Affendi Julaihi: Legenda Sarawak & Pengetua Madrasah Yang Pernah Menyebabkan Tiang Gol Lawan Tercabut

Afendi Julaihi Sarawak

Bagi penyokong bola sepak Sarawak, nama seperti Affendi Julaihi bukanlah nama yang asing lagi.

Malah Affendi dan rakan-rakannya pada era itu seperti Abdul Jalil Ramli, Shamsurin Abdul Rahman, Booby Pian dan ramai lagi dianggap sebagai simbol kejayaan yang pernah mewarnai bola sepak negeri Sarawak satu ketika dahulu.

Miliki kepantasan sebagai aset

Kepantasan yang dimiliki oleh Affendi adalah aset utama beliau dalam permainan. Malah beliau disifatkan sebagai salah seorang pelari terpantas pada era tersebut.

Mempunyai kepantasan menakjubkan ketika larian, Affendi diberi jolokan nama ‘Speedy Gonzalez’.

Nama tersebut sesuai dengan dirinya yang bermain di posisi sayap, yang seringkali memberikan masalah kepada pemain pertahanan lawan yang cuba mengikat gerakannya.

Malah terdapat laporan akhbar pada ketika itu yang menyatakan bahawa anak jati Kampung Gita, Kuching ini asalnya adalah seorang pelari pecut, dan pernah mencatat bawah 11 saat untuk jarak 100 meter.

Pencapaian di Liga Malaysia

Sepanjang keriernya bersama skuad Bujang Senang, beliau membantu pasukan itu menjulang kejuaraan Piala FA pada 1992 & Juara Liga Perdana 1997.

Alan Vest adalah jurulatih yang bertanggungjawab membangunkan bakat Affendi ketika kedua-duanya bersama Sarawak dari 1992 sehingga 1997.

Selain pernah beraksi untuk Sarawak dari tahun 1990 – 1997, Affendi Julaihi juga pernah menyarung jersi Negeri Sembilan pada tahun 1998 di bawah kendalian M. Karathu dan juga Irfan Bakti.

Terdapat juga laporan mengatakan Affendi hampir menyertai pasukan Kedah FA pada musim 1999, sebelum mengubah fikiran saat akhir untuk ke pantai tiumur bersama pasukan Kelantan.

Laporan akhbar ketika itu juga menyebut, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) telah bersetuju dengan semua permintaan beliau, selain turut telah menyediakan rumah, kereta, tempat pengajian agama seperti sebagai keperluan yang dipintanya.

Pentas antarabangsa

Affendi Julaihi turut pernah mewakili skuad kebangsaan pada tahun 1994 sehingga 1997, beraksi di  Sukan SEA 1995 dan Kejohanan Pestabola Merdeka pada tahun yang sama.

Di temasya Sukan SEA 1995 itulah berlaku satu insiden pelik tetapi melucukan melibatkan Affendi Julaihi dalam perlawanan menentang Kemboja.

Skuad Kemboja pada ketika itu sering kali dilabel sebagai pasukan belasahan. Pasukan negara sudah mendahului lawannya itu dengan jaringan 9-0.

Pada minit ke-83 perlawanan, Affendi merembat bola dengan kencang sambil melakukan larian deras.

Bola percubaan Affendi terkena palang, dan pemain itu gagal mengelak untuk merempuh jaring gol. Momentum larian dan kesan rempuhannya itu menyebabkan tiang gol terjatuh bersama Affendi.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA, chedinsphere.blogspot

Anuar Abu Bakar yang telah pun menghasilkankan hatrik dalam perlawanan tersebut dengan penuh yakin menyambut bola muntah hasil percubaan pertama Affendi tadi dengan rembatan padu, sebaik melihat bola yang melantun datang.

Namun, gol itu diisyhtiharkan sebagai tidak sah oleh pengadil, kerana tiang gol secara teknikalnya ‘tidak lagi wujud’ pada saat iru.

Para petugas dan penganjur terpaksamengambil masa hampir sejam untuk memasang semula pintu gawang tersebut.

Penutup

Kini semuanya sudah berlalu. Tiada lagi gelaran Spedy Gonzalez buat Affendi. Tiada juga gosip bersama artis, seperti Amy Mastura yang pernah dikaitkan dengan beliau satu ketika dahulu.

Affendi Julaihi kini lebih banyak terlibat dalam bidang dakwah. Beliau kini telah memiliki sendiri beberapa buah madrasah Darul Ulum Islamiyyah yang beliau tubuhkan. Alhamdulillah. Benarlah. Setiap apa terjadi ada hikmahNya.

Terima kasih legenda, Affendi Julaihi atas jasa & bakti kepada arena bolasepak negara.

Sumber: Retro Bolasepak

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply