Aguero: Majoriti Pemain Takut Beraksi Jika EPL Disambung Terlalu Awal

Sergio Aguero

Sumber dari Reuters melaporkan penyerang Manchester City, Sergio Aguero percaya kebanyakan pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) sangat takut untuk menyambung semula baki saingan liga musim ini dalam keadaaan pandemik COVID-19 masih dalam keadaan serius.

Menurut pemain antarabangsa Argentina itu, tindakan tersebut meletakkan keluarga pemain dalam keadaan risiko sekiranya mereka perlu kembali menjalani latihan dan beraksi di atas padang.

“Majoriti pemain takut kerana mereka ada keluarga, mereka ada anak-anak,” katanya kepada rancangan televisyen El Chiringuito.

“Bila kita kembali [bermain], saya membayangkan semua pemain akan merasa tekanan, kami akan terlalu berhati-hati apabila ada orang yang tiba-tiba jatuh sakit. Ia agak merisaukan saya.”

Setakat hari Khamis, wabak COVID-19 telah menjangkiti lebih 172,000 orang dan telah menyebabkan 26,000 kematian.

Semua kelab EPL akan bermesyuarat pada hari ini untuk membincangkan perancangan untuk kembali menyambung latihan dan menamatkan saingan musim ini, tetapi Aguero percaya virus tersebut berisiko untuk menjangkiti pemain sehinggalah vaksin berjaya dihasilkan.

“Ada orang yang mempunyai penyakit tersebut, tetapi mereka tiada simpton atau tanda-tanda dan mereka boleh menjangkiti kamu. Tanpa disangka kamu telah pun dijangkiti dan kamu tidak tahu mengenainya.” kata Aguero lagi.

Sebelum ini pemain pertahanan Chelsea, Antonio Rudiger juga telah mempersoalkan, dari segi moral wajarkah untuk kembali menyambung liga musim ini ketika kes kematian di seluruh dunia masih terus meningkat.

“Jika kita kembali bermain dan ada risiko jangkitan bermakna kita mengabaikan soal keselamatan sedangkan semakin ramai orang yang mati di seluruh dunia. Hati nurani saya merasakan perkara ini tidak betul.

“Jika segalanya sudah disahkan selamat, keadaan kembali normal dan tiada lagi risiko, barulah kita boleh kembali beraksi. Tetapi jika risiko jangkitan itu masih ada dan kita sambung, lebih ramai yang akan dijangkiti.”

Tambah Rudiger lagi, beliau berpendapat sekiranya saingan musim ini terpaksa dibatal atau ditamatkan, pendahulu liga Liverpool berhak untuk diberikan kejuaraan buat kali pertama sejak 1990.

“Sejujurnya saya rasa mereka perlu memberikan kejuaraan kepada Liverpool. Cepat atau lambat mereka sememangnya berhak untuk menerimanya dengan aksi memberangsangkan pada musim ini.

“Berdasarkan kedudukan semasa, mereka tetap akan menang juga, jadi secara etikanya mereka berhak menjadi juara.”

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Aguero dan EPL:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply