5 Sebab Yang Boleh Sebabkan FSG Hilang Sabar Dan Pecat Jurgen Klopp Di Liverpool

Liverpool tewas lagi pada hujung minggu lalu dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Kali ini tewas kepada Everton, prestasi yang ditampilkan The Reds pada kali ini adalah bayangan lampau kepada diri mereka sendiri. Adakah tiba masanya untuk melakukan perubahan?

Jurgen Klopp telah melakukan tugas beliau dengan cemerlang bersama Liverpool sejak dua musim yang lalu. Rekod tersebut setakat ini merupakan penyelamat kepada jurulatih dari Jerman itu. Apa pun alasan  – termasuk kecederaan – rekod buruk sebegini hanya akan membuatkan mana-mana jurulatih di pasukan lain dipecat.

Penyokong sudah bersuara. Ada yang mahu Klopp dipecat. Manakala majoriti dipercayai masih setia di belakang bekas pengurus Borussia Dortmund itu. Namun akhirnya keputusan mengenai masa depan Klopp adalah di tangan Fenway Sports Group (FSG) yang merupakan pemilik kelab. Tiada siapa boleh menjangkakan apakah seterusnya dari FSG setakat ini.

Di sebalik kesetiaan penyokong Liverpool di belakang Klopp, berikut pula adalah 5 sebab mengapa FSG boleh berpendapat kini tiba masanya untuk satu lagi perubahan di Anfield.

Juara bertahan paling teruk

Sang juara yang hebat tidak hanya akan memenangi kejuaraan, malah mereka mampu mengekalkannya.

Roy Keane pernah menekankan perkara tersebut sebelum ini. Skuad kendalian Klopp pula seakan-akan sudah mengibarkan bendera putih sebelum cuba untuk melawan.

Harus diingat Manchester City memulakan kempen dengan buruk pada awal musim namun mereka bangkit dan kelihatan seperti sukar dihalang pada ketika ini.

Cabaran Liverpool pula begitu mudah hilang punca seolah-olah pasukan lain tidak pernah mengalami isu kecederaan.

Hilang aura positif

Tiada perkara yang positif mengenai Liverpool sekarang melainkan timbunan alasan. Mereka tidak menunjukkan kemampuan untuk pulih, dan seakan-akan tidak mampu menghalang kejatuhan – jauh sekali untuk menyambung cita-cita mempertahankan kejuaraan sepertimana yang dilaungkan sebelum ini.

Kita juga harus jujur bahawa dengan prestasi sebegini Liverpool tidak akan pergi jauh dalam pertandingan Champions League, melainkan sesuatu yang luar biasa berlaku dalam masa terdekat.

Malah dengan prestasi semasa, skuad ini tidak akan berjaya melayakkan diri ke pertandingan Champions League pada musim hadapan.

Kemuncaknya ialah apabila pemilik yakin pengurus sedia ada tidak mampu lagi menampilkan magis untuk membangkitkan kembali pasukan. Tiada siapa tahu sejauh mana John Henry mampu bertoleransi dan bersabar dengan kejatuhan. Pada ketika itu apa pun alasan tidak akan diterima.

Tiada plan B

Mohamed Salah merupakan pendahulu carta senarai penjaring terbanyak pada musim ini. Tetapi secara kolektif jentera serangan Liverpool dianggap sebagai tidak efektif dibandingkan dengan musim-musim sebelumnya. Akibatnya, TheReds kehilangan mata kerana seri atau pun kalah.

Sistem serangan Liverpool banyak bergantung kepada gandingan Sadio Mane, Roberto Firmino dan Mohamed Salah –  diapit oleh dua bek sayap, Trent Alexander-Arnold dan Andy Robertson.

Musim ini gandingan-gandingan ini gagal mengulangi prestasi yang mereka biasa tampilkan sebelum ini. Pihak lawan juga kini lebih bijak untuk meneutralkan ancaman mereka. Hasilnya, kelemahan Liverpool terdedah.

Di sebalik situasi di atas, Klopp seakan-akan tidak mempunyai Pelan B. Sebagai pengurus terbaik dunia, beliau harus lebih cekap dan bijak daripada itu.

Kisah di Dortmund berulang

Klopp bersama Borussia Dortmund selama tujuh musim, dan memenangi dua kejuaraan Bundesliga dalam tempoh itu. Pada penghujung tempoh di Dortmund, skuad kendalian Klopp bergelut dengan prestasi sehingga menghampiri zon penyingkiran. Situasi sama lebih kurang berlaku di Liverpool pada hari ini.

Klopp dilantik sebagai pengurus Liverpool pada 2015, iaitu enam tahun yang lalu. Pada tahap ini sebahagian ramai akan berpendapat perkara sama di Dortmund kini berulang buat Klopp di Liverpool.

Adakah Liverpool dan Klopp perlu membawa diri ke arah berlainan untuk memperbaharui reputasi dan cabaran masing-masing? Ia mungkin salah satu perkara yang akan dipertimbangkan oleh John Henry sebagai pemilik.

Malah ia adalah salah satu perkara yang akan difikirkan oleh pemilik sebelum mengambil keputusan memecat jurulatih.

Skuad yang semakin menua

Tiada siapa boleh menafikan era ini Liverpool adalah sebuah pasukan yang cukup sensasi. Tetapi apa yang dtampilkan buat masa ini memberi indikasi ia bakal berakhir. Kecederaan mungkin menyumbang kepada maslah Liverpool pada hari ini. Tetapi perkara yang paling ramai tidak sedar ialah usia pemain Liverpool yang semakin menua.

Purata usia barisan skuad Liverpool yang terdiri daripada  Alisson Becker, Virgil Van Dijk, Jordan Henderson, Mohamed Salah dan Sadio Mane ialan 28.6. Pada usia ini pemain belum lagi dianggap sebagai kuda tua, namun mereka tidak akan menjadi lebih muda juga.

Klopp harus bekerja keras untuk merombak kembali pasukan untuk membina asas yang kukuh untuk satu lagi pasukan baharu yang mampu mengembalikan kegemilangan. Sejauh manakah pula Liverpool sanggup berbelanja?

Selain Trent Alexander-Arnold, siapakah pemain muda lain yang selayaknya bergelar pengganti dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi? Prestasi Alexander-Arnold sendiri kini mulai dipersoalkan, dan pemain-pemain lain seperti Curtis Jones tau Harvey Elliot masih lagi belum terbukti. Ramai bakat besar di era Kloop seperti Dominic Solanke dan Rhian Brewster memilih untuk mencari angin baharu kerana sukar mendapatkan minit perlawanan di bawah kendalian Klopp.

Liverpool sememangnya terbukti merupakan salah sebuah pasukan dengan falsafah bola sepak digeruni. Namun tanpa perancangan efektif di peringkat pembangunan dan akar umbi, falsafah hanya kekal sebagai teori melainkan anda mampu untuk terus berbelanja besar.

Rumusan

Buat masa ini kedudukan Klopp dilihat sebagai selamat. ‘You’ll Never Walk Alone’ sentiasa menjadi laungan sebagai tanda jati diri kelab.

Namun demikian akhirnya bola sepak adalah satu bisnes yang bersandarkan kepada keputusan. Sampai bilakah Liverpool akan berterusan dengan keputusan buruk. Mampukah Klopp membangkitkan kembali Liverpool untuk menghasilkan keputusan lebih positif selepas ini?

Yang paling nyata, keputusan yang dimiliki oleh FSG mengenai masa depan Klopp pasti yang paling digeruni ramai.

 

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

Baca artikel menarik yang lain mengenai Klopp di pautan di bawah:

Senarai Alasan “Ganjil” Pernah Diberikan Klopp Setiap Kali Liverpool Tercicir Mata

Mengenang 10 Pemain Terawal Dibawa Masuk Oleh Jurgen Klopp Di Liverpool

Klopp Yakin Gol Maddison Offside, Tuduh VAR Salah Tekan Butang ‘Paused’

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply