AFF Bukan ‘Makanan’ Corbin Ong Antara 5 Fakta Senarai 24 Pemain Malaysia Untuk Ke Piala AFF 2020

Matt Davies Corbin Ong Brendan Gan Kelayakan Piala Dunia tiada Piala AFF 2020

Pengendali skuad Malaysia, Tan Cheng Hoe akhirnya mengumumkan senarai 24 pemain yang akan dibawa ke saingan Piala AFF Suzuki 2020 membuka tirai pada 5 Disember hingga 1 Januari 2022 di Singapura.

Ini merupakan Piala AFF kedua buatnya selaku pengendali skuad kebangsaan dengan edisi pertamanya pada 2018 hampir membuahkan kejayaan, apabila hanya tumbang agregat 2-3 kepada Vietnam di pentas final.

Kali ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melalui Timbalan Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi sekali lagi mensasarkan pentas final dan menetapkan skuad ini mesti memiliki mentaliti untuk mara ke pentas akhir.

Jadi, apa resepi berdasarkan senarai 24 pemain yang berada dalam senarai kali ini berbanding 23 pemain yang bergelar naib juara edisi lalu? Jom kita selosori sedikit fakta senarai awal skuad Harimau Malaya kali ini.

Kali kedua Corbin Ong, Matt Davies disisih

Pada edisi 2018, majoriti penyokong juga tertanya-tanya di mana nama Corbin Ong. Dan sekali lagi, ia berlaku untuk edisi kali ini. Mungkin penjelasan yang tepat adalah, saingan di rantau Asia Tenggara bukan makanannya.

Dalam edisi itu, Nazirul Naim dan Syazwan Andik merupakan taruhan untuk posisi tersebut dan edisi kali ini, dua nama yang berada dalam senarai 24 pemain iaitu dua taruhan baru dibawa, Arif Fadzilah dan Ariff Farhan.

Bek kanan juga menimbulkan keraguan ramai apabila Matt Davies turut tidak dibawa. Namun, sekali lagi perlu dinyatakan di sini, edisi lalu, nama Matt Davies juga tiada dalam senarai walaupun belum bergelar pemain Johor Darul Ta’zim (JDT). Dan Cheng Hoe ketika itu memaklumkan bahawa Matt Davies mengalami kecederaan.

Syahmi Safari yang berada dalam skuad kali ini telah beraksi dalam hampir semua perlawanan sehingga ke final dan hanya sekali disisih dengan Amirul Azhan mengambil alih posisi tersebut untuk satu perlawanan.

Ketiadaan Corbin Ong Dalam Skuad 26 Pemain Malaysia Cetus Tanda Tanya

6 pemain berusia 30 tahun dan ke atas

Pemain berusia adakalanya baik untuk seimbangkan pasukan, namun adakalanya ia menjadi beban jika mereka terlalu ramai dan hanya pelengkap kepada skuad tersebut. Dalam senarai kali ini, terdapat enam pemain yang berusia 30 tahun dan ke atas termasuk calon kapten, Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Guilherme de Paula.

Jika pemain sedikit berusia ini kerap membuat penampilan bersama pasukan di liga, tiada masalah untuk dibawa sebagai contoh Amri Yahyah yang sudah berusia 40 tahun tetapi masih pilihan utama di Sabah FC. Namun, kisahnya bersama skuad kebangsaan ini sudah lama berlalu. Sudah tak releven di mata Cheng Hoe.

Edisi 2018, Cheng Hoe hanya membawa empat pemain berusia 30 tahun ke atas dan adakah ia akan mengikut struktur yang sama ataupun Cheng Hoe akan melebihkan pilihan pemain senior dalam skuad utama kali ini?

Benarkah Jentera Tengah Harimau Malaya Untuk Piala AFF 2020 Tak ‘Rancak’?

Ada ‘percikan’ kreatif di tengah

Masih ingat pemain di jentera tengah skuad 2018? Kita ada Akram Mahinan, Kenny Pallraj dan Syamer Kutty Abba. Struktur tengah skuad negara ketika itu bergantung kepada pivot kembar dengan meletakkan Akram Mahinan dan Syamer Kutty sebagai taruhan, namun kedua-duanya tiada ‘percikan’ kreatif dalam permainan.

Kita tahu gaya permainan kedua-dua pemain itu termasuklah Kenny Pallraj. Dalam senarai kali ini, ada sinar baharu apabila dua pemain tengah kreatif berada dalam senarai iaitu Baddrol Bakhtiar dan Mukhairi Ajmal. Namun, mungkin sedikit meresahkan, kita tiada pula pemain tengah bertahan. Umpama putaran 360 darjah.

Tidak pasti apa perancangan Cheng Hoe, adakah skuad negara akan bermain lebih ofensif berbanding dahulu?

Ada 4 pemain berpangkalan di luar negara

Mungkin ini kali pertama, skuad negara membariskan empat pemain yang dibawa daripada luar negara. Malah dua daripadanya berpangkalan di Eropah iaitu pertahanan FC Midtjylland, Dion Cools dan penyerang muda KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin. Dua lagi pemain adalah Junior Eldstal dan Dominic Tan dari Thai League.

Edisi 2018 menyaksikan hanya Shahrel Fikri adalah pemain dari luar yang ketika itu beraksi secara pinjaman di Nakhon Ratchasima FC di Thai League. Namun, setakat ini masih belum dapat dipastikan sama ada Dion Cools akan tiba lebih awal kerana saingan liga di sana hanya akan mula berehat pada pertengahan Disember.

Tiga pemain berpangkalan di luar negara telah sah tiba iaitu Junior Eldstal, Dominic Tan dan Luqman Hakim.

Aidil Zafuan berpeluang raih 100 kaps jika ke final

Ini peluang terbesar buat bek tengah dan calon kapten skuad kebangsaan, Aidil Zafuan untuk menyertai tujuh bekas pemain Harimau Malaya dalam senarai FIFA Century Club. FIFA Century Club merupakan satu senarai pemain-pemain dari setiap negara yang telah mencapai sekurang-kurangnya 100 penampilan antarabangsa.

Setakat ini, pertahanan JDT itu telah mengumpul 93 penampilan bersama Harimau Malaya sejak tahun 2007.

Jika Malaysia berjaya mara sehingga ke pentas akhir dan Aidil Zafuan beraksi dalam semua perlawanan itu, beliau berpeluang melengkapkan 100 kaps seterusnya diiktiraf untuk menyertai senarai tersebut – menjadi pemain pertama di era millenium yang tersenarai selepas Zainal Abidin Hassan – wakil era 80-an dan 90-an.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN