Aaron Ramsey Mahu Sertai Cristiano Ronaldo Di Juventus

Fabrizio Romano menyatakan Aaron Ramsey mahu menyertai Juventus dan menolak tawaran daripada Paris St-Germain. Ramsey kini berstatus ejen bebas dan boleh berunding dengan mana-mana kelab untuk perpindahan percuma pada musim hadapan.

Jika ada pasukan yang mahukan beliau pada Januari ini, mereka perlu membayar yuran perpindahan kepada Arsenal. Namun buat masa ini, Unai Emery menegaskan beliau mahu Ramsey terus kekal bersama pasukannya untuk baki musim ini.

Ini bermakna Arsenal tidak mempertimbangkan untuk menjual pemain itu pada Januari – kerana sukar untuk mendapatkan pemain tengah berkualiti dalam jendela perpindahan kali ini.

Juventus kini yakin akan dapat menandatangani Ramsey selepas kontrak pemain itu tamat pada akhir musim ini. Pengarah Sukan Juventus – Fabio Paratici mengakui Ramsey di dalam radar mereka.

Juventus sedia menawarkan kontrak 5 tahun kepada pemain 28 tahun itu dengan nilai kontrak sebanyak £5.87 juta semusim. Selain daripada Juventus dan PSG, gergasi Jerman iaitu Bayern Munich juga berminat untuk mendapatkan Ramsey.

Laporan Corriere dello Sport di Itali pula menyatakan Ramsey mahu ke Juventus untuk menyertai Cristiano Ronaldo di sana.

Ramsey sebelum ini menyatakan Arsenal menarik balik tawaran kontrak beliau pada September lalu. Jadi, kini beliau bebas untuk mengikat pra-kontrak dengan mana-mana pasukan.

Juventus mahu membawa Ramsey ke Turin untuk menggantikan Sami Khedira yang dikaitkan dengan kelab China.

Sebagai rekod, Ramsey menyertai Arsenal pada 2008 dengan nilai £5 juta dari Cardiff. Beliau kini menjadi pemain yang paling lama berkhidmat untuk Arsenal.

Musim ini Ramsey kerap menunjukkan aksi cemerlang di atas padang meskipun kerap menjadi pemain gantian. Beliau merupakan nama yang dipetik oleh Unai Emery bersama-sama dengan Aubameyang sebagai asas sistem permainan. Namun selepas itu, masa depan beliau dengan Arsenal menjadi tidak menentu.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram