5 Sebab Thiago Silva Relevan Buat Skuad Chelsea

Thiago Silva

Seperti yang diketahui, pertahanan berpengalaman kelahiran Brazil, Thiago Silva telah memilih untuk menyertai Chelsea bagi menghadapi saingan 2020/21 selepas beliau diperkenalkan secara rasmi oleh kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, semalam.

Perpindahan secara percuma itu menyaksikan Silva telah bersetuju memeterai kontrak selama setahun dengan pilihan untuk menambah setahun lagi pada musim berikutnya.

Silva hadir ke Stamford Bridge dengan rekod yang cukup cemerlang dalam mengemudi Paris Saint-Germain (PSG) mendominasi saingan Ligue 1 sebanyak tujuh kali sepanjang lapan musim beliau bersama skuad gergasi Perancis itu.

Dengan usianya menjangkau 36 tahun pada 22 September nanti, ia sedikit menimbulkan keraguan segelintir peminat berikutan tekanan hebat dalam saingan EPL yang akan dihadapinya.

Bagaimanapun kredibiliti dan karisma dimiliki Silva mampu untuk menepis segala tanggapan buruk terhadap keupayaannya yang bakal menghadapi cabaran sulung di EPL.

Kami kongsikan kepada anda lima sebab yang boleh disifatkan sebagai kekuatan Thiago Silva bagi mengemudi jentera pertahanan sekaligus membuatkan beliau relevan buat skuad The Blues pada musim 2020/21.

1) Sifat kepimpinan yang tinggi

Sifat kepimpinan tinggi dimiliki Silva jelas merupakan jawapan kepada permasalahan dihadapi oleh Frank Lampard apabila beliau tidak mempunyai pemain yang berkeupayaan menjadi ‘ketua sejati’ buat Chelsea pada musim 2019/20.

Selain itu, kehadiran Silva juga dilihat mampu menampung lompong-lompong yang terdapat di jentera pertahanan Chelsea yang mana The Blues menjadi pasukan paling banyak dibolosi dalam kalangan kelompok pasukan teratas EPL.

Pemain-pemain seperti Kurt Zouma, Antonio Rudiger, Fikayo Tomori dan Andres Christensen perlu menggunakan kesempatan ini bagi meningkatkan sifat kepimpinan mereka dengan adanya Thiago Silva di Chelsea.

2) Tenang dalam tekanan

Silva yang memenangi kejuaraan Copa America 2019 bersama skuad kebangsaan Brazil memiliki ketenangan dalam menyerap tekanan meskipun diberikan tekanan hebat pemain pasukan lawan.

Yang terbaharu, ia dapat dibuktikan pada aksi final PSG bertemu Bayern Munich tempoh hari yang mana skuad gergasi Jerman itu bermain dengan corak permainan ‘high pressing’.

Tetapi, dengan ketenangan yang dimilikinya, beliau masih mampu untuk melakukan hantaran tepat kepada rakan sepasukannya dalam keadaan beliau sudah pun ditekan hebat oleh pemain Bayern Munich.

Ini memberikan makna Silva masih mampu beraksi dengan cukup baik di peringkat tertinggi walaupun sudah agak berusia [dalam kancah bola sepak].

3) Penguasan bola udara dan pembacaan permainan

Walaupun hanya berbekalkan dengan ketinggian enam kaki tetapi Silva nyata begitu kuat dalam situasi perebutan bola di udara.

Menurut statistik yang dikeluarkan, Silva telah mencatatkan 82.1% ‘success rate’ bagi perebutan bola di udara dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah 2019/20.

Dalam pada itu, pengalaman yang dimilikinya turut diterjemahkan dengan pembacaan permainan yang cukup baik. Bentesan bersih dalam situasi satu lawan satu turut menjadi senjata utama buat beliau.

4) Deep Lying Defender

Walaupun beraksi sebagai pemain pertahanan tengah, Thiago turut mampu membantu rakan sepasukan di bahagian serangan dengan hantaran jauh yang cukup berkualiti.

Sebagai seorang pemain pertahanan tengah, beliau masih mampu membantu dalam mencipta bantuan jaringan buat rakan sepasukannya apabila Silva telah mencatatkan 11 ‘assists’ sepanjang kariernya.

Kelebihan itu sudah pastinya akan dapat membantu trio peledak yang bakal bergandingan pada musim baharu nanti iaitu Hakim Ziyech, Christian Pulisic dan Timo Werner dalam merobek gawang pasukan lawan.

5) Konsisten

Mungkin ramai yang beranggapan cabaran bermain di EPL tidaklah semudah disangka seperti ketika Thiago Silva berada di PSG. Tetapi harus diingat bahawa sebelum ini beliau turut pernah menyarung jersi AC Milan.

Sejak kempen 2009/10 sehingga ke musim lalu, Silva tidak pernah terlepas dari tersenarai dalam ‘Team of The Year’ dalam saingan liga yang disertainya. Tiga musim di Serie A dan tujuh musim seterusnya di Ligue 1 bersama PSG.

Pencapaian tersebut menunjukkan bahawa beliau mampu untuk terus kekal konsisten walaupun semakin menginjak usia.

Penutup

Mungkin terlalu awal untuk memperkatakan tentang keupayaan Thiago Silva pada musim sulungnya dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Tetapi sudah pasti Frank Lampard mempunyai alasannya yang tersendiri berhubung keputusan ini.

Apa yang pasti aspek kepimpinan jelas menjadi antara penyebab utama yang membawa Silva ke Stamford Bridge dengan perjanjian selama setahun itu.

Sama-sama kita nantikan mampukah Silva menyesuaikan diri dengan tekanan di EPL!

Kredit featured image: Chelsea FC

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN