020 Latihan

Bercakap kepada Semuanya BOLA, Aidil Sharin Sahak nyata berhati-hati dengan keupayaan juara Hong Kong Premier League 2019, Tai Po FC, menjelang pertembungan kedua-dua pasukan pada esok malam.

Kedah akan berdepan Tai Po FC di Stadium Darul Aman untuk aksi pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020 dan ia adalah pusingan kalah mati yang memerlukan Kedah untuk menang.

Walaupun pasukan lawan ketika ini sedang bergelut dengan masalah prestasi di saingan baharu liga yang sudah memasuki sembilan perlawanan, keupayaan mereka untuk mengejutkan Kedah tetap ada.

Ini kerana, walaupun tewas, saingan liga di sana sudah berlangsung sembilan perlawanan membolehkan para pemain Tai Po FC yang hampir keseluruhannya adalah pemain baharu, untuk cergas sepenuhnya.

Setakat ini, Tai Po FC menduduki kedudukan keenam liga dengan sembilan mata, malah mereka dalam momentum kekalahan dalam semua kejohanan disertai setakat ini – 7 kekalahan berturut-turut.

Berbanding Kedah, Liga Super 2019 masih belum bermula dan Aidil Sharin hanya dapat menyediakan pasukannya melalui perlawanan persabahatan dan ketika Jelajah Pra-Musim di Kemboja tempohari.

“Saya rasa lawan Tai Po akan datang ini 50-50 kerana mereka adalah pasukan berpengalaman menang piala. Kita harus bekerja keras dan tidak boleh ambil mudah jika mahukan kemenangan,” jelasnya.

“Kekuatan mereka adalah dua pemain sayap menyerang iaitu pemain nombor 11 dan 7,” ujarnya mengenai pemain berbahaya lawan sambil menyatakan mereka sangat berbahaya jika dibiarkan bersama bola.

Pemain yang dimaksudkan oleh Aidil Sharin itu adalah dua pemain import iaitu Michel Lugo dan Kim Min-ki. Kedua-duanya mampu untuk meledak gol serta mengucar-kacirkan benteng pertahanan.

Sementara itu, gandingan Kpah Sherman dan Kipre Tchetche belum dapat diuji sepenuhnya sepanjang pra-musim apabila dilihat Aidil Sharin hanya beberapa kali menguji gandingan tersebut.

“Saya puas hati dengan kedua-dua pemain, cuma saya harap mereka akan menonjol lebih lagi dari segi prestasi individu,” jelasnya ketika ditanyakan mengenai gandingan Kpah Sherman dan Kipre Tchetche.

Ketika diminta mengulas mengenai seorang lagi pemain baharu iaitu Hadin Azman, Aidil Sharin mahukan pemain itu memperbaiki beberapa aspek walaupun sudah mempamerkan keserasian yang baik.

“Hadin [Azman] kita semua tahu kelebihannya terutamanya bila dia dengan bola. Setakat ini, saya puas hati dengan prestasinya di pra musim tetapi banyak lagi yang dia boleh tingkatkan,” ulas Aidil Sharin.

Aidil Sharin juga mengambil kesempatan untuk menyahut semua penyokong skuad Helang Merah untuk hadir ke stadium bagi memberi sokongan kepada pasukan yang akan beraksi di kelayakan ACL 2020.

Kredit Foto: Kedah FA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN