AFC B-23 2020: VAR & Pengadil Bantu Arab Saudi Singkir Thailand

Arab Saudi Thailand AFC B-23 Suku Akhir

Satu-satunya wakil Asia Tenggara di peringkat suku akhir Kejohanan AFC B-23, Thailand disingkirkan Arab Saudi selepas tewas 0-1 dalam perlawanan yang diakhiri kontroversi ciptaan VAR.

Ini kerana, Arab Saudi hanya berhasil meledak satu-satunya gol untuk menewaskan Thailand adalah menerusi sepakan penalti ‘ehsan’ daripada keputusan pengadil VAR pada minit ke-78.

Perlawanan suku akhir antara kedua-dua pasukan boleh dikatakan diwarnai dengan aksi berhati-hati apabila Arab Saudi mahupun Thailand tidak terlalu tergesa-gesa merencana serangan.

Boleh difahami kerana ia adalah peringkat kalah mati dengan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo menjadi rebutan, kedua-dua pasukan tampil dengan permainan sebegini sejak daripada wisel permulaan.

Tuan rumah, Thailand menampilkan permainan lebih menarik di awal babak pertama dan hampir mendahului aksi pada minit ke-6 menerusi percubaan terkena palang oleh Suphanat Mueanta.

Penjaga gol Arab Saudi, Mohammed Al-Yami hanya terpaku melihat percubaan melencong pemain berusia 17 tahun, Suphanat Mueanta dari sebelah kiri gawangnya itu mengegar palang golnya.

Sementara Arab Saudi pula memiliki dua peluang terbaik iaitu di minit ke-31 dan ke-35, namun penyerang, Abdullah Al-Hamdan gagal memberikan kelebihan jaringan awal buat pasukannya.

Pengadil perlawanan, Ahmed Al-Kaf, akhirnya menjadi tumpuan selepas menghadiahkan Arab Saudi sepakan penalti, hasil perebutan bola antara Abdullah Al-Hamdan dan Sorawit Panthong.

Ahmed Al-Kaf pada awalnya memberikan sepakan percuma di luar kotak penalti namun selepas kelewatan panjang akibat beberapa bantahan, secara tiba-tiba penalti diberikan hasil semakan VAR.

Pengadil dari Oman itu juga dilihat langsung tidak mengambil peluang untuk melihat sendiri kejadian tersebut menerusi monitor VAR yang telah disediakan ditepi padang oleh pihak penganjur.

Abdullah Al-Hamdan akhirnya menyudahkan penalti tersebut untuk mereka mendahului perlawanan seterusnya memenangi perlawanan hasil daripada jaringan penalti tersebut sehingga ke wisel penamat.

Berdasarkan video ulang tayang yang diperolehi daripada laman Twitter FOX Sports LIVE, keputusan VAR dan pengadil tersebut dilihat meragukan dan tindakan Amed Al-Kaf juga manambah rencahnya.

Menerusi siaran langsung perlawanan, juga kedengaran jelas para penyokong Gajah Perang yang memenuhi Stadium Thammasat memaki hamun pengadil dengan pelbagai perkataan kesat.

Dengan tersingkirnya Thailand, Asia Tenggara sudah tiada wakil untuk ke peringkat separuh akhir kejohanan dwi tahunan ini selain tiada juga wakil Asia Tenggara untuk Sukan Olimpik 2020 nanti.

Pada edisi 2018, Arab Saudi ditewaskan Malaysia dalam peringkat kumpulan. Arab Saudi kini akan menanti pemenang antara UAE dan Uzbekistan yang akan berlangsung pada malam nanti.

Kredit Foto: The AFC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram