Adly Zahari Diumumkan Sebagai Presiden Baharu Melaka United

Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) mengumumkan Ketua Menteri Melaka, YAB Tuan Haji Adly Zahari sebagai Presiden baharu berkuatkuasa selaras dengan perlembagaan persatuan yang menyatakan Ketua Menteri secara automatik mengetuai Presiden MUSA hari ini.

Sebelum ini jawatan presiden MUSA disandang oleh bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron sejak 2013.

Misi Adly musim ini ialah memperbaiki kedudukan Melaka United dalam saingan Liga Super musim ini dengan kemampuan dan keupayaan pengurusan MUSA sedia ada ditambah dengan sokongan daripada penyokong bolasepak Melaka.

“Jadi saya rasa saya akan ambil tanggungjawab itu dan kita akan berbincang di peringkat pengurusan untuk melihat di mana potensi-potensi kita dalam meningkatkan lagi kedudukan pasukan dalam liga ini.

FOTO: MUSA

Ditanya mengenai kemungkinan berlaku rombakan dalam pengurusan MUSA, beliau berkata setakat ini pihaknya masih menggunakan konsep yang sama dalam pengurusan kerajaan negeri dan akan menilai sambil mengharapkan pengurusan sedia ada meneruskan tanggungjawab dalam persatuan.

“Dalam masa yang sama kita akan membuat penilaian sama ada dari segi pasukan ataupun pengurusan itu sendiri, jadi saya belum lagi hadir mesyuarat tapi saya yakin kita akan bekerjasama untuk kebaikan bolasepak Melaka.

“Dari segi bajet memang kita akan berusaha untuk cari lebih untuk bajet penajaan untuk pasukan ini dan saya yakin potensi kita bergantung juga kepada bajet yang kita usahakan, jadi kalau kita mahu meningkat jauh memang kita kena berusaha untuk mendapatkan bajet lebih baik, saya akan menggunakan sepenuh kemampuan saya untuk menyokong usaha dari segi bajet,” katanya seperti dipetik dalam laman facebook MUSA.

Adly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, berkata dengan semangat baru dan sokongan peminat, pihak pengurusan juga mampu membentuk pasukan yang cemerlang walaupun bersaing dengan pasukan hebat lain di Liga Super.

“Setakat ini konsep sama dalam pentadbiran negeri akan digunakan mengurus MUSA dengan peranan mereka di dalam persatuan itu akan diteruskan, namun pada masa sama akan melakukan penilaian terhadap pasukan dan pengurusan.

“Pasukan ini memiliki potensi besar menerusi komitmen tinggi untuk prestasi lebih baik. Justeru, saya akan berusaha mencari lebih banyak penajaan kerana potensi melangkah lebih jaya juga bergantung kepada bajet,” katanya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram