Adakah Bojan Hodak Akan Jadikan Romel Morales Sebagai Piya, Copot ‘Baharu’

Romel Morales Bojan Hodak Piya Copot

Adakah Bojan Hodak akan menjadikan Romel Morales fokal kekuatan KL United sebagaimana dilakukannya kepada Badhri Radzi (Piya) dan Safiq Rahim (Copot)?

Bojan Hodak diketahui memiliki ‘sentuhan emas’ ketika bersama pasukan yang pernah dibimbingnya di Liga Malaysia terutamanya di Kelantan dan Johor Darul Ta’zim (JDT). Ketika itu, Badhri Radzi dan Safiq Rahim adalah tonggak utama di jentera tengah.

Jodohnya bersama kedua-dua pasukan tersebut tidaklah terlalu panjang, namun beliau tetap menghadiahkan trofi kejuaraan buat mereka. Bersama Kelantan, beliau meraih tiga kejuaraan semusim pada 2012 – Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia, selain Piala FA 2013. Di JDT, beliau mengucup Liga Super 2014 dan Piala Sumbangsih 2015.

Romel Morales sertai KL United

Calon pemain naturalisasi negara, Romel Morales telah diumumkan sebagai pemain baharu KL United baru-baru ini. Ia bukan penyertaan biasa kerana kita sedia maklum kemampuan pemain tengah berusia 23 tahun itu merencana gerakan pasukan.

Dalam bahasa lain, beliau bolehlah dianggap sebagai seorang playmaker buat pasukan yang pernah disertainya sebelum ini iaitu PKNS FC dan Melaka United.

Sayangnya, Melaka United tidak cukup menghargai kemampuan pemain kelahiran Colombia itu apabila mereka dirundung masalah luar padang yang mengganggu rentak dan prestasinya sepanjang musim pertamanya bersama skuad Hang Tuah.

Dalam kenyataannya di laman sosial rasmi The City Boys, Romel Morales menitipkan penghargaan buat KL United apabila memberikan peluang buat dirinya untuk bersama mereka. Ucapnya, “Saya sangat gembira dan berbangga menyertai pasukan ini. Saya mahu bantu Kuala Lumpur untuk memenangi sesuatu musim ini.”

Bagaimana wajah KL United musim lalu?

Di jentera tengah KL United musim ini, mereka memiliki Zhafri Yahya, Akram Mahinan, Ezrie Shafizie dan kapten musim lalu, Paulo Josue. Kemasukkan Romel Morales telah berjaya menambah sengat buat mereka dalam musim pertama di Liga Super.

Pengalamannya dua musim bersama PKNS FC dan semusim di Melaka United dalam saingan Liga Super akan memudahkannya dalam membantu pasukan.

Musim lalu, ketika menamatkan saingan di kedudukan ketiga Liga Premier, skuad yang dibimbing Nidzam Adzha itu menggunakan tiga pemain di jentera tengah dengan formasi 4-3-3. Dengan liga dipendekkan kepada setengah musim dan hanya 11 perlawanan berlangsung, gandingan mana yang memimpin jentera tengah?

Gandingan Paulo Josue, Akram Mahinan dan Zhafri Yahya paling banyak digunakan iaitu dalam empat aksi dan dua kali untuk gandingan Paulo Josue, Akram Mahinan dan Ezrie Shafizie serta gandingan Paulo Josue, Zhafri Yahya dan Nicolas Dul.

Apa formasi yang Bojan Hodak suka?

Agak menarik, Bojan Hodak dilihat gemar menggunakan formasi 4-4-2 atau 4-3-3 sepanjang mengendalikan pasukan Liga 1 Indonesia, PSM Makassar musim lalu. Lapor IndoSport, beliau memaklumkan formasi yang digunakannya adalah 4-4-2 dengan menggunakan kekuatan pemain sayap untuk menyusup masuk.

Ketika beliau bersama skuad B-19 negara sepanjang tahun 2017 hingga 2019, kapten Selangor 2 dan pemain skuad tersebut, Shahrul Nazeem Zulpakar ada menyatakan yang formasi yang diterapkannya adalah 4-4-2, berbeza dengan Brad Maloney.

Ketika membimbing Kelantan untuk dua musim pula, Bojan Hodak dilihat lebih gemar menggunakan formasi 4-3-3 seperti yang dijelaskannya dalam laporan ini.

Begitupun, ketika mengendalikan PSM Makassar, pengendali berusia 49 tahun itu ada menjelaskan yang beliau sentiasa ada tiga pilihan formasi. Katanya kepada media, “Sekalipun saya sudah memutuskannya [soal formasi], kami tidak hanya akan memiliki satu sistem. Kami harus memiliki tiga pilihan, iaitu [formasi] A, B, dan C.”

Apa yang boleh Romel Morales bantu?

Apa yang istimewa tentang pemain ini adalah beliau seorang yang sangat berbahaya jika diberikan ruang di dalam kotak penalti selain memiliki tembakan berbahaya daripada jarak jauh. Kedua-dua kakinya ‘hidup’, menambah lagi kesukaran buat lawan.

Hantaran lolosnya juga sangat baik selain memiliki kawalan bola serta visi hantaran yang bagus. Anda boleh melihat kualiti permainannya menerusi kompilasi aksinya.

Kekurangan KL United jika dilihat ketika perlawanan penting musim lalu, dalam misi memburu kejuaraan Liga Premier menentang Pulau Pinang (kini Penang FC), adalah tiada cengkaman di zon tengah. Kehadiran Romel Morales membentuk gandingan bersama Paulo Josue mungkin akan memberikan warna baharu buat mereka.

Adakah Bojan Hodak bakal menggunakan Romel Morales sebagaimana yang pernah dibuatnya ketika menjadikan Piya dan Copot sebagai fokal kekuatan jentera tengah Kelantan dan JDT, satu masa dahulu? Kedua-duanya dilihat memiliki sentuhan yang seakan-akan sepertinya saat mengemudi jentera tengah pasukan masing-masing.

KREDIT FEATURED IMAGE: MELAKA UNITED, PSM MAKASSAR

Baca lagi artikel lain mengenai Romel Morales dan KL United:

Morales, Endrick, Careca Calon Pemain Naturalisasi

5 Sebab Semua Pasukan Perlu Jaga-Jaga Dengan KL United

KL United Jelaskan Situasi Sebenar, Khatul Anuar Mahu Bincang Masa Depannya

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN