7 Bintang Liverpool Bakal Diberi “Kontrak Mewah”, Kapten Henderson Jadi Korban?

Liverpool dijangka akan menawarkan kontrak mewah baharu kepada pada musim panas ini, dengan Sadio Mane antara tujuh pemain utama The Reds yang akan diperbaharui kontrak mereka.

Liverpool berkemungkinan besar tidak akan membawa masuk pemain baharu selepas Jurgen Klopp mengesahkan ketibaan Ibrahima Konate dari RB Leipzig, dengan keutamaan untuk mengekalkan pemain sedia ada.

Fokus kekalkan pemain

Beberapa pemain utama kini memasuki dua tahun terakhir kontrak masing-masing, dan sedang dalam perbincangan untuk terma baharu. Liverpool sebelum ini telah mengesahkan kontrak baharu kepada Harvey Elliot, Caoimhin Kelleher dan Adrian.

Pemain seterusnya yang dijangka akan mendapat kontrak baharu adalah Allison, dan penjaga gol Brazil itu dijangka akan terus kekal sehingga 2026. Manakala pemain lain seperti  Fabinho, Mohamed Salah, Virgil van Dijk, Andy Robertson dan Trent Alexander-Arnold dijangka akan menyusul selepas perbincangan turut dilakukan sepanjang musim panas ini bersama wakil masing-masing.

Wartawan The Athletic, James Pearce turut mendedahkan Sadio Mane turut akan ditawarkan kontrak mewah baharu, apabila kontrak asalnya tinggal berbaki 24 bulan.

Pemain sayap itu adalah antara pemain pertama yang dinamakan di dalam kesebelasan pertama Klopp sejak perpindahan bernilai £30 juta dari Southampton pada 2016. Ia bukan perkara mengejutkan kontrak Mane akan disambung.

Edwards punyai rancangan?

Mane akan berusia 31 tahun apabila kontrak beliau tamat, namun selepas menghasilkan 97 gol dan mencipta 36 bantuan gol dari 218 penampilan bersama Liverpool,

Salah dan Roberto Firmino juga memiliki baki kontrak dua tahun dan akan berusia 31 tahun apabila kontrak tersebut tamat, dan situasi ini menyukarkan Pengarah Sukan Michael Edwards.

Di dalam situasi sekarang, ramai pemerhati berpendapat Liverpool seharusnya memberikan fokus untuk membina trio serangan baharu yang lebih muda.

Atau mungkin dengan mengekalkan Salah, Mane dan Firmino, seperti yang diusahakan sekarang, Michael Edwards sebenarnya sedang mempertahankan nilai pasaran pemain-pemain ini agar tidak tertiris oleh nilai pasaran semasa akibat pandemik?

Henderson jadi korban?

Di sebalik semua perkhabaran di atas, khabar angin bertiup kencang mengatakan kapten pasukan, Jordan Henderson bakal meninggalkan Anfield seawal jendela perpindahan musim panas ini selepas perbincangan untuk kontrak baharu di antara kedua-dua pihak menemui jalan buntu.

Sukar untuk membayangkan pemain seperti Henderson melakukan tuntutan melampau sehingga tidak mampu dipenuhi oleh Liverpool, tetapi sebaliknya mampu memberikan kontrak mewah kepada pemain-pemain lain seperti kepada Allisson atau Virgil van Dijk.

Menurut James Pearce lagi, situasi tersebut menjadi punca mengapa Henderson mungkin akan menilai kembali masa depan beliau bersama kelab Merseyside itu.

Nada sama dilaungkan oleh wartawan Daily Mail, Dominic King yang berpendapat Henderson berkemungkinan besar akan meninggalkan jaguh Premier League dan eropah itu dalam masa terdekat.

Henderson tidak akan mengalami masalah untuk mencari kelab baharu terutama jika beliau mahukan pengalaman bermain di luar England.

PSG dan Atletico Madrid dilaporkan mengikuti rapat perkembangan pemain itu di Anfield. Liverpool pula pasti enggan menanti kontrak Henderson tamat begitu sahaja pada 2023 tanpa sebarang pulangan kewangan.

Impak kepada Liverpool

Pemergian Henderson walau siapa pun pemain yang akan tampil sebagai pengganti dijangka akan memberi impak kepada permainan Liverpool di atas padang.

Selepas Gini Wijnaldum pergi secara percuma, ini bermakna Klopp akan kehilangan dua pemain tengah berkualiti tinggi pada musim panas yang sama.

Mungkin ada juga berpendapat sukar untuk Henderson meninggalkan Liverpool disebabkan komitmen beliau sebagai kapten pasukan.

Namun situasi terbaru ini sudah menyebabkan penyokong Liverpool berasa gusar dan mulai menimbulkan suara mereka di media sosial. Sekurang-kurangnya semua pihak percaya dan yakin Henderson terlampau bernilai untuk dilepaskan begitu sahaja dan merupakan pemain yang harus bersara di Anfield untuk diabadikan sebagai legenda.

 

Baca artikel lain mengenai Liverpool:

“Budak Milo” Bantu Sepakan Penjuru Alexander-Arnold Benam Barcelona Terima Kontrak Profesional

Faktor Wang Kaburkan Mata Wijnaldum Sehingga Tolak Barcelona Dan Sertai PSG

13 Fakta Menarik Mengenai Gol Tandukan Alisson Becker Yang Buat Penyokong Liverpool Teruja

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply