Piala AFF 2018: Harimau Malaya Bergelut Sebelum Raih 3 Mata, ‘Mat Yo’ Muncul Wira Saat Akhir

Harimau Malaya

Dua gol lewat perlawanan oleh penyerang, Norshahrul Idlan Talaha berjaya membantu skuad kebangsaan merekodkan kemenangan kedua dalam kejohanan Piala AFF Suzuki 2018, sebentar tadi.

Kecemerlangan penjaga gol muda Loas, Outthilath Nammakhoth telah mencuri tumpuan dan berjaya menekan Harimau Malaya yang mahukan kemenangan selesa di laman sendiri.

Foto: FAM

Percaturan awal ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe membuat tiga pertukaran dalam sejam perlawanan berlangsung telah membuahkan hasil di saat-saat akhir perlawanan.

Mungkin sedikit mengejutkan apabila Cheng Hoe memilih untuk meminggirkan pemain sayap, Mohamadou Sumareh dalam kesebelasan utama untuk perlawanan kedua kumpulan ini.

Tempatnya di bahagian sayap telah diambil alih oleh Syazwan Zainon sementara penyerang, Syafiq Ahmad pula menggantikan Syamer Kutty Abba dalam kesebelasan utama negara.

Laos menurunkan purata pemain berusia bawah 23 tahun dengan hanya menyenaraikan 4 pemain berusia lebih 23 tahun iaitu kapten, Thothilath Sibounhuang, Soukaphone Vongchiengkham, Chanthaphone Waenvongsoth dan Phouthone Innalay.

Laos terlebih dahulu mengejutkan Malaysia seawal minit ke-7 apabila pemain tengah, Phithack Kongmathilath berjaya menyempurnakan sepakan percuma dari luar kotak penalti.

Ia merupakan percubaan pertama Laos ke pintu gol skuad negara selepas 6 minit diasak Harimau Malaya. Ia juga kali pertama penjaga gawang, Khairul Fahmi diuji oleh pasukan pelawat.

Sepakan percuma tersebut diperolehi selepas pertahanan, Shahrul Saad melakukan hadangan keras terhadap Soukaphone Vongchiengkham ketika mengatur serangan balas ke kubu negara.

Malaysia memulakan perlawanan dengan rentak yang sangat baik apabila kerap kali mengasak kubu pelawat menerusi beberapa percubaan ke gawang yang dikawal oleh Outthilath Nammakhoth.

Foto: FAM

Syafiq Ahmad berjaya melepaskan percubaan yang tersasar dari luar kotak penalti seawal minit ke-4 sebelum percubaan Safawi Rasid pula ditepis oleh penjaga gol lawan seminit kemudian.

Sebagai penyerang, ia adalah satu percaturan menarik oleh Cheng Hoe dengan mengubah Syafiq ke posisi tengah. Mungkin kawalan bola dan sentuhan baik Syafiq diperlukan di jentera tengah.

Bingkas bangun, Harimau Malaya mengatur asakan bertubi-tubi ke pintu gol lawan pada minit ke-9 namun buntu apabila percubaan terakhir Norshahrul Idlan Talaha diselamatkan penjaga gol.

Minit ke-13, penyerang yang baharu sahaja dinobat selaku Pemain Paling Bernilai dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2018, Safawi Rasid berjaya menanduk hantaran lintang Syahmi Safari tetapi berjaya diselamatkan sekali lagi oleh Nammakhoth.

Akhirnya gol pertama skuad negara berjaya dihasilkan menerusi sentuhan penyudah kapten, Zaquan Adha yang menyambut hantaran rendah Syahmi Safari dari bahagian kanan di minit ke-15.

Ianya bermula daripada backheel menarik oleh Safawi Rasid kepada Syahmi yang melakukan larian di bahagian sayap kanan sebelum membuat hantaran rendah ke kawasan gol lawan.

Beraksi di laman sendiri, Malaysia tampil memiliki hampir 80% penguasaan perlawanan namun setiap asakan berjaya dikawal baik oleh penjaga gol lawan yang beraksi cemerlang pada malam ini.

Laos dilihat tenggelam sejurus Malaysia memperolehi gol penyamaan sehingga 10 minit terakhir apabila Vongchiengkham dan pemain berusia 17 tahun, Bounphachan Bounkong cuba mengatur serangan balas namun gagal menembusi benteng.

Seminit sebelum berakhir babak pertama, Syafiq yang melihat ada ruang dari luar kotak penalti akhirnya memilih untuk melakukan percubaan deras namun tersasar ke kanan gawang gol.

Babak kedua menyaksikan Laos mempamerkan permainan keras sehingga memaksa pengadil perlawanan melayangkan beberapa kad kuning antaranya kepada Vongchiengkham dan Sibounhuang.

Malaysia memiliki peluang terbaik untuk mendahului perlawanan pada minit ke-54 menerusi percubaan Akhyar Rashid yang masuk menggantikan Syazwan Zainon di permulaan babak kedua.

Akhyar yang menerima hantaran daripada Norshahrul Idlan di bahagian kanan gol berjaya memperdayakan pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan yang tersasar akibat biasan.

Memasuki sejam perlawanan berlangsung, Cheng Hoe yang terhimpit untuk mencari kemenangan telah membuat dua lagi pertukaran dengan memasukkan Shahrel Fikri dan Hazwan Bakri.

Foto: FAM

Cheng Hoe terpaksa mengeluarkan Safawi Rasid yang dilihat bergelut dengan prestasi untuk mencari gol apabila 5 percubaan tepatnya gagal menggegar gawang pasukan pelawat.

Hazwan Bakri yang baru sahaja dua minit masuk ke padang pantas melakukan percubaan dari luar kotak penalti dan sekali lagi kecemerlangan Nammakhoth menafikan gol buat Malaysia.

Seterusnya pada minit ke-68, Hazwan Bakri berjaya melepaskan diri daripada pertahanan lawan dan menyambut hantaran jauh Akram Mahinan namun ianya sedikit tersasar daripada gawang gol.

Laos wajar berterima kasih kepada penjaga gawang mereka, Nammakhoth yang terus beraksi cemerlang apabila berjaya menafikan pula percubaan cantik Akhyar pada minit ke-70.

Mereka hanya memiliki 20% penguasaan bola, langsung gagal mengasak kubu Harimau Malaya dan dilihat seperti hanya menanti barisan serangan tuan rumah mengasak mereka.

Dalam perlawanan yang sepatutnya Malaysia boleh merekodkan kemenangan selesa, kini barisan pemain negara dilihat semakin tertekan dan terus terdesak memburu gol kemenangan.

Minit ke-82, dihimpit kekecewaan demi kekecewaan, giliran Shahrul Saad pula gagal menanduk kemas sepakan penjuru yang diambil oleh Akhyar di sebelah kanan gawang pelawat.

Foto: FAM

Akhirnya, Norshahrul Idlan menggamatkan Stadium Nasional Bukit Jalil apabila berjaya meledak gol yang dicari-cari oleh skuad negara pada minit ke-86 menerusi sentuhan kemas di depan gol pelawat.

Ianya berpunca daripada sepakan penjuru yang telah diambil oleh Syazwan Andik memasuki ruang penalti lawan dan ditampan oleh Shahrel Fikri sebelum bola tersebut menemui Norshahrul Idlan.

Sekali lagi Norshahrul Idlan berjaya meledak gol kedua peribadi dan ketiga Malaysia menerusi tandukan kemas berpunca daripada hantaran Akhyar Rashid sebelum perlawanan ditamatkan.

Dua gol daripada Norshahrul Idlan itu membolehkan Malaysia mengatasi Laos seterusnya meraih 3 mata berharga. Ini adalah kemenangan kedua Harimau Malaya dalam aksi Kumpulan A.

Sementara itu, Laos pula dilihat semakin menuju ke pintu keluar kejohanan selepas tumbang kali kedua dalam dua perlawanan.

Malaysia dijadualkan akan turun menentang Vietnam di Hanoi pada 16 November depan.

Senarai pemain:

Malaysia: Khairul Fahmi (PG), Syahmi Safari, Aidil Zafuan, Shahrul Saad, Syazwan Andik, Norshahrul Idlan Talaha, Akram Mahinan, Syafiq Ahmad (62′ Shahrel Fikri), Safawi Rasid (62′ Hazwan Bakri)Zaquan Adha, Syazwan Zainon (45′ Akhyar Rashid).

Laos: Outthilath Nammakhoth (PG), Vanna Bounlovongsa, Kaharn Phetsivilay, Lathasay Lounlasy, Thothilath Sibounhuang (K), Soukaphone Vongchiengkham, Chanthaphone Waenvongsoth (69′ Somxay Keohanam), Aphixay Thanakhanty, Bounphachan Bounkong, Phithack Kongmathilath, Phouthone Innalay (82′ Kittisak Phomvongsa).

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN