Adakah Ghaddar Akan Menempa Sejarah Baharu Penjaring Terbanyak Liga Super?

Penyerang kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohammed Ghaddar kini semakin hampir untuk dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Super 2017 seterusnya memenangi trofi Kasut Emas bagi musim ini.

Walaupun pernah beraksi beberapa musim di Liga Super bersama Kelantan iaitu pada musim 2012 dan 2014 serta Felda United (2013), Ghaddar masih belum berjaya memiliki gelaran tersebut.

Mohammed Ghaddar Kini Sudah Merekodkan 23 gol peribadi. Foto: Rasul Azli Samad

Paling hampir adalah pada musim 2012, Ghaddar menyumbang sembilan gol buat Kelantan, kurang enam gol daripada penjaring terbanyak musim tersebut iaitu Jean-Emmanuel Effa Owona dari pasukan Negeri Sembilan dan Francis Doe Forkey (Terengganu).

Namun, ianya tampak bakal memihak kepadanya musim ini. Ghaddar telah meledakkan 23 gol, jauh meninggalkan pencabar terdekat iaitu penyerang Pahang, Matheus Alves (16 gol) dan penyerang Kedah, Ken Ilso (13 gol).

Untuk musim 2017, Ghaddar telah beraksi bersama dua pasukan iaitu Kelantan dan JDT. Di Kelantan sahaja, dia telah merekodkan 18 gol sebelum menambah lagi lima jaringan selepas menyertai JDT pada 16 Mei yang lalu.

18 Gol Direkodkan Ketika Bersama Kelantan Sebelum Menyertai JDT. Foto: Hazmin Hussin / www.asiana.my

Berbaki satu perlawanan lagi, Ghaddar masih berpeluang untuk menambah koleksi jaringannya, malah berpeluang untuk mengatasi rekod penjaring terbanyak Liga Super sepanjang 13 edisi, milik Marlon Alex James iaitu 23 gol.

Pada musim 2008, bersama Kedah, Marlon ketika itu juga jauh meninggalkan pencabar terdekatnya iaitu penyerang Perak, Carlos Arturo Cáceres (17 gol) dan penyerang Selangor, mendiang Frank Seator (15 gol).

Yang membezakan rekod Marlon dan Ghaddar adalah Marlon menjadi penjaring terbanyak ketika bersama satu pasukan sahaja, iaitu Kedah. Dan jumlah perlawanan yang dilalui adalah 24 perlawanan.

Namun, Ghaddar pula telah beraksi untuk dua pasukan, Kelantan dan JDT pada musim ini, dan jumlah perlawanan untuk Liga Super 2017 adalah 22 perlawanan.

Apabila berpindah ke pasukan baharu, setiap pemain akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri. ‘Adjustment Period’. Ghaddar juga tidak terkecuali, dan disebabkan itu jumlah jaringannya tiada pertambahan ketara.

Sekiranya Ghaddar masih kekal bersama Kelantan, adakah dia akan berjaya meledak lebih banyak gol lagi?

Berikut merupakan rekod pemenang Kasut Emas daripada musim 2004 sehingga 2016 mengikut ranking:

  1. Musim 2008: Marlon Alex James (Kedah) – 23 gol
  2. Musim 2007: Keita Mandjou (Perak), Mohd Shahrazen Said (DPMM) – 21 gol
  3. Musim 2011: Abdul Hadi Yahya (Terengganu) – 20 gol
  4. Musim 2015: Dramane Traore (PDRM) – 19 gol
  5. Musim 2016: Jorge Pareyra Diaz (JDT) – 18 gol
  6. Musim 2010: Ashaari Shamsuddin (Terengganu) – 18 gol
  7. Musim 2009: Nizaruddin Yusof (Perlis) – 18 gol
  8. Musim 2005: Julio Cesar Rodriguez (Sabah), Zacharia Simukonda (Perlis) – 18 gol
  9. Musim 2006: Keita Mandjou (Perak) – 17 gol
  10. Musim 2014: Paulo Rangel (Selangor) – 16 gol
  11. Musim 2013: Marlon Alex James (ATM) – 16 gol
  12. Musim 2012: Jean-Emmanuel Effa Owona (Negeri Sembilan), Francis Doe Forkey (Terengganu) – 15 gol
  13. Musim 2004: Indra Putra Mahayuddin (Pahang) – 15 gol

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply