8 Perkara Dari Kejuaraan Liga Super Malaysia Ke-8 Beturut-turut Milik JDT

Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan awal untuk terus merekodkan sejarah muncul juara Liga Super Malaysia (MSL) buat kali kelapan berturut-turut selepas menumpaskan Sri Pahang FC dengan jaringan 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada malam tadi.

Kemenangan selesa skuad kendalian Benjamin Mora itu diperoleh hasil sumbangan penyerang sensasi mereka, Bergson da Silva yang mencatat hatrik pada separuh masa pertama.

Berikut adalah lapan perkara yang dilalui oleh JDT pada musim ini untuk merangkul kejuaraan MSL kelapan berturut-turut.

Dominasi lapan musim

JDT menjadi pasukan pertama dalam sejarah Liga Malaysia menjuarai Liga Super sebanyak 8 musim secara berturut-turut. Ia adalah dominasi yang mereka mulakan sejak 2014. Kutipan mata tertinggi mereka dalam tempoh tersebut adalah 59 mata yang dilakukan pada 2018.

Berbaki dua perlawanan pada musim ini, JDT masih boleh menamatkan saingan liga dengan 57 mata. Ia masih lagi kutipan mata yang baik sekaligus menampilkan dominasi JDT di dalam saingan Liga Super.

Setakat ini sukar untuk membayangkan mana-mana pasukan lain dalam kancah saingan Liga Malaysia mampu mengugat deretan kejuaraan liga milik Harimau Selatan.

Sekiranya ada sekali pun suatu hari nanti, ia seperti mustahil untuk mengulangi pencapaian sehebat ini.

Musim penuh pertama di Stadium Sultan Ibrahim

Pertama kali JDT bergelar juara Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim ialah pada musim lalu apabila menewaskan Sabah  4-1 .

Namun kejayaan pada musim ini lebih bererti kerana saingan Liga Super Malaysia 2021 bakal dilalui secara penuh dan tidak seperti pada musim lalu hanya berlangsung separuh musim sahaja.

Perlawanan terakhir liga pada musim ialah pada 12 September akan datang menentang Kuala Lumpur City FC. Seperti kebiasaan, perarakan trofi dan permainan bunga api adalah antara yang paling dinantikan oleh penyokong setia JDT.

10 perlawanan yang dilalui pada musim ini di Stadium Sultan Ibrahim, JDT merekodkan 8 kemenangan 1 seri (menentang Selangor) dan 1 tewas (menentang Terenggganu).

Ia bukan rekod yang JDT mahukan, tetapi masih lagi rekod terbaik untuk aksi di tempat sendiri oleh pasukan di Liga Super pada musim ini.

Rekod jaringan Bergson

Penyerang import dari Brazil, Bergson, telah memecah rekod selaku penjaring terbanyak pasukan sejak tertubuhnya JDT pada 2013, memintas rekod Jorge Pareyra Diaz yang dicipta pada musim 2016. Diaz meledak 18 gol untuk JDT merangkul kejuaraan liga pada musim tersebut.

Hatrik menentang Sri Pahang FC pada malam tadi pula menjadikan Bergson setara Marlon Alex James dan Mohammed Gaddar yang menjaringkan 23 gol dalam tempoh semusim.

Berbaki dua lagi perlawanan, Bergson kini berpeluang untuk menjadikan rekod penjaring terbanyak dalam tempoh semusim menjadi miliknya. Beliau juga bersaing dengan Ifedayo Olusegun (22 gol setakat ini) untuk anugerah kasut emas.

Kasut emas atau tidak ia sudah pun satu pencapaian yang cemerlang buat Bergson mengambil kira ini adalah musim pertama pemain itu beraksi di negara ini. Apatah lagi kerana ia berakhir dengan kejuaraan liga.

Penjaring terbanyak pemain tempatan

Setakat ini JDT telah menjaringkan 47 gol dari 20 perlawaan yang dilalui. Ini bermakna skuad kendalian Benjamin Mora telah menjaringkan purata 2.35 gol untuk setiap 90 minit perlawanan pada musim ini.

Apa yang menjadikan statistik ini lebih menarik ialah kerana JDT tidak hanya berharap kepada tenaga pemain import untuk menghadirkan jaringan untuk pasukan.

JDT menjadi pasukan yang paling ramai mencetak gol dari kalangan pemain tempatan pada musim ini, apabila lapan pemain telah mencetak sekurang-kurangnya 1 gol.

Mohamadao Sumareh dan Safawi Rasid muncul dua pemain tempatan dengan jaringan terbanyak, apabila masing-masing telah menghasilkan tiga jaringan setakat ini berdasarkan kemaskini terbaru.

Arif Aiman permata baharu Harimau Selatan

Walaupun dibarisi deretan pemain bintang dan berstatus pemain kebangsaan, ia bukan alasan untuk pemain muda seperti Arif Aiman untuk menampilkan bakat dan menyerlah bersama JDT.

Malah pemain muda berusia 19 tahun itu dianggap sebagai antara pemain paling konsisten di kalangan anggota skuad JDT pada musim ini.

Memainkan peranan penting selepas Safawi Rasid mengalami kecederaan, Arif terus mendapat kepercayaan Benjamin Mora untuk mengisi posisi sayap kiri.

Mampu beraksi di kedua-dua posisi sayap adalah kelebihan buat Arif. Namun prestasi matang yang ditampilkan pemain seusia Arif juga adalah satu pencapaian yang membanggakan.

Pertahanan luar biasa JDT

Selain tajam di bahagian serangan, JDT juga menampilkan rekod menakjubkan di bahagian pertahanan. Selepas 20 perlawanan yang dilalui, skuad kendalian Benjamin Mora hanya dibolosi lapan kali.

Secara purata, JDT hanya dibolosi 0.4 gol. Rekod pertahanan JDT di saingan MSL pada musim ini adalah antara yang terbaik berbanding pada musim-musim sebelumnya.

Pada 2019 misalnya, JDT dibolosi 19 kali walaupun unggul bergelar juara. Pada musim 2018, yang merupakan antara tempoh terbaik JDT di saingan domestik, skuad Harimau Selatan dibolosi hanya 9 kali.

Ini bermakna JDT turut akan memecah rekod pertahanan terbaik di dalam sejarah mereka sekiranya berjaya mengelak dari dibolosi dalam dua perlawanan berikutnya.

Benjamin Mora underated

Mora adalah antara jurulatih yang tidak begitu dihargai oleh sebahagian penyokong JDT. Bagi kami pula, pengendali dari Mexico itu adalah jurulatih yang paling underated  di Liga Malaysia, walaupun tidak putus-putus membawa kejayaan kepada pasukan.

Sejak dilantik, segelintir peminat JDT begitu mudah mengkritik Mora. Antara alasan diberi ialah kerana mereka tidak gemar dengan corak taktikal Mora serta team selection beliau.

Sebenarnya tidak mudah untuk mengurus sebuah pasukan yang memiliki skuad yang besar dan bersaing secara kompetitif di setiap pertandingan yang disertai.

Untuk memastikan suasana di dalam kem dan bilik persalinan sentiasa berada di dalam keadaan terkawal sudah menjadi satu cabaran. Memastikan pemain sedia ada berpuas hati dengan minit perlawanan yang diberi juga satu cabaran lain.

Mora berjaya melakukannya dengan baik sekali, dan memastikan pemain yang diturunkan mampu membantu pasukan beraksi secara konsisten  perlawanan demi perlawanan.

Semua ini membuktikan Mora adalah seorang jurulatih yang sangat terperinci di dalam persiapannya.

Cita-cita TMJ

JDT tidak akan berada pada tempat mereka pada hari ini tanpa individu yang dianggap susuk terpenting revolusi bola sepak Johor iaitu DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ).

Tanpa visi dan misi beliau, JDT tidak akan mengecapi kejayaan luar biasa sebegini. TMJ bukan sahaja memastikan JDT terus mencipta kejayaan di dalam padang. Malah jenama JDT itu sendiri pada hari ini tidak putus-putus memancing jenama antarabangsa untuk melakukan bekerjasama – sekaligus menaikkan nilai komersil JDT.

Ia memang mudah untuk mengumpul sebuah pasukan, kemudian setakat merangkul trofi. Namun untuk membina sebuah kelab bola sepak profesional, ia jauh dari sekadar menghimpunkan 11 pemain.

Apa yang TMJ bina di JDT adalah sebuah empayar. Ia memerlukan kerja keras dan komitmen selain menagih pengorbanan setiap anggota yang baginda gelar ‘keluarga JDT’.

Apa pun spekulasi anda baca di akhbar atau media digital pada hari ini, tiada perkara yang boleh menafikan TMJ telah membina sebuah kelab bola sepak yang membawa nilai profesional sebenar seperti di JDT pada hari ini.

Penutup

Tahniah dan syabas kepada semua pemain dan dan barisan kejurulatihan JDT musim 2021.

Semoga lebih banyak kejuaraan mampu dicapai selepas ini terutama di peringkat pertandingan lebih tinggi seperti di AFC Champions League.

 

 

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply