6 Rekod Sergio Ramos Terpaksa Lupakan Sekiranya Tinggalkan Real Madrid

Tiada siapa akan mempersoalkan status legenda Sergio Ramos sebagai pemain Real Madrid. Namun jika Ramos menandatangani kontrak baharu dalam beberapa minggu ini, ia hampir pasti membuatkan beliau sebagai pemain No.1 dalam hampir setiap kategori, kecuali jumlah jaringan gol.

Namun jika Ramos memutuskan untuk berhijrah dari Madrid, akan ada beberapa rekod yang tidak akan mampu digapainya lagi selepas ini. Berikut adalah antara rekod yang hampir di dalam genggaman Ramos, namun tidak akan menjadi miliknya sekiranya memilih untuk pergi meninggalkan Los Blancos.

Pemain dengan penampilan terbanyak

Ramos hampir pasti akan memecahkan rekod sebagai pemain dengan penampilan terbanyak bersama sekiranya memutuskan untuk memperbaharui kontrak bersama Real Madrid.

Buat masa ini, Ramos berada di kedudukan keempat dengan 668 perlawanan untuk penampilan terbanyak sepanjang zaman bersama Los Blancos.

Di hadapan beliau, ialah Raul (741 perlawanan), Iker Casillas (725 perlawanan), dan Manolo Sanchis (710 perlawanan). Untuk memecahkan rekod tiga pemain tersebut, Ramos sekurang-kurangnya perlu beraksi selama setahun setengah lagi bersama Real Madrid.

Pemain Real Madrid dengan jumlah musim terbanyak

Pemain pertahanan tengah ini juga menghampiri rekod untuk musim terbanyak dengan jersi Real Madrid.

Buat masa sekarang, Ramos telah melengkapkan 16 musim bersama Los Blancos.

Beliau perlu kekal selama dua musim lagi di Estadio Santiago Bernabeu untuk menyamai rekod 18 musim oleh Paco Gento dan Miguel Angel.

Pemain paling banyak kejuaraan

Rekod ini pula boleh menjadi milik Sergio Ramos tanpa beliau menandatangani kontrak baharu. Namun beliau perlu membantu Real Madrid muncul juara Champions League dan La Liga Santander pada musim ini untuk berbuat demikian.

Ramos dan Marcelo kini masing-masing memiliki 22 kejuaraan utama sejak menyertai Real Madrid. Hanya Paco Gento memiliki kejuaraan yang lebih banyak dengan 23 kejuaraan.

Ramos juga masih mampu menjadi pemain Real Madrid dengan gelaran kejuaraan Champions League terbanyak sekiranya kekal bersama pasukan itu. Beliau memiliki empat kejuaraan Champions League setakat ini, dan ketinggalan dua kejuaraan eropah berbanding Gento.

Musim terbanyak bergelar kapten

Gelaran kapten paling lama di dalam sejarah Real Madrid juga milik Gento, yang memakai lilitan kapten sebanyak sembilan musim.

Chendo pula berada di belakang selama lapan musim, dan diikuti oleh Felix Quesda dan Raul yang memakai lilitan kapten selama tujuh musim.

Ramos sudah bergelar kapten Real Madrid untuk enam musim, namun perlu memperbaharui kontrak bersama Los Blancos sehingga 2024 untuk memecah rekod tersebut.

Buat masa ini rekod ini tampak seperti sukar untuk dicapai.

Minit terbanyak dalam La Liga

Buat masa ini Sergio Ramos adalah pemain kelima dengan minit terbanyak yang beraksi di La Liga Santander.

Beliau telah beraks selama 43,900 minit dan hanya kurang 99 minit berbanding rekod yang dimiliki Raul.

Pemain lain yang memiliki minit perlawanan lebih banyak dari Ramos ialah Casillas (45,684), Francisco Buyo (48,717) dan Andoni Zubizarreta (55,746).

Ramos perlu beraksi sekurang-kurangnya dua musim penuh bersama Real Madrid untuk memecah rekod milik Zubizarreta.

Menjadi kapten di Estadio Santiago Bernabeu yang baharu

Estadio Santiago Bernabeu bakal menjadi arena kebanggaan baharu Real Madrid dan Ramos boleh menjadi kapten pertama memimpin Real Madrid di stadium yang telah dinaiktarakkan itu.

Jika Ramos memilih untuk pergi pada penghujung musim ini, ia bermakna Ramos bakal terlepas peluang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong setia Los Blancos, selepas wabak global menghadkan kehadiran penyokong ke stadium.

Dengan sumbangan yang pernah diberikan beliau selama ini, Ramos berhak mendapat penghargaan sewajarnya dari Real Madrid.

Penutup

Sehingga artikel ini ditulis, belum ada persetujuan di antara Sergio Ramos dan Real Madrid untuk sebarang lanjutan kontrak.

Real Madrid sebelum ini dikhabarkan telah memberikan tawaran yang mereka fikirkan wajar sebelum ini. Namun kem Ramos tidak bersetuju dengan beberapa terma di dalam kandungan kontrak, menyebabkan masa depan pemain itu semakin lama semakin menjadi tanda tanya.

Patutkah Sergio Ramos terus kekal di Estadio Santiago Bernabeu untuk meraih saki baki kegemilangan? Atau perlukan pemain pertahanan tengah – dianggap terbaik dunia – ini menyertai kelab lain sahaja selepas kontrak beliau pada penghujung musim ini tamat?

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

Baca artikel menarik lain mengenai Sergio Ramos di:

Ramos Kini Pertahanan Dengan Gol Terbanyak Dalam Sejarah La Liga

Sergio Ramos Cipta Rekod Untuk Sepanyol, Kini Sasar Rekod Dunia Pemain Mesir

Sergio Ramos Pertimbang Tinggalkan Los Blancos Kerana Sudah Tawar Hati

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

One Comment

  • Bagi aku, aku nak ramos stay kat real utk lagi setahun: sampai musim panad 2022 before slow down kat club lain. Kira cam messi lah

Leave a Reply