ACL 2019: Harris Harun Akui Perlawanan Malam Ini Bukan Mudah

Kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Harris Harun mengakui tugas berat sedang menanti beliau dan rakan sepasukannya apabila melayan kunjungan Gyeongnam FC dalam aksi kedua peringkat kumpulan AFC Champions League (ACL) di Larkin, malam ini.

Bagaimanapun, beliau yakin JDT mampu memberikan saingan sengit kepada kelab dari Korea Selatan itu berdasarkan aksi pertama ketika menentang juara bertahan ACL, Kashima Antlers.

“Saya menjangkakan perlawanan esok akan menjadi satu perlawanan yang sukar. Ini merupakan cabaran yang besar buat kami. Kami telah melakukan yang terbaik ketika perlawanan menentang Kashima Antlers sebelum ini.

“Kami akan mengambil perkara positif dan keyakinan daripada perlawanan tersebut untuk perlawanan ini. Buat masa ini tahap moral para pemain juga berada dalam keadaan terbaik,” katanya dalam kenyataan di laman facebook JOHOR Southern Tigers.

Saya menjangkakan perlawanan esok akan menjadi satu perlawanan yang sukar. Ini merupakan cabaran yang besar buat kami….

Posted by JOHOR Southern Tigers on Monday, March 11, 2019

Beliau juga menuntut rakan sepasukannya mempamerkan aksi terbaik di harapan ribuan penyokong sendiri walaupun sedar sedang berdepan tekanan yang tinggi dalam perlawanan ini.

“Bagi saya, kadang-kala anda perlu mempunyai tekanan kerana jika tidak anda akan menjadi terlalu yakin dan terlalu selesa. Ia amat berbahaya. Oleh itu, bagi kami apa yang penting adalah kami perlu mempunyai sedikit rasa kerisauan dan tekanan untuk bersedia menghadapi perlawanan,” ujarnya.

Harris menjalani sesi latihan rasmi bersama rakan sepasukan semalam. FOTO: JST

JDT yang kini berada di kedudukan tercorot dalam kumpulan E perlu memanfaatkan kelebihan di halaman sendiri untuk memburu 3 mata penuh bagi mencerahkan peluang untuk mara ke peringkat yang seterusnya.

“Kami akan bermain di halaman sendiri dan kami perlu menggunakan kelebihan tersebut. Bermain di stadium sendiri adalah amat bermakna, lebih-lebih lagi bermain untuk perlawanan yang amat berprestij seperti ini. Ia akan menjadikannya lebih menarik.

“Kami perlu memberikan yang terbaik seperti dalam setiap perlawanan. Kami juga akan cuba untuk mengawal perlawanan. Meskipun ia agak sukar, namun kami perlu menghadapi cabaran ini,” katanya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram