Adakah Dollah Salleh Nampak Herold Goulon Sebagai Jelmaan Dickson Nwakaeme?

Herold Goulon jelmaan Dickson Nwakaeme

Adakah pengendali Sri Pahang, Dollah Salleh melihat bek tengah mereka, Herold Goulon sebagai pemain yang mampu menjadi jelmaan semula penyerang sensasi Tok Gajah, Dickson Nwakaeme pada ketika ini?

Sebagaimana kita ketahui, Sri Pahang melalui musim yang suram dan Dollah Salleh telah mengakui kecewa dengan sentuhan barisan penyerangnya yang tumpul disamping tiada semangat sepasukan dalam skuadnya.

“Kita kena fokus kepada menjaringkan gol. Dalam ‘training’, kita sudah buat macam-macam, tetapi dalam ‘game’, ia tidak menjadi dan benda ini saya terpaksa tekan lagi,” ujar Dollah Salleh dalam sidang media.

Dollah Salleh: ‘Training’ Dah Buat Macam-Macam, Dalam ‘Game’ Tak Jadi Juga

Dalam aksi kedua Kumpulan A, Piala Malaysia 2021 berdepan Sarawak United, Dollah Salleh mengejutkan ramai apabila meletakkan Herold Goulon sebagai penyerang untuk berganding bersama Kenny Athiu.

Dalam aksi sebelum ini, Herold Goulon pernah diletakkan di posisi tengah bertahan. Ini menjadikan beliau sebagai pemain utiliti buat Dollah Salleh dengan boleh diletakkan di pertahanan, tengah dan penyerang.

Bertubuh besar dan tinggi, penampilan fizikal Herold Goulon memang seakan-akan Dickson Nwakaeme. Namun, permainan yang ditampilkannya ketika berdepan Sarawak United tampak tidak menjadi disebabkan kekentalan gandingan tiga bek tengah yang dicatur oleh pengendali Enggang Emas, E.Elavarasan.

Malah, adakalanya beliau kelihatan kekok serta gagal membentuk kesefahaman yang baik di jentera depan. Pergerakkannya juga lambat menyaksikan acapkali beliau berjaya dipintas oleh pemain-pemain lawan.

Sebagai penyerang, Dickson Nwakaeme memiliki naluri pemusnah. Disebalik fizikalnya yang besar, beliau memiliki sentuhan penyudah yang baik berbanding apa yang dapat kita saksikan daripada Herold Goulon.

Bagi sahaja bola kepadanya di dalam kotak penalti dan anggaplah tugas anda telah selesai. Pergerakan beliau juga tidak mudah untuk dipatahkan malah pertahanan lawan juga seringkali berjaya ditewaskannya.

Beliau juga mampu memegang bola di depan yang mana ketika ini Sri Pahang kehilangan penyerang yang memiliki kemampuan sebegitu. Ini yang diakui oleh Dollah Salleh di sidang media sejurus perlawanan.

Pada era kemuncaknya, siapa yang mampu lupakan gandingan menakutkan antara Dickson Nwakaeme dan Matias Conti? Malah, adakalanya kita seolah-olah melihat beliau bersendirian menewaskan pasukan lawan.

“Saya mahukan seseorang yang boleh pegang bola di depan. Dia [Herold Goulon] boleh main peranan itu tetapi untuk bergerakan kiri atau kanan, agak sukar baginya. Dia dah cuba bagi yang terbaik,” ujar Dollah Salleh sambil menekankan yang sebenarnya segalanya berbalik kepada permainan berpasukan mereka.

“Keseluruhannya adalah pada pasukan, bukan pada individu. Nampak masing-masing banyak pada individu. Itu yang nampak pasukan masih tercari-cari rentak. Kita sebenarnya tersekat antara tengah dan serangan.

“Perjalanan kita selalu tersangkut di situ. Dan begitu mudah buat pihak lawan mematahkan kita di bahagian serangan. Bila benda tidak jadi di depan, ia beri kesan kepada semua,” ulas Dollah Salleh megenai skuadnya.

“Saya kecewa dengan keputusan malam ini. Kita setakat main dan menguasai bola di tengah padang tetapi kita tak mencipta peluang. Agak sukar saya tengok kepada Sri Pahang ketika ini. Kita nak mencipta satu peluang untuk jaringkan gol pun kita sukar. Inilah masalah pasukan Sri Pahang,” ulasnya lanjut.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply