7 Pemain Import Yang Dijangka Menyinar Di MSL 2019

JDT adalah juara bertahan Liga Super Malaysia (MSL) – dan pasti musim ini turut akan tampil gah untuk mempertahankan kejuaraan. Namun pasukan-pasukan lain seperti Pahang FA, Terengganu FC, dan Perak TBG turut enggan berdiam diri dalam melontarkan cabaran menjelang sepak mula pada bulan hadapan.

Begitu juga Selangor dan Kedah – dua pasukan yang mendapat suntikan semangat di bawah pengurusan dan barisan kejurulatihan serba baru. Ini diikuti oleh PKNS FC dan Melaka United yang turut bercita-cita tinggi dengan barisan pemain berpengalaman. PKNP FC dan Kuala Lumpur FA turut berusaha keras di dalam persiapan – membuktikan mereka selayaknya berada di kalangan pasukan elit negara.

Manakala Felda United mahu membuktikan mereka sewajarnya layak berada di divisyen atasan, dan MIFA yang tampil buat pertama kali di divisyen tertinggi negara juga mahu membuktikan sesuatu kepada pasukan-pasukan besar yang lain.

Lima pemain import dibenarkan bagi setiap pasukan oleh badan penganjur Malaysian Football League (MFL). Berikut adalah tujuh pemain import yang pada pendapat kami mampu mengegar di Liga Malaysia 2019.

Diogo Luis Santo (JDT)

Penyerang berusia 31 tahun kelahiran Sao Paolo, Brazil ini dianggap sebagai perpindahan berprofil tinggi kerana Santo sebelum ini merupakan bekas pemain kelab ternama Thailand iaitu Buriram United.

Turut pernah beraksi di Eropah bersama Olympiakos, Diogo menjaringkan 119 gol daripada 139 penampilan untuk Buriram – sambil turut mencatatkan 33 bantuan gol untuk juara tujuh kali Liga 1 Thailand itu sejak tiga musim yang lalu.

Di JDT, Diogo dijangka akan mengisi posisi penyerang utama pasukan. Ketajaman beliau pasti turut ditagih oleh JDT untuk saingan di Asian Champions League – dan skuad Harimau Selatan pasti mempunyai sebab tersendiri untuk membayar sekitar RM4 juta untuk pemain ini.

(Photo by Thananuwat Srirasant/Getty Images)
Taylor Regan (Selangor FA)

Musim lalu, bahagian pertahanan adalah antara bahagian yang paling bermasalah buat Selangor. Pasukan yang sinonim dengan gelaran The Red Giants itu dibolosi sebanyak 39 kali – sehingga menjadikan perbezaan jaringan kepada -4 selepas tamat musim.

Taylor Regan adalah pemain Liga A di Australia dan mempunyai pengalaman beraksi di negara ini. Pemain pertahanan tengah tersebut beraksi bersama Adelaide United selepas meninggalkan Negeri Sembilan pada 2016.

Mempunyai kekuatan dalam perebutan bola di udara dan bijak membaca permainan – Regan merupakan sandaran untuk mengetuai jentera muda pertahanan Selangor pada musim hadapan menggantikan Wllian Pacheco.

(Photo by Mark Brake/Getty Images)
Anmar Almubaraki (Kedah FA)

Ketika beraksi bersama Persiba Balikpapan di Indonesia, pemain ini merupakan seorang pemain tengah menyerang. Namun selepas dibawa oleh bersama oleh Aidil Sharin pada musim ini, Anmar Almubaraki pada mulanya dijangka akan beraksi di posisi No.10 untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Sandro Mendonca.

Namun dengan kehadiran Jonathan Bauman dan juga Fernando Rodriguez sebagai pilihan awal di bahagian serangan, Almubaraki turut boleh digunakan oleh Aidil sebagai pemain sayap kiri untuk menggantikan Syazwan Zainon.

Kebolehan beliau beraksi di mana-mana bahagian serangan dan tengah adalah aset utama kepada Kedah pada musim akan datang. Ini menjadikan bekas pemain akademi FC Twente ini wajar diberi perhatian.

(Photo by Pakawich Damrongkiattisak/Getty Images)
Sanjar Shakhmedov (Terengganu)

Sanjar Shakhmedov adalah Pemain Terbaik Lokomotiv Tashkent pada musim lalu -juga merupakan juara Uzbekistan selama tiga musim berturut-turut.

Ketibaan Sanjar di Terengganu FC dilihat sebagai pengganti terus kepada Faiz Nasir yang memilih untuk berhijrah menyertai Selangor pada musim ini. Ini juga bermakna Sanjar adalah pilihan utama Irfan Bakti untuk digandingkan bersama seorang lagi tongak import, Lee Tuck di bahagian tengah skuad penyu musim ini.

Seperti juga Faiz, kelebihan utama Sanjar adalah kebolehan menggunakan kaki kiri, dan merupakan pemain perancang yang memiliki kebolehan teknikal yang tinggi. Sedikit kelebihan berbanding Faiz adalah fizikal beliau yang lebih tegap berbanding pemain kelahiran Pasir Mas itu.

Foto: Terengganu FC
Anselmo Casagrande (Melaka United)

Profail Anselmo Casagrande memiliki segalanya yang diperlukan Melaka United. Tiba sebagai pengganti kepada Yahor Zubovich, Casagrande bukan pemain yang asing di saingan Liga Malaysia.

Beraksi bersama Felcra United selama dua musim di saingan 100Plus Liga Premier, pemain kelahiran Brazil ini adalah penjaring utama pasukan Felcra sehingga berjaya menduduki tangga kedua Liga Premier pada musim lalu.

Kelebihan utama pemain ini adalah keupayaan beliau memenangi bola di udara. Maka tidak hairanlah Casagrande menjadi pilihan ketua jurulatih, Zainal Abidin di dalam sistem ‘target man’ Melaka United bagi musim 2019.

Kpah Sherman (PKNS FC)

Pada mulanya Kpah Sherman dikhabarkan akan menyertai Selangor, sebelum diumumkan sebagai pemain PKNS FC. Ketibaan Kpah Sherman adalah sebaai pengganti kepada pemain import dari Brazil, Rafael Ramazotti yang kurang menyegat pada musim lalu.

Jika dibandingkan dengan Ramazotti, Sherman adalah versi target man yang lebih baik kerana lebih gemar untuk terlibat melakukan gerakan, memiliki kelicikan dan juga kepantasan. Pantang diberi peluang berhadapan dengan penjaga gol – Sherman amat berbisa sepertimana yang beliau buktikan ketika mengejutkan JDT 2-1 di pertandingan Piala Malaysia pada musim lalu.

Dikhabarkan tampil dengan bajet sederhana pada musim ini, pilihan PKNS FC untuk membawa masuk seorang pemain yang sudah masak dengan saingan Liga Malaysia seperti Sherman boleh dianggap sebagai pelaburan yang amat berbaloi.

Bekas Penyerang berbisa MIFA, Kpah Sherman beraksi dengan PKNS FC musim depan.
Saddil Ramdani (Pahang)

Lupakan berita sensasi dari seberang mengenai pemain sayap sensasi Indonesia ini – atau pun mengapa beliau digugurkan dari skuad Garuda ke saingan Piala AFF Suzuki 2018 yang lalu.

Saddil Ramdani tiba di Pahang dengan misi membuktikan dirinya sebaris bintang-bintang Indonesia – atau lebih baik – seperti Bambang Pamungkas, Elie Aiboy atau pun Andik Vermansyah.

Salah satu posisi yang sering menjadi masalah bagi Pahang sejak beberapa musim yang lalu adalah di bahagian sayap kiri. Chan Vathanaka, Faisal Halim, Issey Nakajima (dan Nurshahrul Idlan Talaha juga) adalah antara pemain yang telah diuji oleh Dollah Salleh di posisi tersebut selama ini, namun tiada diantara mereka yang tampil meyakinkan dan konsisten.

Bercita-cita tinggi untuk membuktikan kebolehan diri, selain memiliki kepantasan di kedua-dua belah bahagian sayap, bintang skuad Bawah 23 Tahun Indonesia ini boleh menjadikan Pahang sebagai platform untuk bangkit mencipta nama.

Saddil Ramdani memperkuatkan jentera serangan skuad tok gajah. FOTO: Goal.com Indonesia
Rumusan

Kami yakin akan ada beberapa nama besar akan dibawa masuk sebagai pemain import oleh pasukan-pasukan Liga Malaysia dalam tempoh dua minggu yang akan datang.

Buat masa ini, ini adalah tujuh pemain bersama pasukan baru masing-masing yang mampu mencuri tumpuan sepanjang 2019.

Anda mempunyai nama lain untuk dikongsikan? Kongsikan kami di ruangan komen.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN