5 Situasi Yang Merubah Pemenang Tiket Ke Piala AFC 2022 Antara Kedah, Penang & Terengganu

Piala AFC 2022 Kedah Penang Terengganu

Jika keputusan Ahad ini tidak mengubah kedudukan terakhir Liga Super 2021, maka Kedah Darul Aman FC akan meraih tiket ke saingan Piala AFC 2022 mengatasi pencabar terdekat Penang FC dan Terengganu FC.

Berdasarkan pengumuman badan penganjur Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL), selain juara Liga Super yang akan layak ke saingan AFC Champions League (ACL), Malaysia ada dua slot lagi ke Piala AFC.

Tiket ke ACL 2022 sudah menjadi milik Johor Darul Ta’zim (JDT), juara Liga Super lapan musim berturut-turut.

Slot ke Piala AFC musim depan akan diberikan kepada naib juara liga yang menjadi rebutan antara Kedah, Penang FC dan Terengganu serta satu lagi slot akan diberikan kepada juara saingan Piala Malaysia 2021.

Bagi pasukan yang sudah tersingkir daripada persaingan perebutan kedudukan tangga kedua liga, sudah pasti mereka akan beralih tumpuan kepada saingan Piala Malaysia yang akan berlangsung selepas ini.

Jadi, apakah situasi yang mampu mengubah kedudukan Kedah selaku pasukan yang menghuni tangga kedua saat ini? Menariknya, Penang FC dan Terengganu akan saling ‘memangkah’ untuk memburu tiket tersebut.

Kedah hanya perlu merekodkan kemenangan ke atas Melaka United di Stadium Darul Aman untuk berada di ‘driving seat’. Dengan moral yang ‘rapuh’ ketika ini – tiada kemenangan dalam tiga aksi, mampukah mereka?

Melaka United pula sebaliknya, mereka tampak ‘liat’, masih belum tewas dalam tiga perlawanan terkini.

Terdapat beberapa situasi dengan majoritinya jika skuad Hijau Kuning kalah. Berikut adalah situasi yang mampu mengubah kedudukan tangga kedua liga dan juga pemenang tiket ke saingan Piala AFC 2022.

Kedah kalah, Penang FC dan Terengganu seri (Penang FC layak)

Jika Kedah tewas kepada Melaka United, Penang FC hanya perlu merekodkan keputusan seri berdepan Terengganu untuk membolehkan mereka memintas kedudukan musuh ketat mereka itu di tangga kedua liga.

Dengan mengumpul 41 mata, Penang FC akan berada satu mata di depan Kedah yang akan turun ke kedudukan ketiga, dua mata di depan Terengganu FC – yang berpotensi untuk dipintas oleh Selangor FC.

Terengganu tentunya tidak mahu turun sehingga ke kedudukan kelima liga, menggantikan Selangor.

Kedah kalah, Penang FC menang (Penang FC layak)

Situasi yang sama juga berlaku jika Kedah kalah dan Penang FC pula menang ke atas Terengganu. Namun yang berbeza adalah skuad Harimau Kumbang akan melakar 43 mata, tiga mata mengatasi Kedah.

Situasi Terengganu lebih buruk kerana berpotensi dipintas Selangor yang hanya satu mata di belakang mereka. Selangor yang dalam momentum terbaik – tidak tewas dalam enam aksi akan berdepan PJ City FC.

Kedah kalah, Terengganu menang (Terengganu FC layak)

Situasi ketiga jika skuad Hijau Kuning gagal meraih mata di laman sendiri dan Terengganu pula menang ke atas Penang FC. Syarat yang perlu dipenuhi oleh Sang Penyu adalah menang dengan defisit dua gol.

Ini kerana, jika mereka menang, tiga pasukan akan berkongsi 40 mata dan dengan kedudukan terkini, perbezaan jaringan mereka dengan Kedah adalah sama. Penang sudah tumpas dalam perbezaan jaringan.

Untuk membolehkan mereka berada di atas Kedah, mereka perlu memburu defisit dua gol ke atas Penang FC terlebih dahulu, sambil mengharapkan skuad Hang Tuah berjaya meneruskan langkah sumbang Kedah.

Walaupun kemenangan 1-0 pun sudah cukup buat mereka, tetapi defisit dua gol lebih meyakinkan.

Kedah seri, Penang FC menang (Penang FC layak)

Hanya satu situasi akan mengubah kedudukan tangga kedua jika skuad kendalian Aidil Sharin Sahak hanya mampu seri berdepan Melaka United iaitu Penang FC wajib mengatasi Terengganu di halaman sendiri.

Jika Terengganu menang dalam situasi ini, Kedah yang akan melayakkan diri. Kedah akan mengumpul 41 mata, satu mata di depan Terengganu yang akan memintas Penang FC berdasarkan perbezaan jaringan.

Kedah menang, Penang FC menang defisit lapan gol (Penang FC layak)

Satu perkara yang amat mustahil untuk berlaku tetapi boleh berlaku kerana dalam bola sepak, tiada yang mustahil. Namun, berdasarkan situasi terkini, amat tidak logik untuk anak buah Tomas Trucha menang besar.

Jadi, untuk situasi ini, besar kemungkinan ia tidak akan berlaku dan jika Kedah menang ke atas Melaka United, mereka akan berada dalam ‘driving seat’ untuk merebut tiket ke Piala AFC 2022. Itu yang lebih pasti.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply