7 Pemain Yang Terjerat Badi Sumpahan Kecederaan Selepas Sertai Real Madrid

Real Madrid adalah salah sebuah gergasi bola sepak eropah, terkenal dengan deretan nama pemain bintang dan kejayaan di pelbagai peringkat. Sudah perkara biasa bagi mana-mana pemain, Real Madrid ibarat sebuah kelab impian untuk disertai.

Namun tidak semua pemain bintang tersebut mengecapi karier yang mereka harapkan selepas menyertai Real Madrid. Ada di antara mereka ibarat ditimpa badi apabila kecederaan untuk tempoh yang lama menimpa mereka.

Lebih malang, kecederaan tersebut telah memusnahkan karier mereka. Berikut adalah senarai tujuh bekas pemain dan pemain pada hari ini yang menerima nasib sebegitu.

1. Eden Hazard

Tidak ada siapa yang meragui keputusan Eden Hazard untuk menyertai Real Madrid walaupun tiba di Estadio Santiago Bernabeu pada tanda harga €100 juta. Namun demikian kecederaan demi kecederaan telah menghantui karier pemain itu sejak tiba di Real Madrid dari Chelsea.

Secara keseluruhan Hazard telah mengalami sembilan kecederaan utama sejak menyarung jersi Los Blancos dan perkara itu sedikit sebanyak telah menganggu moral dan keyakinan pemain antarabangsa Belgium itu.

Deretan kecederaan dan tahap kecergasan pemain itu sering menjadi tanda tanya. Turut dikaitkan ialah disiplin pemakanan dan diet oleh Hazard.

Pengurus pasukan, Zinedine Zidane bagaimana pun sentiasa vokal akan kekaguman beliau terhadap potensi Hazard dan sentiasa percaya pemain itu mampu menampilkan kemampuan sebenar beliau sekiranya pulih sepenuhnya.

2. Robert Prosinecki

Robert Prosinecki dianggap sebagai salah seorang bakat besar dan permata bola sepak Eropah pada awal 1990an. Real Madrid mengambil keputusan untuk menandatangani pemain antarabangsa Croatia itu pada 1991 selepas beliau menyinar bersana Red Star Belgrade di pertandingan Piala Eropah.

Namun semuanya menjadi malapetaka apabila Prosinecki mengalami lima kecederaan utama di dalam tempoh sembilan bulan pertamanya bersama Los Blancos. Semua kecederaan tersebut melibatkan kecederaan otot.

Rawatan susulan mendapati kecederaan yang dialami oleh Prosinecki sebenarnya berlaku sebelum beliau berhijrah ke Santiago Bernabeu dan berkait rapat dengan radang gusi, pyorrhea yang dialaminya. Jangkitan gusi tersebut bagaimanapun berjaya diatasi.

Namun demikian beberapa kecederaan susulan bersama Real Madrid selepas itu membuatkan pemain tersebut seperti hilang keyakinan. Masa depan beliau dengan Real Madrid akhirnya berakhir begitu sahaja.

3. Jonathan Woodgate

Woodgate tiba dari Newcastle United pada 2004 dan sememangnya sudah memiliki kecederaan yang membuatkan debut beliau bersama Real Madrid tertangguh berbulan lamanya.

Selepas diumumkan sebagai pemain Los Blancos pada 2004, Woodgate terpaksa menunggu sehingga 22 September 2005 untuk penampilan pertamanya bersama kelab baharunya itu.

Woodgate hanya beraksi selama 66 minit untuk Real menentang Athletic Club pada debutnya sebelum sekali lagi mengalami kecederaan otot. Sepanjang dua musim di Sepanyol, Woodgate hanya beraksi dalam 14 perlawanan.

4. Arjen Robben

Arjen Robben tiba di Estadio Santiago Bernabeu dari Chelsea, selepas membintangi skuad Jose Mourinho sebelum itu.

Anda boleh sahaja membandingkan apa yang dilalui oleh Robben dengan Hazard. Tetapi pemain antarabangsa Belanda itu sudah pun mempunyai masalah kecederaan walaupun sebelum tiba di Sepanyol.

Kecederaan hanya menjadi semakin teruk di Madrid. Walaupun tidak perlu berehat untuk tempoh yang lama, Robben gagal membina momentum sebelum dibenarkan untuk berhijrah menyertai Bayern Munich.

Ia ibarat lembaran baharu buat Robben di Jerman apabila beliau dianggap sebagai legenda dan salah seorang pemain terbaik pernah dimiliki kelab Bavarian itu.

5. Kaka

Selepas menjadi bintang AC Milan dan menjadi antara calon tetap Ballon d’Or, Kaka akhirnya memeterai perpindahan ke Real Madrid pada musim panas 2009.

Namun karier beliau di Sepanyol tidak seperti yang dirancang. Media tempatan memberi Kaka nama gelaran ‘World Cup’ kerana usaha berterusan dari beliau memastikan diri cergas untuk berada di dalam skuad Piala Dunia 2010 yang berlangsung di Afrika Selatan.

Kaka tidak dianggap mampu menampilkan prestasi lamanya selepas menyertai Real Madrid disebabkan deretan kecederaan yang dialaminya.

Kaka turut gagal meyakinkan Jose Mourinho untuk menurunkan beliau secara kerap. Tetapi di bawah kendalian Mourinho, semua orang tahu baka No.10 tidak akan menjadi.

6. Gareth Bale

Karier Gareth Bale bersama Real Madrid boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama, Bale berjaya menampilkan prestasi meyakinkan dengan momen-momen magis yang menyumbang kepada kejayaan Los Blancos.

Yang kedua pula dihiasi dengan kecederaan sehingga memberikan impak negatif dan menyebabkan beliau terpaksa disisih begitu lama sehingga membuatkan penyokong Real Madrid bosan.

Sepanjang tujuh musim bersama Los Blancos, Bale sudah berehat selama 532 hari disebabkan isu kecederaan. Ia termasuk lapan kecederaan serius, 21 kecederaan otot selain daripada demam.

Hazard pula sudah tersisih selama 350 hari daripada tempoh semusim setengaj bersama Real Madrid, dan memberi indikasi permasalahan lebih serius dari pemain antarabangsa Wales itu. Dua bintang utama dengan isu kecederaan yang tiada penghabisan telah memberi Real Madrid cukup masalah.

7. Juan Lozano

Selain daripada senarai di atas, Real Madrid sebenarnya telah mengalami masalah kecederaan serius pemain sejak 1980 an membabitkan Juan Lozano yang tiba dari Anderlecht.

Beliau adalah rekod pembelian kelab pada ketika itu, didatangkan dengan nilai 200 juta pesetas, atau bersamaan dengan €1.2 juta pada hari ini.

Lozano dilihat sebagai seorang pemain tengah lengkap dengan teknik menarik, tetapi hanya sempat melakukan 24 penampilan. Lozano terlepas 15 perlawanan akibat kecederaan fibula pada 1984, dan beterusan menghadapi masalah kecederaan yang sama walaupun selepas pulih menyebabkan kariernya berakhir.

Lozano dianggap gagal menampilkan potensi sebenarnya di La Liga dan akhirnya kembali ke Anderlechr selepas hanya beraksi 22 perlawanan untuk Los Blancos.

Penutup

Kecederaan membabitkan pemain bintang yang menyertai Real Madrid ibarat mimpi ngeri dan sumpahan.

Rata-rata karier mereka musnah begitu sahaja, kecuali Arjen Robben yang mampu menyerlah selepas menyertai Bayern Munich.

 

 

Baca artikel menarik lain mengenai Real Madrid di sini:

David Alaba: Strategi Serampang Tiga Mata Zidane Untuk Real Madrid

Mengenang Kehebatan ‘No-Look Backheel Assist’ Guti Yang Digelar ‘Heel of God’

11 Pemain Muda Berbakat Real Madrid Yang Hancur Di Tangan Zidane

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply