7 Perkara Perlu Anda Tahu Mengenai Dion Cools Setelah Sah Bergelar Pemain Harimau Malaya

Dion Cools sah akan menyarung jersi skuad Harimau Malaya setelah diumumkan sebagai pemain ke-26 yang menyertai kem pasukan kebangsaan di Dubai pada hari ini.

Pengesahan pemain pertahanan FC Midtjylands itu menyertai pasukan kendalian Tan Cheng Hoe disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui satu pengumuman pada hari ini.

Berikut adalah beberapa fakta dan perkara menarik mengenai pemain kelahiran Belgium-Malaysia ini selepas sah bergelar pemain Harimau Malaya.

Ketibaan Cools sudah lama dirancang

Satu perkara penyokong bola sepak negara perlu tahu ialah Dion Cools sebenarnya sudah lama berada di dalam radar Harimau Malaya dan berada di bawah pemerhatian Tan Cheng Hoe sejak beberapa tahun lalu.

Seperti Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula, proses untuk membenarkan Dion Cools beraksi bersama pasukan negara turut mengambil masa kerana hal dokumentasi. Perkara itu disahkan sendiri oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin bin Mohd Amin dalam kenyataan pada hari ini.

“Alhamdulillah, pemain berdarah campuran Malaysia-Belgium, Dion Cools telah bersama pasukan di Dubai, UAE, hari ini dan secara rasmi sah diumum sebagai pemain ke-26 dalam skuad Harimau Malaya. Ini berikutan selepas segala proses dokumentasi di peringkat FIFA dan AFC, terutamanya berhubung status kelayakannya, pendaftaran dan lain-lain telah selesai,” ujar Hamidin.
Beberapa pihak turut mempersoalkan mengapa Dion Cools hanya tiba menyertai kem latihan skuad negara pada saat akhir. Beliau bagaimanapun hanya dapat menyertai pasukan negara kerana komitmen beliau bersama FC Midtjylands.
Tidak seperti pemain lain yang rata-rata beraksi di Liga Malaysia yang ditangguhkan khusus untuk memberikan laluan kepada pasukan kebangsaan, musim Danish Superliga berakhir beberapa hari lalu.

Tiada masalah sesuaikan diri

Satu perkara yang menjadi pertanyaan ialah adakah pemain ini mampu menyesuaikan diri dengan pemain sedia ada di dalam kem negara?

Dion Cools dijangka tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu di dalam kem negara. Apatah lagi skuad negara pada hari ini turut memiliki beberapa pemain kacukan seperti Brendan Gan, Junior Edstal, Matthew Davies, Sams Somersville dan juga Corbin Ong.

Fasih berbahasa Inggeris juga Dion Cools tidak akan menghadapi masalah komunikasi. Merupakan seorang yang peramah, Dion Cools pernah menyatakan kesediaan beliau untuk membantu penyerang skuad B-19 tahun negara, Luqman Hakim untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran apabila beraksi di Belgium

Budaya dan kehidupan rakyat Malaysia juga bukan perkara asing bagi Dion Cools setelah beberapa kali melawat keluarganya di Kuching sebelum ini. Semua ini memudahkan Dion Cools untuk mendapatkan chemistry diperlukan dalam masa singkat. Dion Cools bukan sahaja menjadi senjata Tan Cheng Hoe di pusingan kelayakan ini, tetapi juga aset masa depan bola sepak negara.

Pengalaman aksi peringkat tertinggi

Sudah tentu antara sebab Tan Cheng Hoe memanggil Dion Cools untuk menyertai skuad negara ialah kerana pengalaman pemain ini beraksi di pertingkat tertinggi di eropah.

Musim ini Dion Cools telah tampil dalam 21 perlawanan liga untuk naib juara Superliga Denmark, FC Midtjyland. Malah pada awal musim ini, Cools juga beraksi menentang Liverpool di pertandingan UEFA Champions League pada musim ini. Beliau beraksi dengan baik mengekang rangkaian serangan Liverpool yang terdiri daripada pemain bintang dunia seperti Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Diogo Jota dalam perlawanan tersebut.

Selain daripada mewakili kelab di pentas Eropah, Cools juga pernah beraksi untuk Belgium di setiap peringkat umur pertandingan antarabangsa.

Namun sehingga kini, pada usia 23 tahun, beliau belum lagi pernah mendapat panggilan daripada Roberto Martinez bersama skuad kebangsaan Belgium, yang membenarkan beliau beraksi untuk Malaysia.

Versatiliti milik Dion Cools

Daripada senarai 25 pemain yang telah dipanggil oleh Tan Cheng Hoe, skuad negara kini sudah memiliki Matthew Davies dan Rizal Ghazali di posisi bek kanan. Di sebelah kiri, Syahmi Safari dilihat sebagai cover-up kepada Corbin Ong.

Dion Cools semenangnya dikenali sebagai pemain bek kanan. Tetapi beliau juga mampu beraksi di sebelah kiri bek sayap sekiranya keadaan memerlukan. Versatili yang dimiliki Dion Cools akan memberikan Tan Cheng Hoe lebih banyak pelihan di dalam taktikalnya.

Selain daripada untuk memperkuatkan benteng pertahanan, pemain yang memiliki ketinggian 1.84 cm ini juga boleh menjadi outlet serangan dari bawah untuk pasukan Harimau Malaya dari kedua-dua belah sayap.

Malah Dion Cools juga dikatakan berkemampuan beraksi di bahagian tengah sebagai pemain sayap kanan.

Jiwa Harimau Malaya

Dion Johan Cools adalah nama sebenarnya. Beliau dilahirkan di Kuching, Sarawak dan berdarah kacukan Belgium-Malaysia.

Tidak menyembunyikan keingannya kembali ke Malaysia pada suatu hari nanti, Dion Cools sebenarnya memiliki jiwa Harimau Malaya. Melalui perkongsian beliau di Instagram Story sebelum ini, Cools pernah berkongsi gambarnya memperagakan jersi pasukan negara serba hitam bersama caption: “Sejauh manakah anda mahukan ini?”

“Sudah tentu saya berminat. Sehingga kini, saya belum terima tawaran rasmi sebenarnya. Jadi, saya tidak perlu membuat sebarang keputusan setakat ini. Sudah tentu saya akan mempertimbangkan untuk mewakili Malaysia,” ujar beliau dalam satu temu ramah bersama wartawan Astro Arena, Edleen Ismail pada tahun lalu.

“Sebabnya, saya berbangga memiliki separuh darah Malaysia dan separuh darah Belgium. Sangat mengujakan menerima sokongan daripada rakyat Malaysia yang selalu memberikan komen dan mesej kepada saya untuk mewakili Malaysia.

Berkorban apa sahaja

Bukan sahaja Dion Cools terpaksa mengorbankan peluang untuk beraksi bersama Belgium setelah memilih untuk menyertai Harimau Malaya. Beliau juga terpaksa meninggalkan keluarga termasuk psangannya dan bayi yang baru dilahirkan demi pasukan negara.

Berdasarkan perkongsian di Instagram, pasangan Dion Cools, Melissa Schelfhout baru sahaja melahirkan seorang bayi lelaki pada 6 Mei lalu. Bayi tersebut diberikan nama Liam-Zayn Cools.

Dalam beberapa perkongsian di IG Story pemain itu pula, Cools sempat bersama anaknya itu selama beberapa hari sahaja berikutan komitmen bersama kelab di Denmark, sebelum terus terbang ke UAE untuk menyertai pasukan negara.

Misi sukar Harimau Malaya

Seperti semua sedia maklum, penarikan diri Korea Utara dari pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pasti akan menjejaskan peluang pasukan negara untuk mara ke pusingan seterusnya.

Berbaki tiga perlawanan menentang tiga lawan sukar seperti UAE, Vietnam, dan Thailand skuad kendalian Tan Cheng Hoe perlu mendapatkan keputusan positif untuk memungkinkan kemaraan ke Piala Asia 2023 di China secara automatik, selain untuk melangkah ke pusingan ketiga Piala Dunia.

Untuk berbuat demikian, Tan Cheng Hoe memerlukan lebih dari elemen nasib untuk berbuat demikian. Antara kejutan yang boleh ditampilkan ialah dengan adanya pemain seperti Dion Cools yang tidak dijangka oleh ketiga-tiga lawan pasukan negara nanti.

Bekemungkinan besar asing dengan corak permainan Dion Cools, siapa tahu pemain ini mampu menjadi aset utama pasukan negara untuk memangkin kemaraan ke peringkat seterusnya.

Penutup

Apa-apa pun sudah tentu kita mengharapkan Dion Cools mampu memberi kelebihan kepada pasukan negara dalam menghadapi baki perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula 3 Jun hadapan.

Buat Dion Cools dan semua skuad Harimau Malaya, berjuanglah habisa-habisan dan selamat maju jaya!

 

 

Baca artikel menarik lain mengenai Harimau Malaya:

5 Sebab Harimau Malaya Harus Optimis Mampu Raih Keputusan Positif

Analisis: 5 Isu Dihadapi Harimau Malaya Perlu Diselesaikan Segera Oleh Tan Cheng Hoe

Liridon Krasniqi Jumpa Ronaldinho Minta Tips Sebelum Sertai Skuad Harimau Malaya?

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

One Comment

Leave a Reply