Eintracht Frankfurt Tuduh Bayern Munich Tidak Profesional Berhubung Kovac

Bayern Munich akhirnya mengumumkan Niko Kavac sebegao pengurus mereka pada musim hadapan semalam. Namun demikian, pengumuman tersebut mendapat reaksi negatif daripada bekas majikan pengendali berasal dari Croatia itu, Eintracht Frankfurt.

Kovac yang merupakan bekas pemain tengah antarabangsa Croatia pernah beraksi untuk gergasi bola sepak Jerman itu di antara 2001 sehingga 2003.

B (Photo by TF-Images/Getty Images)

Di dalam tempoh itu, Kovac menjuarai kejohanan Piala Dunia Kelab pada 2001, dan kejuaraan Bundesliga, termasuk gelaran berganda domestik pada 2003 bersama Bayern Munich.

Bayern turut mengesahkan bahawa Kovac akan mengambil alih sepenuhnya pada Julai akan datang, setelah pengendali sementara Jupp Heynckes kembali ke alam persaraan selepas tamat saingan pada musim ini.

Pengarah Sukan Bayern, Hasan Salihamidzic turut mengesahkan Kovac akan menandatangani kontrak selama tiga tahun, setelah laporan media di Jerman berkata Bayern terpaksa menebus klausa kontrak bernilai €2.2 juta kepada Frankfurt untuk pengendali berusia 46 tahun itu.

(Photo by Martin Rose/Bongarts/Getty Images)

Namun demikian pengumuman rasmi mengenai Kovac akan ke Allianz Arena tiba sehari lebih awal daripada dirancang, dan ini menyebabkan Pengarah Sukan Eintracht, Fredi Bobic (gambar bawah) menganggap pengurusan Bayern Munich sebagai tidak profesional.

“Pertamanya, keputusan oleh Kovac sendiri sudah mengejutkan kami mengambil kira saingan berada di penghujung musim, dan bakal berhadapan dengan beberapa perlawanan penting. Masanya adalah sangat tidak sesuai.”

“Kemudian khabar angin mulai disebarkan kepada media, dan ia sudah tentu bukan daripada kem Frankfurt. Itu adalah perbuatan yang menjelekkan, tidak profesional, serta tidak menghormati kami,” ulas Bobic mengenai perpindahan Kovac.

(Photo by TF-Images/Getty Images)

Berbaki lima perlawanan Bundesliga pada musim ini, Frankfurt berada di tangga kelima di belakang Bayer Leverkusen yang akan mereka hadapi pada hujung minggu ini.

Kedua-dua pasukan dipisahkan hanya dengan 2 mata, dengan slot ke pertandingan UEFA Champions League (UCL) pada musim hadapan menjadi pertaruhan.

Eintracht Frankfurt turut masih berada di saingan Piala Jerman, dan akan berkunjung ke Schalke untuk perlawanan peringkat separuh akhir. Frankfurt turut berhadapan dengan prospek bertemu Bayern Munich di perlawanan akhir, jika kedua-dua pasukan mampu meneruskan kemaraan.

Bobic turut berkata: “Kedua-dua kelab tidak berhubung dan duduk berbincang. Tiba-tiba semuanya dihebahkan kepada umum secara terperinci. Ini adalah perkara yang saya tidak pernah lalui sepanjang berada di Bundesliga.”

“Benar, kontrak Kovac mempunyai klausa pelepasan jika terdapat kelab besar Eropah datang untuk mendapatkan khidmatnya. Ia amat pelik apabila maklumat di dalam klausa itu diumumkan bukan oleh kami, tetapi oleh kelab lain dari bandar yang lain.”

Kovac turut menjelaskan beliau hanya ditawarkan jawatan tersebut oleh Bayern pada Khamis lalu, dan terus mengambil keputusan untuk menerimanya.

Kovac berkata: “Ianya tidak mempunyai kaitan dengan Fredi atau saya sehingga perkara ini diumumkan kepada ramai seperti ini.”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram