9 Perlawanan Dalam Tempoh Sebulan, Kedah Hadapi Dengan Semangat Pahlawan

Kedah Liga Super

Kedah telah mencatat empat kemenangan berturut-turut dari lima perlawanan terakhir mereka hanya dalam tempoh 16 hari. Ia membuktikan kualiti yang dimiliki oleh skuad kendalian Aidil Sharin Sahak dalam menghadapi baki saingan Liga Super musim ini.

Skuad dari utara tanah air itu terpaksa berdepan dengan jadual padat akibat dari kes positif melibatkan pemain dan memerlukan pasukan itu dikuarantin selama dua minggu seperti yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketika semua pasukan sudah pun kembali beraksi pada 24 Julai selepas tempoh rehat antarabangsa, Kedah pula hanya dapat memulakan aksi mereka pada 13 Ogos dengan mencatat kekalahan 4-2 kepada Selangor.

Namun skuad Hijau Kuning menunjukkan semangat pahlawan untuk meraih kemenangan ke atas Penang (4-1), Terengganu (2-1) dan PJ City (4-1) dan terbaharu Perak (1-0) di Stadium Darulaman pada Sabtu Lalu bagi memanjat kedudukan kedua liga memintas Terengganu.

Tandukan penyerang import Liberia, Kpah Sherman pada minit ke-20 meletakkan Kedah semakin selesa untuk menggenggam status selaku naib juara Liga Super dan mendapat slot ke saingan Piala AFC pada musim hadapan.

“Kredit seharusnya diberikan kepada pemain yang bekerja keras, sangat bekerja keras kerana bermain lima perlawanan dalam masa yang singkat ini tidak mudah,” ujar Aidil kepada The Star.

Kami baru sahaja kembali dari kunjungan ke tempat lawan menentang PJ City (pada Rabu malam). Pasukan ini hanya sempat berehat satu hari sahaja dan kami tidak sempat pun menjalani latihan.

“Mesikan berasa letih, pemain-pemain ini memberikan segalanya untuk memastikan pasukan mendapat tiga mata.”

Kini Kedah perlu bersedia untuk aksi menentang Pahang pula di Kuantan pada Rabu ini, diikuti oleh kunjungan ke Kuala Lumpur tiga hari kemudian dan kemudian menjadi tuan rumah kepada UiTM pada Rabu berikutnya.

Perlawanan terakhir adalah menentang Melaka United pada 12 September di halaman sendiri menjadikan ia sembilan perlawanan dalam tempoh 32 hari.

Bagaimanapun Aidil tidak mahu menjadikan ia alasan untuk tidak mencatat keputusan positif.

“Sebagai profesional, kami tidak harus menjadikannya [jadual padat] sebagai alasan. Apa yang kami perlu lakukan adalah memastikan keadaan pemain berada dalam keadaan baik dan hadapi cabaran ini sebaik mungkin.

“Pasukan ini harus tampil dengan proses pemulihan yang baik bagi membantu pemain-pemain kembali lebih segar untuk perlawanan seterusnya. Kami juga perlu melihat semula carta skuad ini dan lakukan perubahan jika perlu untuk memastikan pemain yang diturunkan dalam keadaan baik dan cergas.”

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply