8 Pemain Bintang Newcastle United Boleh Borong Secara Percuma Musim Panas Akan Datang

Newcastle United kini ibarat ‘lombong emas’ setelah pengambilalihan oleh konsortium Arab Saudi dilengkapkan pada minggu ini.

Dianggap sebagai kelab terkaya dunia, jendela perpindahan yang akan datang pasti akan membuatkan kelab itu menjadi tumpuan.

Walaupun memiliki segala kekayaan di dunia, tidak semestinya ia bermakna Newcastle United harus berbelanja untuk mendapatkan barisan pemain bintang dunia ke St. Jame’s Park mulai jendela perpindahan musim panas akan datang.

Berikut adalah lapan pemain bintang yang Newcastle United boleh datangkan secara percuma pada musim panas akan datang sekiranya mereka ingin berbuat demikian.

Andreas Christensen (Chelsea)

Christensen
. (Photo by Chris Brunskill/Fantasista/Getty Images)

Andreas Christensen sudah pun membantu The Blues muncul juara eropah pada musim lalu. Prestasi cemerlang Christensen diikuti oleh penampilan meyakinkan di Euro 2020 – termasuk jaringan roket dalam kemenangan menentang Rusia.

Tetapi kontrak bek tengah ini di Stamford Bridge kini berada di tahun terakhir. Walaupun Chelsea berulang kali berkata akan menyambung kontrak pemain pertahanan tengah Denmark itu, perkara itu tetap tidak direalisasikan sehingga ke hari ini.

Newcastle boleh sahaja mendapatkan pemain itu secara percuma pada musim panas akan datang sekiranya keadaan terkini berterusan. Merupakan seorang ball-playing defender, Christensen boleh digandingkan bersama Jamaal Lascelles untuk memperkuatkan benteng pertahanan The Magpies.

Dani Carvajal (Real Madrid)

(Photo by Sportinfoto/DeFodi Images via Getty Images)

Carvajal terpaksa melupakan keseluruhan musim 2020/21 akibat kecederaan, dan kini kontrak beliau di Real Madrid memasuki tahun terakhir. Sehingga kini tiada perkhabaran dari Real Madrid akan memperbaharui kontrak pemain itu.

Selepas turut terpaksa melupakan Euro 2020 bersama Sepanyol, Carvajal kini terpaksa mendapatkan kembali kecergasan dan kembali lamanya untuk bersaing mendapatkan tempat di dalam kesebelasan utama Carlo Ancelotti.

Jika tidak, penghijrahan mungkin satu lagi idea yang harus dipertimbangkan. Newcastle United dan Premier League mungkin boleh menjadi platform untuk Carvajal membuktikan kemampuan sebenarnya.

Masih dianggap sebagai salah seorang bek kanan terbaik di Eropah, Carvajal adalah pemain yang memiliki kualiti jauh lebih baik dari rakan senegaranya, Javier Mainquillo Guitan untuk posisi sama di Newcastle United.

Pedri (Barcelona)

Pedri Barcelona
(Photo by Pressinphoto/Icon Sport via Getty Images)

Pedri sudah pun dianggap sebagai salah seorang pemain tengah muda terbaik dunia. Produk La Masia ini cukup instrumental membawa cabaran Sepanyol di Euro 2020, sebelum membantu negaranya memenangi pingat emas Sukan Olimpik di Tokyo pada musim panas lalu.

Pedri sememangnya bakat yang dipandang tinggi di Barcelona. Namun situasi kewangan di gergasi Catalan itu berkemungkinan besar akan membuatkan mereka mengigit jari kerana gagal menawarkan kontrak baharu kepada Pedri – yang akan tamat pada musim panas 2022.

Di sebalik usianya yang masih muda, Pedri sudah pun membuktikan potensi dirinya dan menarik perhatian ramai dengan corak permainan yang matang.

Idea bermain di luar Sepanyol terutama ke Premier League mungkin satu lagi idea untuk beliau menguji kemampuan dirinya.

Ousmane Dembele (Barcelona)

(Photo by Urbanandsport/NurPhoto via Getty Images)

Ousmane Dembele membuktikan dirinya mampu memberikan masalah kepada mana-mana pemain pertahanan lawan sekiranya cergas sepernuhnya.

Kekuatan utama Dembele ialah kemampuan beliau untuk menggunakan kedua-dua belah kakinya. Beliau sudah pun mulai dikaitkan dengan beberapa kelab di jendela perpindahan yang lalu.

Selama empat musim di Nou Camp, karier Dembele juga tidak pernah lari dari kontroversi, terutama oleh gaya hidup yang dipercayai punca utama menjurus kepada kecederaan yang dialaminya.

Kini berada di tahun terakhir kontrak, penghijrahan boleh menjadi permulaan baharu buat pemain Perancis itu setelah beliau mulai mendapat kepercayaan Ronald Koeman, beraksi dalam 30 perlawanan pada musim lalu, sebelum kembali cedera pada permulaan musim.

Paul Pogba (Manchester United)

Paul Pogba
(Photo by Michael Regan/Getty Images)

Pemain tengah Manchester United ini tidak pernah putus dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Old Trafford. Beliau menampilkan prestasi baik di Euro 2020 walaupun Perancis tersingkir awal, dan kini merupakan penyumbang assist terbanyak di Premier League.

Kontrak Pogba bersama Red Devils akan tamat pada musim panas 2022. Juventus dan Real Madrid dikatakan antara kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat Pogba sebelum ini.

Tetapi kita semua kenal sikap ejen pemain tersebut yang pasti akan menawarkan Pogba kepada pihak yang mampu memberikan tawaran paling tinggi. Dari segi kekuatan kewangan, Newcastle United sudah pasti bukan tandingan buat Real Madrid atau pun Juventus.

Sukar untuk tidak membayangkan Mino Raiola tidak menawarkan Pogba kepada pengurusan Newcastle United pada musim panas akan datang. Beliau mungkin sudah pun berbuat demikian sebaik sahaja pengambilalihan oleh konsortium Arab Saudi selesai tempoh hari.

Paulo Dybala (Juventus)

Paulo Dybala
(Photo by Michael Regan/Getty Images)

Nilai Paulo Dybala sedikit merudum selepas ketibaan Cristiano Ronaldo beberapa musim lalu. Sejak pemain itu berhijrah kembali ke Old Trafford, Dybala kini kembali menjadi watak utama kelab Turin itu di bawah kendalian Massimiliano Allegri.

Masalahnya kini ialah kontrak Dybala memasukit tahun terakhir dan akan tamat pada Jun tahun hadapan. Rundingan demi rundingan telah dilakukan oleh Juventus untuk menyambung kontrak bintang Argentina tersebut, namun sehingga kini semuanya menemui kegagalan.

Selepas enam musim bersama Juventus dan meraih pelbagai kejuaraan sepanjang tempoh tersebut, Dybala mungkin berpendapat kini tiba masanya untuk mencari angin baharu.

Jika tawaran dari Newcastle tiba, maka St. Jame’s Park boleh menjadi rumah baharu untuk Dybala. Beliau mungkin cepat menyesuaikan diri kerana jersi hitam putih Newcastle tidak banyak beza dengan jersi Juventus.

Mohamed Salah (Liverpool)

Jose Holebas
(Photo by Andrew Powell/Liverpool FC via Getty Images)

Kita semua boleh jangkakan apakah reaksi penyokong Liverpool sekiranya Mohamed Salah memilih untuk meninggalkan Anfield secara percuma, dan berhijrah ke Newcastle United pada musim panas akan datang.

Salah adalah ikon dan legenda Liverpool. Tetapi siapa pun pemain itu, masing-masing tetap mempunyai harga yang membolehkan mereka berpaling tadah.

Sehingga kini kem Salah dan Liverpool masih lagi tawar menawar untuk sambungan kontrak yang asalnya akan tamat pada musim panas 2022.

Bintang dari Mesir itu dilaporkan mahukan bayaran £500,000 seminggu untuk menjadikan beliau pemain dengan bayaran terahal di Premier League.

Berdasarkan prestasi semasa, Salah sememangnya layak dibayar sedemikian.£400,000 mungkin angka yang lebih logik. Tetapi Liverpool sudah pasti mahu merendahkan lagi tawaran mereka sehingga menyebabkan rundingan kini berlanjutan.

Di Newcastle United, angka yang diminta oleh Mohamed Salah itu tidak akan menjadi masalah.

Kylian Mbappe (Paris Saint-Germain)

Kylian Mbappe
(Photo by David Rogers/Getty Images)

Nama Kylian Mbappe pasti menjadi antara nama pertama menjadi sebutan dan idaman setiap penyokong The Magpies sebaik sahaja pengambilalihan Newcastle United diluluskan oleh pihak Premier League.

Setelah gagal melengkapkan perpindahan ke Real Madrid pada musim panas lalu, penyerang Perancis itu kini dipercayai menilai kembali pilihan yang beliau ada.

Di sebalik usianya yang masih muda, Mbappe sudah berjaya meletakkan diri dalam kumpulan pemain berstatus elit.

Jika menyertai Newcastle, Mbappe boleh menjadi bintang utama Magpies dan mencapai status legenda tersendiri seperti Alan Shearer jika kekal lama di kelab tersebut.

Rumusan

Siapakah lagi pemain-pemain yang boleh didatangkan secara percuma oleh Newcastle United selepas ini?

Satu perkara yang pasti, pengabilalihan kelab tersebut sudah tentu akan mengubah landskap jendela perpindahan pemain.

Mampukah kelab-kelab utama di Eropah bersaing dengan Newcastle United selepas ini?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN