Adakah Di Mata FAM Kualiti Pemain AMD Lebih ‘Cikai’ Dari Pemain B-18 Kelab Divisyen Ke-8 England?

AMD FAM

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengeluarkan senarai 27 orang pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat Fasa 1 secara kuarantin selama sembilan hari di Petaling Jaya dari 30 Ogos sehingga 7 September.

Panggilan itu merupakan persiapan awal menjelang saingan Kumpulan J, Kelayakan Piala Asia B-23 2022 bertemu Laos, Mongolia dan Thailand di Ulaanbaatar, Mongolia dari 27 hingga 31 Oktober 2021.

27 pemain ini dikatakan dipanggil untuk fasa 1 di mana majoriti daripadanya merupakan pemain dari pasukan-pasukan Liga Premier. Ini kerana saingan liga divisyen dua itu sedang berehat seketika sepanjang jendela perlawanan antarabangsa FIFA.

Untuk pemain yang beraksi dalam saingan Liga Super, FAM akan mengeluarkan senarai baharu untuk latihan fasa 2 yang dijadual pada 19 September iaitu sehari selepas berakhirnya saingan Liga Super.

Turut akan dipanggil untuk latihan fasa 2 itu adalah pemain yang sedang berkelana di luar negara seperti Luqman Hakim Shamsudin dan Wan Kuzri Wan Kamal.

Namun berdasarkan senarai 27 pemain yang dikatakan dipanggil oleh ketua jurulatih skuad bola sepak B-20 kebangsaan, Brad Maloney ini , didapati tiada langsung  pemain daripada Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD).

Menurut ciapan Youth Football Malaysia, di AMD kini terdapat sekurang-kurangnya empat orang pemain yang seharusnya diberi perhatian iaitu Alif Izwan, Adam Farhan, Adam Daniel, Alif Farhan yang merupakan penyandang juara kejohanan AFF B-15.

Walaupun pelatih-pelatih ini tidak didedahkan dengan perlawanan kompetitif, tetapi sejak awal tahun lagi mereka semua sudah berada di latihan mereka di Gambang untuk menjalani latihan secara kem berpusat

Sebagai ganti kepada perlawanan kompetitif yang tidak dapat dijalankan disebabkan pandemik, mereka didedahkan dengan perlawanan dalaman (sparring match) seperti AMD Challenge Cup dan lain-lain.

Jika FAM beranggapan pemain-pemain dari AMD berusia 17 tahun ini terlalu muda dan ‘mentah’, dalam senarai 27 pemain yang dipanggil itu terdapat seorang pemain dengan usia yang sama iaitu Mohamed Amir Mohamed Faruk.

Berdasarkan maklumat yang diberikan, pemain ini beraksi untuk Chipstead FC, iaitu sebuah pasukan semi-profesional yang beraksi di Liga Istmian Divisyen Selatan Tengah, iaitu liga divisyen ke-8 dalam sistem liga bola sepak England.

Maka timbul persoalan, adakah pada pandangan FAM pemain-pemain yang dibentuk, diasuh dan dilatih di akademi elit seperti AMD ini kualitinya lebih rendah daripada pemain skuad B-18 pasukan yang sebegitu kerdil?

Persoalan seperti ini mungkin tidak timbul jika pemain yang dipanggil itu beraksi bersama skuad remaja sebuah pasukan ternama atau setidak-tidaknya mungkin divisyen kedua atau ketiga yang mungkin lebih jelas sistem pembangunannya.

Jika di situlah letaknya kedudukan pelatih AMD, mungkin kerajaan tidak perlu lagi menghabiskan ratusan juta ringgit untuk menghasilkan pemain-pemain berkualiti daripada akademi terbaik negara ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN