ACL 2019: JDT Tumbangkan Juara Bertahan Kashima Antlers Di Larkin

JDT mencipta sejarah mengumpul tiga mata pertama di pertandingan AFC Champions League.

Pasukan pelawat terlebih dahulu melakukan ancaman seawal minit ke-9 selepas sedikit ruang di luar kotak penalti JDT menyaksikan Taiki Hirato melepaskan rembatan kaki kiri yang tersasar.

Tiga minit kemudian, giliran JDT mengancam kubu pertahanan Kashima Antlers, namun tandukan Syafiq Ahmad dari sepakan percuma tidak tepat ke sasaran.

Minit ke-14 perlawanan menyaksikan dua percubaan berturut-turut dari Kashima gagal disudahkan. Pertama dari rembatan Leo Silva yang ditampan oleh Izham Tarmizi di hadapan gawang – sebelum tindakan susulan Serginho turut disia-siakan.

Lima minit kemudian pemain pertahanan JDT, Aidil Zafuan hampir menjadi duri di dalam daging apabila tandukan beliau untuk mengeluarkan hantaran lintang Koki Anzai hampir menuju ke dalam gawang sendiri.

Tindakan Izham Tarmizi yang meluru keluar untuk mematikan serangan balas Kashima hampir mengundang padah, apabila penjaga gol muda itu terlepas bola. Mujur tindakan susulan dari Kashima selepas itu lemah, dan mudah diselamatkan oleh Izham.

Hadangan Aidil untuk memintas hantaran Hiroki Abe selepas itu turut berjaya mengekalkan kedudukan kekal terikat tanpa jaringan selepas 30 minit perlawanan berlangsung.

Minit ke-39 menyaksikan hantaran Nazmi pula menyukarkan penjaga gol Kashima, sehingga memberikan sepakan penjuru yang turut tidak membuahkan hasil. Tamat babak pertama, kedudukan kekal terikat tanpa jaringan.

Bermula babak kedua, JDT bermula garang apabila serangan balas pantas dari Safawi Rasid diakhiri dengan percubaan Syafiq yang sekadar mengegarkan bahagian luar jaring.

Minit ke-60 menyaksikan Kashima mempunyai peluang besar untuk mendahului perlawanan selepas Sho Ito berjaya melepasi perangkap offside, namun bola berjaya dihadang keluar oleh Izham Tarmizi yang pantas meluru keluar.


Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos kemudiannya gamat pada minit ke-69, apabila Syafiq Ahmad berjaya melepasi kawalan seorang pertahanan Kashima untuk meluru ke dalam kotak penalti sebelum percubaan kaki kanan beliau menuju ke far post. Kedudukan semasa, JDT 1-0 Kashima Antlers.

JDT hampir melebarkan kedudukan enam minit selepas itu, namun hantaran lintang S. Kunanlan gagal disudahkan oleh Gonzalo Cabrera.

Percubaan Safawi pada minit ke-77 selepas kesilapan pertahanan Kashima yang hilang penguasaan bola di bahagian tengah pula tersasar tinggi.

Safawi sekali lagi gagal memanfaatkan peluang di minit akhir perlawanan apabila berjaya meloloskan diri, namun hadangan Koki Anzai menafikan Safawi dari melepaskan percubaan.

Kedudukan 90 minit perlawanan tamat untuk kedudukan kekal 1-0, sekaligus bermakna JDT berjaya merekodkan kemenangan pertama di dalam pertandingan ini, menewaskan juara bertahan Kashima Antlers.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN