AFCON: Tiada ‘Flight’ Ke Mesir, Presiden Madagascar Buat Pakej Tempahan Airbus 380

Nampaknya rakyat Madagascar sedang dalam suasana riang ria. Skuad bola sepak negara itu telah mara ke pusingan 16 terbaik.

Pasukan bola sepak itu pertama kali membuat penampilan dalam Piala Negara-Negara Afrika atau AFCON.

Jejak Madagascar

Mereka diundi bersama Nigeria, Guinea dan Burundi dalam Kumpulan B. Aksi sulung mereka menentang Guinea berakhir dengan keputusan seri 2-2.

Kemudiannya, pasukan yang digelar Barea itu menewaskan Burundi pada perlawanan kedua. Madagascar menang melalui gol tunggal Marco Ilaimaharitra, pemain kelab Belgium, Sporting Charleroi.

Perlawanan terakhir menyaksikan Nigeria ditewaskan oleh skuad kurang dikenali ini. Penjaga gol Nigeria melepaskan 2 gol yang dijaringkan oleh pemain dari Madagascar.

Kumpulan B menyaksikan mereka menjadi juara dengan meraih 7 mata hasil 2 kemenangan dan 1 seri.

Tiket terbaik

Madagascar dijadualkan menentang Republik Demokratik Congo (DR Congo). DR Congo merupakan pasukan yang menduduki tangga ketiga Kumpulan A.

Malah, kedudukan ranking FIFA menunjukkan DR Congo berada di tangga ke-49. Madagascar pula menduduki kedudukan ke-108.

Sudah pasti ia akan memberikan satu tumpuan luar biasa kepada peminat bola sepak Afrika.

Sorak-sorai

Penyokong Madagascar meraikan kejayaan skuad bola sepak mereka. Sumber: CAFOnline.com

Apabila Madagascar telah diketahui sah ke fasa 16 terbaik, penduduk negara pulau di pinggir benua Afrika itu melonjak gembira.

Tetapi, satu persoalan telah timbul. Bagaimana untuk ke Mesir sedangkan tidak ada penerbangan komersial menghubungkan kedua-dua negara.

Perkara ini sampai kepada pengetahuan Presiden negara itu, Andry Rajoelina. Rajoelina segera membantu dengan mendapatkan sebuah pesawat Airbus 380. Pesawat itu dijangka akan memuatkan seramai 480 orang penumpang.

Ia bukan percuma

Setiap penyokong dilaporkan akan membayar kira-kira $600 (dolar Amerika Syarikat). Namun begitu, ia telah termasuk tiket perlawanan dan makanan.

Pesawat itu dijangka akan berlepas dari ibu kota Madagascar, Antananarivo pada Sabtu (6 Julai) . Perlawanan itu pula dilangsungkan pada keesokan harinya iaitu Ahad. Dan rombongan itu akan pulang pada Isnin.

Ada para penyokong sudah pun beratur bagi mendapatkan tiket. Ada yang mengatakan tidak kisah mereka membayar lebih berbanding usaha skuad bola sepak negara mereka.

Nampaknya, Madagascar sudah mencuri perhatian dunia, dengan bola sepak!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram