Adakah Moyes Melakukan Kesilapan Apabila Memasukkan Noble Hanya Untuk Ambil Penalti?

David Moyes dan West Ham mengakhiri perlawanan menentang Manchester United dengan penuh kekecewaan selepas Mark Noble gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit akhir perlawanan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata.

The Hammers mendahului perlawanan melalui Said Berahma, sebelum kedudukan disamakan oleh Cristiano Ronaldo. Pasukan pelawat menjaringkan gol kemenangan melalui Jesse Lingard yang beraksi secara pinjaman di kelab London itu pada musim lalu.

Ketika perlawanan menuju penamat, skuad kendalian David Moyes seperti mendapat nafas baharu apabila sepakan Andriy Yarmolenko terkena tangan Luke Shaw di dalam kotak penalti.

Apa yang menjadi kontroversi dan perdebatan ramai terutama penyokong West Ham adalah keputusan Moyes memasukkan Mark Noble semata-mata untuk mengambil sepakan tersebut.

Langkah itu seakan-akan memakan diri apabila Noble gagal menyempurnakan sepakan, menyebabkan kritikan dilemparkan kepada Moyes.

Pertukaran untuk sepakan penalti

Memasukkan pemain hanya untuk sepakan penalti bukan perkara yang selalu kita lihat, namun kerap kali menimbulkan tanda tanya.

Penyokong England pasti masih ingat bagaimana Gareth Southgate memasukkan Marcus Rashford dan Jadon Sancho pada babak akhir perlawanan akhir Euro 2020 menentang Itali pada musim panas lalu.

Pertukaran tersebut bagaimanapun tidak berhasil apabila kedua-dua pemain gagal menyempurnakan sepakan masing-masing untuk membenarkan Itali meraih kejuaraan Euro 2020 di Wembley.

Statistik Noble

Moyes mungkin boleh dimaafkan kerana memberi kepercayaan sepenuhnya untuk Noble mengambil sepakan penting tersebut,

Ini kerana sebelum perlawanan menentang Manchester United semalam, Noble hanya pernah terlepas empat sepakan penalti sepanjang kariernya.

Kali terkhir Noble gagal mengegarkan jaring gawang dari sepakan penalti untuk pasukannya ialah pada 14 Disember 2016 dalam perlawanan menentang Burnley.

Noble telah menyempurnakan semua 10 sepakan penalti terakhir untuk West Ham sebelum ini. Namun demikian Noble belum beraksi selama 2 minit dalam perlawanan menentang Leicester pada musim ini, menyebabkan keputusan memasukkan pemain itu pada babak akhir menentang Manchester United menjadi pertanyaan.

Wajarah tindakan Moyes?

Jika seseorang pemain itu beraksi secara kerap, memiliki ketajama dan bersedia untuk mengambil sepakan penalti dengan penuh keyakinan, maka pemain itu harus mengambil sepakan tersebut.

Noble tidak memiliki kriteria itu. Lebih menghairankan Declan Rice kelihatan sudah mengambil bola seperti bersedia untuk mengambil sepakan, sebelum Noble dimasukkan oleh Moyes untuk tujuan tersebut.

Keputusan oleh Moyes itu seperti beliau tidak menunjukkan keyakinan kepada barisan pemain sedia ada di dalam padang. Sedangkan pemain sedia ada sepatutnya lebih bersedia. Ketiadaan Michail Antonio yang digantung perlawanan juga mungkin mempengaruhi keputusan Moyes memasukkan Noble.

Maka ia perkara yang logik untuk dilakukan, tetapi bukan perkara yang kerap berlaku dan secara sejarahnya ia adalah taktik yang sentiasa menjurus kepada kegagalan.

Menurut MARCA, rekod dalam perlawanan antarabangsa sejak 1986, 10 pemain telah dibawa masuk pada babak akhir perlawanan untuk mengambil sepakan penalti. 6 daripadanya gagal menyempurnakan sepakan masing-masing, dan ini bermakna pemain yang dimasukkan untuk tujuan tersebut mempunyai 40% kemungkinan untuk menyempurnakan sepakan sejak 35 tahun lalu.

Rumusan

Untuk merumuskannya, pemain yang dibawa masuk sekurang-kurangnya 20 minit lebih awal mempunyai peluang sehingga 77% untuk menyempurnakan sepakan diambil.

Sejak 1986, 17 daripada 22 pemain yang dibawa masuk dalam tempoh itu berjaya menyempurnakan sepakan masing-masing.

Ia bermakna untuk memberikan sepakan kepada pemain yang ‘masih sejuk’ dan belum mendapat rentak perlawanan bukanlah idea yang bagus, tanpa mengira betapa hebat sekali pun rekod penalti mereka.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply